Quantcast
Channel: CATATAN SI MERAH SILU
Viewing all 1493 articles
Browse latest View live

Membawa semangat Aceh ke Perak - Menyelesaikan ziarah makam 3 Muzaffar pada waktu malam

$
0
0
Bersambung daripada Membawa semangat Aceh ke Perak - Rumah tradisional dua negeri dan usaha-usaha untuk memartabatkan warisan.


Dengan selesainya majlis SIMPORA X saya pun meninggalkan hotel lalu berjalan-jalan di pusat bandar raya Ipoh.


Persoalan yang bermain dalam fikiran ketika itu adalah apakah mahu menginap satu lagi malam di Ipoh? Atau sudah sampai masa untuk keluar?


Singgah dahulu di Masjid Panglima Kinta sambil memikirkan persoalan. Kalau perlu di sini boleh menginap.


Ziarah kawasan pemakaman kerabat Panglima Kinta di halaman masjid. Untuk pengetahuan kaum kerabat saya daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak pun ada bersemenda dengan mereka.


Mandi dan segarkan badan lalu beriktikfaf sebentar masjid. Adapun keperluan untuk menginap di Ipoh lagi satu malam cuma muncul atas satu sahaja asbab iaitu saya belum sempat menikmati hidangan 'Nasi Ganja' di satu kedai makan terkenal di tengah bandar raya Ipoh. Nak makan kena tunggu tengah hari esok sedangkan saya sudah berjanji pada isteri akan kembali ke rumah selewatnya pada malam itu. Rasanya tak berbaloi menghabis masa lebih lama di Ipoh semata-mata untuk makan sedangkan banyak tempat lagi perlu diziarahi untuk melengkapkan perjalanan pusing Perak.


Dengan itu saya pun meninggalkan Ipoh mengambil jalan Lahat menuju ke Bota Kanan. Oh. Sebelum itu ada singgah di masjid utama tengah bandar raya Ipoh. Lihat artikel Masjid Sultan Idris II, Ipoh pada waktu siang (Mosque of Sultan Idris II, Ipoh during daytime) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sampai di Bandar Seri Iskandar sudah hampir waktu Maghrib. Terbetik dalam fikiran boleh juga masuk ke kampus UiTM Perak sebelah sini menjengok kenalan-kenalan baru daripada majlis SIMPORA X. Tapi bila difikirkan kembali semua orang pun tengah penat. Baik teruskan sahaja ke Bota Kanan.


Sebetulnya saya memandu dalam keadaan lapar tetapi tidak terlihat apa-apa kedai yang menyapa selera sepanjang perjalanan. Sehinggalah ternampak kedai ini 5 minit selepas Bandar Seri Iskandar. Sayangnya ia baru sahaja tutup... kedai sedang dibersihkan...


Akhirnya saya sampai ke simpang Bota Kanan pada jam 7.24 malam.


Terus ziarah makam Sultan Muzaffar Syah III berdekatan simpang. Untuk pengetahuan baginda adalah Sultan ke-13 Perak (memerintah 1728 - 1752).








Seterusnya singgah di masjid pekan Bota Kanan. Sempat solat Maghrib berjemaah sebelum menjamakkan solat Isyak.


Di Bota Kanan juga saya makan malam lalu meneruskan proses ziarah dengan menuju selatan ke arah Kampung Gajah. 


Dalam kegelapan pekat malam jauh daripada rumah orang saya menziarahi makam Sultan Muzaffar Syah II, Sultan ke-10 Perak (memerintah 1636 - 1653). Jaraknya dari makam Sultan Muzaffar I adalah lebih kurang 6 km.


Proses ziarah diteruskan dengan menuju ke makam Sultan Muzaffar Syah I, Sultan pertama Perak (memerintah 1528 - 1549). Jaraknya dari makam Sultan Muzaffar II adalah lebih kurang 5 km lagi ke selatan.


Sebetulnya sebelum melakukan ziarah timbul rasa takut mahu melakukannya dalam kegelapan. Kalau makam Sultan Muzaffar III itu masih OK lagi kerana terletak di tepi jalan besar. Ke makam Sultan Muzaffar II memang menakutkan kerana terletak amat terpencil satu sahaja makam. Teringat kali pertama sampai pada waktu siang 18 tahun lalu pun dah terasa ngeri apabila tiba-tiba timbul ribut angin kencang sedangkan langit sedang terang. Makamnya pula ketika itu berbusut besar. Memang nampak lain macam.


Cuma setiap kali timbul rasa takut kerana saya cuma manusia biasa sahaja saya selalu mengingatkan diri - takut Allah SWT ke takut makhluk? Kata belajar ilmu Tasawuf. Jangan mulut kata lain, hati kata lain, perbuatan pula lain. Dan lagi yang hendak diziarahi ini makam Sultan-sultan. Kalau tak kena gaya memang boleh ketulahan. Tetapi sebagai seorang anak yang ada kena-mengena terasa harus menziarahi juga kerana itulah dinamakan panggilan 'gerak'. Siapa yang faham- faham le. 


Saya datang ini bukan sekadar ziarah tetapi membawa kesinambungan dan wasilah dari tanah asal leluhur di Aceh. Kalau ikut 'syarat' saya perlu menziarahi semua makam Sultan Perak yang terdapat di sepanjang Sungai Perak. Ini sudah dilakukan beberapa kali tetapi kali ini tak larat. Mungkin lebih mudah kalau ziarah dibuat pada esok siang hari tapi saya kesuntukan masa. Semoga ziarah ke 3 makam Sultan Perak yang masing-masing memakai nama Muzafar ini cukup untuk mewakili semua jalur keturunan Sultan Perak. Biar siang dapat ditumpukan pada makam-makam berkaitan keluarga terdekat di sekitar Teluk Intan...



Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai

$
0
0
Salam 1 Oktober malam 3 Safar. Sukacita dimaklumkan bahawa cerita pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September sedang memasuki satu fasa baru. Penceritaan sudah sampai pada hari ke-5 iaitu lebih separuh daripada keseluruhan tempoh pengembaraan 8 hari 7 malam. Jika sebab utama pengembaraan dibuat adalah untuk menziarahi makam-makam lama para pendakwah Islam di Barus, fasa seterusnya merupakan susulan utama daripada ziarah tersebut. Bersambung daripada Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Mencari jejak Awalun Islam ketika Malaysia menyambut Hari Merdeka.


Kami meninggalkan Istana Maimoon di Medan sekitar jam 1.30 pagi Ahad 1 September 2019. Ketika gambar ini diambil jam 1.48 kami sedang melalui lebuh raya baru tol sepanjang lebih kurang 20 km menghala timur ke Binjai. Untuk pengetahuan tarikh itu adalah bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah iaitu masuk tahun baru Islam atau hari Awal Muharram. Sebetulnya tarikh tersebut bermula apabila masuk waktu Maghrib di sekitar kawasan pergunungan utara Danau Toba lagi iaitu sebelum sampai ke Deli Tua dan Medan...


Selepas itu laluan secara rata menghala ke utara. Kami harus melupakan segala rancangan persinggahan yang mahu dibuat dari Medan ke sempadan Aceh seperti ada dikongsikan dalam artikel Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441 lebih setengah tahun lalu. Jam 5 pagi baru berhenti untuk mengisi perut di suatu lokasi berdekatan Langsa di Aceh.


Perjalanan diteruskan hingga ke masjid ini untuk menunaikan solat Subuh jam 6 pagi. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Baitul Mannan, Perlak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Rupa-rupanya ia terletak cuma 4-5 km sebelum pekan Perlak ataupun Peurelak.


Masuk ke timur 7 km dari pekan Perlak pula terdapat Kompleks Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Syah.



Di sinilah kami bercadang untuk menginap dan bermalam 1 Muharram tapi tak sempat.


Kami sampai sekitar jam 6.48. Lagi 2 jam gitu akan diadakan majlis sambutan Awal Muharram merangkap ulang tahun ke-1216 (menurut kiraan Islam setahun bersamaan 354 hari) pengasasan Kesultanan Perlak.





Menurut ceritanya Kesultanan Perlak diasaskan apabila naik seorang raja atau Sultan daripada keturunan Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Syah pada 1 Muharram 225 Hijriah.


Inilah yang mendorong untuk menginap malam 1 Muharram. Tapi apa boleh dibuat. Yang sempat kami lakukan adalah beriktikaf sekitar sejam sambil mandi bersiap-siap.


Perjalanan harus diteruskan lagi 126 km bersamaan 2 jam setengah jika tanpa henti (menurut Google Map) untuk sampai ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh di tapak pusat kerajaan Samudera dan Pasai. Kami harus berkejar kerana mahu mengadakan acara ke-21 HIKMAH, acara yang timbul atas asbab mahu berziarah ke Barus. Rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441.


Kami cuma berhenti untuk bersarapan di suatu tempat.








Hampir ke lokasi, tinggal 3-4 km lagi kereta harus menunggu lama pula akibat kesesakan jalan raya yang luar biasa.





Rupa-rupanya ada perarakan Awal Muharram ke masjid berdekatan simpang ke makam. Dalam 15 minit jugalah harus menunggu sebelum dapat mengambil simpang...


Kami sampai  pada jam 10.47 sedangkan majlis diwar-warkan bermula jam 9.


Namun dapat juga dilaksanakan acara walaupun kecil dan kehadiran cuma beberapa orang. Lihat artikel Membuka acara ke-21 HIKMAH di makam Sultan Malikus Saleh setelah 1,400 km mengembara pusing Aceh dan utara Sumatera di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)






Sebelah petangnya pula acara disambung dengan lawatan ke dua bangunan baru yang boleh dijadikan ikon moden kerajaan. Lihat Acara HIKMAH ke-21 - Pondok sebelah kompleks makam dan kemilau kegemilangan lama kerajaan Islam Samudera Pasai


Satu adalah bangunan ini. Lihat Muzium Islam (Islamic Museum of) Samudera-Pasai.


Satu lagi adalah ini. Lihat Monumen Islam (Islamic Monument of) Samudera Pasai. Lihat Lihat juga Views from the Islamic Monument of Samudera Pasai di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Di sini baru merasa rehat, santai setelah beberapa hari asyik terkejar-kejar untuk sampai dari tempat ke tempat. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,838 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap

$
0
0
Salam malam 4 Safar. Ini ada perkongsian daripada majlis ilmu  di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang tadi...



Baru 3 hari lalu para pelajar ISTAC diberitahu bahawa satu siri syarahan yang sudah lama tidak diadakan akan muncul kembali pada petang Rabu 2 Oktober 2019. Dibuat oleh Sheikhul Qulliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar ia adalah tentang buku beliau yang bertajuk "Classification of Knowledge in Islam". Syarahan bersiri ini telah dimulakan pada bulan Mac tahun 2019 tetapi  tidak dilangsungkan sejak pertengahan bulan Mei. Nampaknya akibat cuti panjang pertengahan tahun iaitu 3 bulan bagi pelajar institusi juga para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menaungi institusi. Apabila semester baru bermula awal September saya tertanya-tanya bilakah ia akan disambung lagi kerana siri syarahan ini memang menarik, makanan lazat bagi jiwa dan mereka yang suka berfikir. Maka itu apabila mendapat tahu sesi baru akan bermula saya pun bergegas ke majlis.


Ia dijadualkan berlangsung jam 5 hingga 7 petang. Saya sampai jam 5.24 kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Tengok-tengok saya tidak terlepas apa-apa kerana Osman sendiri masuk ke ruang syarahan selepas saya akibat ada mesyuarat yang berlanjutan sehingga selepas jam 5. Apapun ada perubahan menarik dan memberangsangkan kerana kelihatan jumlah hadirin  bertambah secara mendadak. Sebab itu ia dialih ke ruang yang lebih besar berbanding syarahan-syarahan terdahulu dalam bilik kecil kelas.


Dahulu syarahan dibuat jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. Biasanya pada hari Isnin tetapi kadangkala dialih ke hari Selasa. Osman memberitahu siri baru sahaja disambung kerana ada permintaan daripada pelajar-pelajar di kampus utama UIA agar menunggu masa yang bersesuaian di mana mereka ada kelapangan dan pengangkutan berupa bas pelajar milik universiti dapat disediakan. Itu yang dialih ke hari Rabu lewat petang.


Ditanyalah beberapa ramaikan hadirin pernah membaca buku beliau. Cuma 9 orang termasuk saya mengangkat tangan. Nampaknya harus diberikan pengenalan dan pendahuluan panjang lebar. Kebanyakan yang hadir pun adalah pelajar belum ada ijazah lalu hal ini harus diambil kira berbanding pelajar pasca-siswazah yang biasanya (dan memang pun harus begitu) lebih terkehadapan dalam memahami persoalan.

Disebutlah bahawa buku berasal daripada tesis PhD Osman tahun 1980an yang tajuk asalnya adalah  "Classification of the Sciences and the Ulum, - A Study in Islamic Philosophy of Science" (saya terjemahkan sebagai "Klasifikasi Sains-sains dan Ilmu-ilmu Berkenaan - Satu Kajian dalam Falsafah Sains Islam"). Untuk edisi pertama yang diterbitkan awal tahun 1990an ia ditukar tajuk menjadi "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam). Asalnya cuma 1,000 naskah diterbitkan dan untuk sebaran dalam Malaysia sahaja. Tetapi disebabkan kata-kata aluan oleh pemikir besar dunia Islam, Seyyed Hossein Nasr ia mendapat perhatian kemudian diulas beberapa pihak lalu perhatian merebak sehingga mendapat minat masyarakat akademik antarabangsa. Untuk pengetahuan Seyyed Hossein adalah guru dan penyelia tesis beliau...

Diceritakan bahawa tesis PhD yang membentuk buku dimulakan tahun 1981 ketika beliau sudah bergelar "pelajar matang" (matured student). Osman sudah berkahwin dan hendak membawa sekali 4 orang anak ke rantau orang. Ketika itu susah untuk mendapat tajaan PhD. Belum ada orang (anak Malaysia) melakukan dalam bidang sains falsafah. Tetapi terima kasih kepada Profesor Diraja Ungku Aziz beliau dihantar untuk belajar di bawah Seyyed Hossein di Temple Universiti di Amerika Syarikat. Kata Osman bukanlah sangat dia mahu ke universiti tersebut yang agak terkenal di mata dunia tetapi yang diinginkan adalah belajar di bawah Seyyed Hossein.

Diceritakan pula tentang latar belakang Osman dalam bidang matematik. Beliau membuat ijazah sarjana muda di London dan menyambung lagi dalam bidang sama bagi peringkat sarjana (Masters) di tempat sama. Selepas itu beliau dijangka menyambung PhD dalam bidang matematik juga untuk program 1 tahun (biasanya tempoh belajar dan siap PhD adalah paling kurang 3 tahun). Tetapi berlaku perubahan pada diri sehingga beliau bertukar ke bidang falsafah...


Osman tak sebut ini dalam syarahan petang tadi tapi saya tahu beliau harus membuat sarjana falsafah terlebih dahulu di Temple University sebelum dapat meneruskan ke peringkat PhD. Walhal beliau sudah ada sarjana dalam bidang matematik. Disebut bagaimana beliau bercita-cita besar mahu menangani 4 orang tokoh besar Islam zaman silam dalam tesis PhD iaitu - Al-Farabi, al- Ghazali, al-Shirazi dan Ibnu Khaldun. Akhirnya beliau harus mengenepikan Ibnu Khaldun walau sudah menyiapkan banyak bahan tentangnya. Ini kerana skop pelajaran dan kajian yang perlu diliputi telah menjadi terlalu besar (untuk makluman, tempoh masa beliau buat PhD 'terlajak' jadi 7 tahun kerana begitu banyak perkara perlu diliputi untuk melengkapkan tesis).

Demi membuat PhD yang lengkap beliau harus belajar 2 lagi bahasa selain apa yang beliau sudah sedia tahu dan kuasai (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris). Osman sudah tahu sedikit bahasa Arab tetapi harus meningkatkan penguasaan sudah dapat mengkaji teks-teks klasikal Arab dengan baik. Ketika itu tidak banyak hasil kerja tentang dunia Islam ditulis dalam bahasa Inggeris seperti sekarang. Maka penguasaan bahasa Arab perlu untuk mengkaji teks.

Beliau juga harus belajar bahasa Parsi kerana perlu mengkaji teks dalam bahasa itu. Tak cukup itu kena pula belajar bahasa Perancis kerana banyak rujukan terdapat  dalam bahasa tersebut. Nasib baik sudah tahu sedikit sebanyak bahasa Perancis. Kata Osman dalam kalangan bahasa-bahasa Eropah, bahasa Perancis adalah yang paling kaya dengan kajian-kajian terhadap dunia Islam...

Seterusnya disebut tentang makna epistemologi. Beliau menyebutnya sebagai teori tentang suatu ilmu pengetahuan. Disebut bahawa pada zamannya, penulisan-penulisan Marxism (oleh Karl Max, pengasas fahaman komunis) sedang mendominasi dunia pemikiran akademik. Banyak persoalan muncul akibat itu. Nasib baik buku-buku Seyyed Hossein yang ditemui di London dapat menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Disebut lagi tentang latar belakang beliau dalam dunia matematik. Kata Osman matematik itu neutral  nilai (value neutral). Maksudnya ia objektif, tidak dipengaruhi nilai-nilai subjektif yang boleh terbit akibat agama, kaum, bangsa dan sebagainya. Diceritakan antara buku tentang matematik yang mempengaruhi beliau di London adalah bertajuk "Is God a Mathematician" ("Adakah Tuhan Seorang Ahli Matematik). Pada beliau matematik sangat berkait dengan agama. Ahli-ahli matematik Islam selalu sangat tinggi pegangan dan pemahaman agama.

Allah! Terasa begitu banyak persamaan antara saya dan Osman, cuma berlainan zaman dan laluan beliau lebih teratur, laluan saya kacau. Kami sama-sama pernah belajar matematik di London. Laluan pemikiran yang diceritakan juga banyak persamaan termasuk pernah membaca dan terpengaruh dengan buku "Is God a Mathematician". Dan saya juga banyak membaca dan terpengaruh dengan buku-buku tulisan Seyyed Hossein tentang dunia Sufi walaupun ia berlaku dalam keadaan saya menolak hukum feqah kerana cuma mahu mengambil tahu bab-bab kerohanian dan kebatinan. Disebut pula tentang ahli matematik Islam silam bernama Omar Khayyam dan puisi-puisinya. Sungguh kami terpengaruh dengan perkara-perkara sama kerana puisi-puisi pujangga merangkap pakar matematik Islam ini pernah menjadi bacaan ruji saya sepanjang 4 tahun berada di London.

Cuma tu le laluan saya begitu kacau sehingga hampir tidak mendapat ijazah. Dan hampir menjadi ateis akibat pernah terlalu berpegang pada logik akal sehingga mula menyoalkan banyak perkara dalam ajaran Islam juga ajaran mana-mana agama. Dan lagi perubahan berlaku kepada saya bukan sekadar akibat pengaruh dunia pemikiran dan bacaan tetapi pengalaman-pengalaman mistik seperti roh asyik keluar masuk dari badan. Hal-hal ini kemudian mendorong saya untuk mencuba perkara gila-gila seperti hidup secara gelandangan (homeless) di pusat bandar raya London selama 3 bulan. Selepas itu mengembara secara solo mengelilingi Eropah dengan belanja kurang RM1,000 (bukan £1,000 matawang United Kingdom ya).

Ketika itu £1 hampir bersamaan RM5. Kebiasaan pelajar kalau mengembara sebulan keliling Eropah memakan belanja £1,000. Itu dikira sudah cukup murah menginap di hostel pemuda (youth hostel) dan naik pengangkutan awam pada harga diskaun. Saya menggunakan belanja keseluruhan (termasuk beli visa) kurang £200 tetapi dapat meliputi 11 buah negara (selain UK) dalam tempoh 33 hari dengan jarak keseluruhan pengembaraan mencapai 5,900 km. Itu yang diceritakan dalam buku ke-13 saya, "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" (terbit Jun 2019). Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 diikuti Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian

Ah. Begitu banyak dikongsikan Osman. Kalau diceritakan semuanya bila pula saya hendak tidur kerana ketika ayat ini ditulis pun sudah masuk jam 11.49 malam sedangkan pagi karang ada majlis lain mahu dihadiri di ISTAC. Untuk makluman saya kini berada di masjid ISTAC. Saya memilih untuk bermalam di sini dan ia telah dilakukan beberapa kali apabila ada majlis awal pagi mahu dihadiri di ISTAC.


Cukuplah ditambah bahawa selepas itu Osman mengisytiharkan ada baiknya syarahan dimulakan daripada muka-muka surat awal buku sepertimana telah dilakukan ketika siri bermula hampir 7 bulan lalu. Dengan ini biar disertakan pautan-pautan bagi tulisan/ulasan saya tentang syarahan-syarahan yang telah diadakan sebelum sesi baru bermula petang tadi...







6. Tidak hadir syarahan ke-6 pada pagi Isnin 6 Mei bersamaan 1 Ramadhan 1440 Hijriah  kerana berada di kampung ibu bapa di Muar untuk menyambut hari pertama puasa wajib (ketika itu saya juga sudah berpuasa penuh bulan Rejab dan Sya'aban, kali pertama dilakukan setelah mendengar pengalaman beberapa orang kawan).



Sekarang biarlah saya berehat ya. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,838 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.



Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan

$
0
0
Merujuk pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap. Pada ketika ini saya sedang menulis dalam masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas bermalam di sini supaya mudah menghadiri satu majlis ilmu tentang Islam di negara China jam 9.30 pagi karang. Sementara ada kelapangan ingin saya menamatkan cerita perjalalan pusing Perak 15-18 September. Maka bersambung daripada artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menyelesaikan ziarah makam 3 Muzaffar pada waktu malam.


Awal pagi Rabu 18 September, hari ke-4 dan terakhir perjalanan. Saya masuk ke saf solat berjemaah Subuh di sebuah masjid di Kampung Gajah selepas menginap malamnya di sana.


Ah. Memang ditakdirkan saya menulis artikel ini pada ketika yang sangat kena-mengena. Adapun ia dibuat di masjid ISTAC selepas bangun untuk solat Subuh berjemaah. Selesai berwirid saya membuka komputer riba lalu mula  menulis artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Cerita utama di blogspot ini pula dimulakan dengan menunjukkan suasana awal pagi selepas bermalam dalam masjid di Perak. Tidak terfikir langsung  ia akan dibuat dalam masjid di Kuala Lumpur.


Bezanya di Perak atau lebih tepat di Kampung Gajah saya keluar awal meninggalkan masjid untuk mencari sarapan di pekan...


Kini ketika menulis saya masih berada dalam masjid sambil menahan lapar kerana hendak menyiapkan dahulu penulisan supaya dada terasa lapang...


Gambar ini diambil pada jam 7.45. Saya sudah mengorak langkah meninggalkan Kampung Gajah untuk menuju lebih jauh ke selatan. Ayat ini pula ditulis  di Kuala Lumpur pada jam 7.43...


Dalam perjalanan terasa seronok melihat 'kabus' di mana-mana. Rupa-rupanya jerebu sudah melanda. Semasa perjalanan pusing Perak dimulakan tengah hari Ahad 15 September jerebu yang sudah melanda merata pantai Barat Semenanjung Malaysia sejak seminggu lebih sebelum itu saya nampak belum sampai lagi ke Perak.


Apapun saya mahu ke Teluk Intan untuk menziarahi beberapa makam lama yang terkait dekat dengan susur galur keluarga.


Gambar ini diambil pada jam 8.15, ayat ditulis pada jam 7.47 setengah bulan kemudian.








Makam-makam tadi terletak dalam satu kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bahagia, timur luar bandar Teluk Intan. Singgah beriktikaf di masjid kampung tersebut. Teringat di sinilah saya pernah bermalam selepas pertama kali seumur hidup keluar membuat perjalanan menziarahi makam-makam lama...


Ketika itu hampir penghujung tahun 2001 saya baru hendak mengenali salasilah dan asal-usul keluarga belah ayah yang terkait dengan Kesultanan Perak, Aceh, Bugis dan Samudera-Pasai. Didorong oleh satu mimpi penuh makna melibatkan istana, kemudian berlaku peristiwa runtuhnya menara berkembar World Trade Centre di New York 11 September saya mencari Nenek, ibu kepada ayah yang sudah 3 tahun tidak diziarahi di rumahnya di Raub, Pahang untuk mendapatkan pencerahan. Lalu buat pertama kali seumur hidup saya mendengar cerita asal usul nenek moyang kami dari 'seberang sana'. Selepas 3 malam (ke 3 hari 2 malam?) bersama Nenek di Raub saya bergerak dengan motosikal besar kesayangan melalui jalan lama ke Bukit Fraser dan Kuala Kubu Bahru untuk menziarahi makam moyang yang katanya adalah orang pertama berhijrah dari 'seberang' ke Perak.


Cerita berkenaan telah dikongsikan panjang lebar dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Ia adalah yang pertama daripada siri trilogi "Berpetualang ke Aceh". Susulannya bertajuk kecil "Membela Syiar yang Asal" terbit Mei 2007 diikuti "Sirih Pulang ke Gagang" November 2007. Tidak lama selepas menemui Nenek lalu cerita asal usul keluarga mula dibuka beliau jatuh sakit sehingga meninggal dunia.  Lihat artikel-artikel lama berikut :-





Cuma cerita sebenar dibuat seperti fiksyen dalam bentuk travelog dengan watak diri saya diberikan nama Muhammad al-Aminul Rasyid. Ia adalah nama yang tiba-tiba muncul dalam hati ketika menyeberang Sungai Perak melalui jambatan menuju ke pekan Parit dari arah Kuala Kangsar. Ini berlaku selepas selesai proses ziarah yang membawa jauh hingga ke makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar (boleh rujuk artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Petanda-petanda sekitar Hari Malaysia di bandar diraja Kuala Kangsar yang dipersembahkan seminggu lalu). Saya dalam perjalanan kembali ke KL kerana esoknya harus kembali bekerja.


Pada mulanya saya menyangkakan nama itu adalah untuk anak yang dikandungkan oleh isteri tidak lama selepas perjalanan pertama ziarah makam-makam lama. Tetapi apabila lahir hampir penghujung 2002 yang keluar adalah anak perempuan. Nama pun digunakan sebagai watak mewakili diri apabila siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" mula ditulis tidak lama selepas kembali daripada perjalanan pertama saya ke Aceh awal tahun 2004. Ia kemudian menjadi nama anak laki-laki pertama saya (dengan isteri lain) . Anak tersebut kini sudah berumur 10 tahun.


Oh. Gambar-gambar tadi diambil ketika berjalan-jalan pusing bandar Teluk Intan. Sempat singgah melihat pemandangan cantik Sungai Perak yang luas kelihatan seperti berkabus tetapi sebenarnya akibat jerebu sebelum waktu tengah hari. Lihat artikel A hazy Perak river from a floating restaurant in Teluk Intan. Jam 11.58 saya sampai ke masjid lama Batak Rabit lebih kurang 5 km ke barat bandar. Masjid ini terletak di dalam tanah wakaf keluarga. Setiap kali bertandang ke Perak saya cuba meluangkan masa untuk singgah beriktikaf walaupun sebentar.
.

Di sebelahnya terdapat tanah perkuburan untuk kaum kerabat kami sahaja. Orang luar tidak boleh disemadikan di sini, ada tanah perkuburan lain untuk awam yang terletak berdekatan. Di bahagian tengah gambar terdapat makam ayah kepada ayah saya dan makam ayah kepadanya (moyang) . Untuk pengetahuan Batak Rabit pernah menjadi pusat pemerintahan Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (bertakhta 1874-1877). Secara rasminya baginda masih bergelar Sultan Perak 1877-1887 tetapi ketika itu berada dalam buangan di Pulau Seychelles, luar pantai timur Afrika. 


Turut dibuang sama adalah seorang moyang saya (5 generasi ke atas) Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Beliau dan Sultan Abdullah adalah bersaudara. Ayah saya yang lahir tahun 1942 pernah bercerita semasa zaman kanak-kanaknya sempat bermain-main dalam sebuah rumah besar keluarga (sudah lama dirobohkan) dan melihat singgahsana raja di dalamnya. Ah. Dah banyak pula saya bercerita tentang keluarga. Sedangkan artikel ini dirancang mahu ditulis ringkas sahaja untuk menutup cerita perjalanan pusing Perak 15-18 September.


Namun begitulah saya, menulis untuk melepaskan gerak dan rasa. Lalu ada ketikanya muncul gerak ilham yang tidak boleh ditepis, harus diluahkan jua jika mahu merasa lega. Jam 2.26 sampai ke pekan Sungkai lalu singgah di masjid lama ini. Lihat artikel Lawatan baru ke masjid lama Sungkai (New visit to the old mosque of Sungkai).


Di masjid tersebut saya mendapat panggilan dari isteri meminta supaya mengambil anak-anak dari sekolah agama jam 4 petang. Ini kerana cikgu baru sahaja memberitahu anak murid boleh kembali awal hari itu. Biasanya mereka habis sekolah jam 5.30 lalu isteri boleh ambil selepas habis bekerja. Tapi kali ini tak dapat kerana beliau sudah pun mengambil dari sekolah kebangsaan (sesi pagi) jam 1  petang kemudian menghantar ke sekolah agama sebelum jam 2.30. Sedangkan untuk berbuat begini beliau harus bergerak lebih 13 km dari pejabat ketika waktu rehat makan tengah hari kemudian kembali ke pejabat.

Pada hari-hari biasa adalah menjadi tugasan saya menghantar anak pergi balik sekolah kerana bekerja dari rumah. Bila keluar jauh isteri yang harus bersusah payah. Ini dah 4 hari saya keluar jauh, jadi janganlah ditambahkan lagi susah. Akibat daripada itu saya harus membatalkan rancangan untuk singgah ke UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) bagi menjengok seorang bekas pensyarah saya di ISTAC, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Beliau sekarang memegang Kursi Za'aba di UPSI dan saya belum pernah menjengoknya di tempat baru sejak beliau berpindah penghujung Ogos.


Saya juga bercadang untuk melepak di pusat seni Sarang Art Hub kerana sudah lama tidak menziarahi pemiliknya, sutradara filem terkenal saudara Mamat Khalid. Awal tahun ini beliau jatuh sakit teruk sehingga harus 'dikomakan' (induced coma), baru 2-3 bulan gitu katanya dibangkitkan daripada 'tidur'. Akhir sekali bertemu kalau tak salah adalah sebelum Aidl Fitri tahun 2018. Inipun tak sempat. Saya sekadar melihat Sarang Art Hub daripada dalam kereta ketika lalu di pekan Tanjung Malim.


Saya berhenti sekadar untuk makan di satu kedai lain berdekatan. Kalau singgah di tempat Mamat harus diajaknya bersembang lama.


Perjalanan diteruskan dalam keadaan hujan lebat beberapa lama kemudian.


Jam 4.27 petang sampai ke rumah setelah mengambil anak-anak.


Meter menunjukkan perjalanan pusing Perak memakan jarak keseluruhan 672 km sejak dimulakan hari Ahad dengan keluarnya saya ke arah ISTAC untuk satu majlis ilmu terlebih dahulu. Rujuk balik artikel pertama perjalanan, Membawa semangat Aceh ke Perak - Hakikat Lailahaillallah dan 'restu istana'?. Oh, ayat ini ditulis pada jam 8.49 pagi dalam keadaan masih menahan dan semakin lapar. Selepas ini kena semak dahulu artikel sampai puas hati baru boleh dipersembahkan. Selesai itu baru boleh bersiap untuk keluar makan kemudian ke majlis. Sekian perkongsian. Tamatlah siri cerita perjalanan pusing Perak 15-18 September.


Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?

$
0
0
Salam malam Jumaat 5 Safar. Dalam artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan yang dipersembahkan jam 9.13 pagi ada diberitahu bahawa ia ditulis di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas bermalam di situ. Sebelum itu iaitu pada jam 11.55 malam saya telah mempersembahkan artikel bertajuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap di masjid sama. Ia adalah tentang majlis ilmu yang dihadiri di institut pada petang semalam...


Saya menginap supaya mudah ke satu majlis ilmu lagi di ISTAC pagi tadi. Ini adalah poster untuk majlis tersebut berupa pelancaran buku bertajuk "Islam in China - History, Spread and Culture" ("Islam di China - Sejarah, Perkembangan dan Budaya"). Turut diadakan adalah forum tentang Islam dan tamadun di China.


Menurut jadual ia harus dimulakan jam 9.30.


Gambar ini diambil pada jam 9.29 ketika keluar dari masjid untuk ke kereta. Saya keluar lewat kerana ada 2-3 lagi perkara perlu disiapkan setelah mempersembahkan artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan.


Saya sedang kelaparan dan mahu mencari sarapan di luar. Terus terang cakap saya belum mandi kerana sibuk menyiapkan cerita sejak selesai wirid selepas Subuh. Dan lagi saya ada masalah perut. Biar bersarapan dahulu, kasi masa makanan turun menolak isi sedia ada lalu faham-faham aje le apa perlu dibuat seterusnya. Selepas itu baru boleh mandi lalu bersiap dengan pakaian (saya bawa sepersalinan busana tradisional Melayu) dan masuk ke majlis.


Dipendekkan cerita jam 10.48 baru saya masuk ke majlis. Dah terlepas sesi pelancaran buku yang menurut atur cara dibuat oleh Menteri Luar Dato' Saifuddin Abdullah.


Pergi terus pada forum.


Panelis pertama, Dr Omar Min Ke Qin (ISTAC) sedang bercakap tentang hubungan Alam Melayu dengan Cina berdasarkan teks dan catatan daripada sana...





Catatan Ma Huan, seorang Cina Muslim yang merupakan jurutulis bagi Laksamana Zheng He (atau Cheng Ho) dirujuk. Zheng He sangat terkenal dengan ekspedisi-espedisi berkapal singgah ke beberapa pelabuhan terkenal kerajaan Melayu seperti di Melaka dan Aru. Ramai tahu beliau adalah seorang Muslim dan begitu juga ramai anak kapalnya (armada mereka dikatakan terdiri daripada 300 buah kapal dan 30,000 anak kapal!). Catatan Ma Huan menyebut pengalaman menunaikan haji ke Mekah...


Disebut pula sumber dan penulis-penulis lain berbangsa Cina zaman silam yang ternyata juga beragama Islam.


Banyak bahan boleh dirujuk untuk menunjukkan bahawa terdapat ramai cendekiawan beragama Islam pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644 Masihi)...











Panelis kedua Dr. Alexander Wain, seorang warga England yang kini bertugas di IAIS (Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam) di Universiti Malaya pula bercakap tentang pengaruh tamadun Islam di China terhadap Alam Melayu.


Disebut tentang teori kedatangan Islam ke Alam Melayu oleh beberapa pihak (semua Barat nampaknya) dan bagaimana persepsi berubah menurut zaman. Misalnya kajian akademik abad ke-19 berdasarkan sumber-sumber tempatan cenderung ke arah penglibatan orang Arab. Tetapi masuk abad ke-20 perhatian beralih pada laluan-laluan perdagangan dan India (Gujerat, selatan India dan Bengal). Masuk abad ke-21 teori-teori yang lebih kompleks berkembang, cenderung ke arah banyak titik permulaaan. Daripada tahun 1980an, sesetengah cendekiawan (Lombard, Salmon, Wade, Reid) mula menekankan peranan Cina Muslim dalam proses kedatangan Islam.


Dengan itu sejarah awal pengIslaman Brunei cuba dibina kembali. Disebut Pusat Sejarah Brunei menggunakan Silsilah Raja-raja Brunei dan Ming Shilu (catatan kerajaan Ming) untuk meletakkan tarikh Brunei memeluk Islam pada tahun 1363. Cendekiawan di luar Brunei menggunakan sumber-sumber Eropah untuk meletakkan tarikh pemelukan ke tahun 1515...


Bukti arkeologi menunjukkan Brunei sudah lama berdagang dengan Cina melalui penemuan banyak bahan seramik Cina di Kota Baru dan Sungai Lumut. Dan seramik-seramik itu daripada abad sebelum 14 Masihi.


Ada pula batu nesan di Brunei yang kelihatan serupa seperti batu nesan lama yang biasa dilihat di wilayah Quanzhou di Cina...


Dan jenis ini cuma dihasilkan di sana antara tahun 1272 hingga 1362.


Panelis ketiga dan terakhir Profesor Ulung Datuk Osman Bakar daripada ISTAC bercakap tanpa bantuan slaid.


Secara rata beliau mengenengahkan hujah dan penemuan yang pada beliau boleh menunjukkan bahawa Islam mengalami zaman keemasan di Cina daripada abad ke-15 hingga ke-17. Ini tentu merujuk pada zaman Dinasti Ming. Beliau seperti hendak membayangkan bahawa dinasti tersebut adalah sebuah dinasti Islam atau raja dan para kerabatnya beragama Islam. Tetapi ini tidak dinyatakan secara berterus terang kerana diakui kekurangan bukti yang dapat dipertahankan dalam debat akademik lalu tidak boleh diumumkan sebagai fakta.

Masuk sesi soal jawab kemungkinan bahawa Dinasti Ming memang beragama Islam cuba dikupas termasuk oleh saya. Saya menyuakan bahagian berkenaan daripada satu buku tebal tentang catatan-catatan Dinasti Ming tahun 1968. Ada disebut bahawa pada ketika itu (sekitar tahun 1968) sejarah Dinasti Ming baru sahaja hendak diambil tahu. Sebelum itu ia adalah dinasti yang paling dibuat tak tahu (neglected) dalam sejarah Cina. Sehingga Dinasti Qing yang memerintah seterusnya (1644–1912) melarang apa-apa yang baik tentang Dinasti Ming disebut rakyat. Rujuk sedutan daripada buku berkenaan dalam artikel Rekod Dinasti Ming tidak boleh menafikan kewujudan Hang Tuah yang ditulis lebih 7 tahun. 

Pada saya ini membayangkan bahawa sejarah sebenar Dinasti Ming yang kemungkinan besar memang kerajaan Islam telah disembunyikan selama lebih 300 tahun. Kemungkinan besar rekod-rekod sejarah seperti Ming Shilu oleh kerajaan Ming telah disunting, dikeluarkan bahagian-bahagian berkenaan (perkataan Inggerisnya redacted) yang boleh membuktikan ia adalah kerajaan Islam. Tinggal bahagian-bahagian yang tidak boleh ditutup lagi tetapi tidak cukup untuk menjadi bukti seperti kenyataan bahawa Dinasti Ming memiliki ramai pentadbir beragama Islam (seperti halnya Laksamana Zheng He) dan pemerintah pertama dinasti, Maharaja Hongwu pernah menulis sajak yang sangat memuji tinggi Nabi Muhammad SAW. Para panelis bersetuju kemungkinan memang ada namun perlu digali lebih banyak bukti sebelum dapat dijadikan pernyataan.




Islam di China - Apabila seni khat Arab dan seni khat Cina digabungkan bagi memartabatkan Islam...

$
0
0
Bersambung daripada artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.


Jam 2.41 petang. Selepas waktu rehat makan tengah hari kemudian menunaikan solat Zohor di masjid ISTAC saya kembali ke dewan utama lalu mendapati hadirin sedang mengerumuni sesuatu.





Rupa-rupanya ada orang buat demonstrasi seni khat. Menariknya mereka berpeluang untuk mendapat hasil kerja percuma. Caranya tulis nama sendiri dengan tulisan Jawi lalu orang ini menulisnya kembali gaya khat di atas kertas khas yang disediakannya.


Namanya Dr Chen, itu yang saya dengar. Seorang Cina Muslim, beliau adalah doktor perubatan, bukan doktor falsafah seperti boleh ditemui ramai di ISTAC.


Kata Chen beliau boleh melakukan akupuntur. Kemudian timbul minat pada seni khat Arab sedangkan beliau tidak tahu membaca tulisan Jawi ketika itu. Ini adalah cerita beberapa tahun lalu. Beliau belajar bersungguh-sungguh teknik khat Arab lalu boleh menulis dengan baik dalam gaya Thuluth.


Chen juga tahu cara menulis khat tradisional China (kaligrafi). Dua gaya ini digabungkan untuk hasil-hasil kerja beliau....


Ditunjukkan di hadapan hadirin bagaimana ia dilakukan, apakah alatan yang perlu, jenis kertas, dakwat dan sebagainya...


Cara menulis, lengkok permainan tangan dan sebagainya memang berseni.


Kemahiran digunakan untuk mengangkat potongan ayat-ayat Quran menjadi hasil seni yang mengujakan. Untuk demonstrasi ini ditulis nama Allah...





Kemudian nama Muhammad...


Menurut Chen tak rugi belajar dan menguasai seni khat. Pergi ke mana-mana hasil kerjanya laris dibeli orang. Selain itu ia juga cara berdakwah yang boleh menarik minat orang bukan Islam untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam...



Sebagai penghargaan terhadap perkongsian ilmu beliau, Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Datuk Dr Osman Bakar menghadiahkan senaskah buku "Islam in China". Inilah buku yang diluncurkan pada pagi hari lalu satu forum berkenaan menyusul selepas itu. Rujuk kembali artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.



Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam

$
0
0

Salam petang Jumaat 5 Safar. Cerita perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera harus diteruskan. Maka bersambung daripada Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.


Pagi Isnin 2 September 2019 bersamaan 2 Muharram 1441 Hijriah. Setelah masuk 6 hari perjalanan  baru kali ini hari dapat dimulakan dengan santai kerana tidak perlu lagi terkejar-kejar. Kelihatan dalam gambar pagar kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Kami anak beranak telah bermalam di pondok berhadapan.


Kawan-kawan kami dari Malaysia telah bergerak ke Banda Aceh pada hari sebelumnya dengan satu kereta. Tinggal saya, isteri dan anak-anak menikmati suasana perkampungan dikelilingi sawah.


Alhamdulillah, anak-anak yang sejak daripada kecil malah dalam perut lagi sudah dibiasakan mengembara lasak boleh tidur dari masjid ke masjid juga pondok ke pondok tanpa masalah. Tidak pernah sekali pun membantah apa lagi menunjukkan ragam dengan cara kami mengembara lasak.


Mereka seronok dapat mandi perigi, kejar anak kambing dan sebagainya. Siap sempat 'buat makam' di hadapan pondok.


Jam 10 pagi kawan Aceh kami tiba. Beliau datang dari Banda Aceh pada hari sebelumnya untuk menyertai acara yang kami adakan di makam Sultan Malikus Saleh. Tetapi beliau sampai lewat lalu cuma dapat menyertai sesi lawatan dua bangunan baru yang didirikan atas nama kerajaan silam. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai


Kawan bernama Fadhlan Amini ini telah membawa seorang kawan bernama Jamaluddin (dipanggil Lodin). Inilah kali pertama saya dan isteri mengenali Lodin. Kami sudah kenal ramai kawan di Aceh terutama di Banda Aceh. Kampung Lodin (sebelah ibu kalau tak salah) terletak 15-20 km ke timur makam. Mereka bermalam di sana sementara kami bermalam di pondok berhadapan kompleks makam.


Sebelum ini Fadhlan telah membawa kami dari lapangan terbang di Banda Aceh hingga sampai ke kampungnya di Tapak Tuan. Lihat artikel-artikel berikut :-






Selepas itu beliau kembali bersendirian ke Banda Aceh, kami anak beranak menumpang satu lagi kereta hingga ke Barus kemudian persekitaran Danau Toba membawa ke Deli Tua dan Medan terus ke Perlak sebelum sampai ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Lihat artikel-artikel berikut :-






Sekarang kami kembali menaiki kereta Fadhlan. Singgahlah ziarah ke tempat ini. Lihat Lawatan baru ke kompleks makam Ratu Nahrisyah (New visit to Ratu Nahrisyah tomb complex).


Saya juga mengambil peluang untuk mencari satu makam yang sudah lebih 15 tahun diketahui wujud di sekitar itu. Tetapi baru sehari dua  tergerak untuk mencari apabila mendapati kedudukan tepatnya ada ditanda orang dalam Google Map. Ternyata ia tidak begitu jauh daripada makam Sultan Malikus Saleh.


Ia adalah makam Sidi Abdullah, seorang keturunan Khalifah al-Muntasir (daripada Bani Abbasiyah, bertakhta  di Baghdad tahun 1226 hinga 1242 Masihi). Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan kerajaan Samudera-Pasai. Umum tahu Baghdad telah diserang lalu dihancurkan tentera Mongol pada tahun 1258. Ini menyebabkan Kekhalifahan Bani Abbasiyah jatuh serta merta. Selepas beberapa lama naik pemerintahan baru yang diterajui pemimpin Mongol yang telah masuk Islam.

Moyang Sidi Abdullah adalah antara bangsawan Arab Quraish yang berjaya meloloskan diri ketika ribuan, mungkin jutaan orang Islam dibunuh Mongol. Ada antara kaum kerabat mereka dibawa ke Mesir yang sedang diperintah kerajaan Mamluk lalu dijadikan khalifah. Namun ia lebih pada wayang untuk menaikkan keabsahan Mamluk. Secara rasminya Kekhalifahan Bani Abbasiyah tamat selepas kejatuhan Baghdad. 

Kedatangan satu cabang keturunan khalifah bagi seluruh umat Islam ke Samudera-Pasai menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan kerajaan Melayu Islam tersebut. Makam Sidi Abdullah yang terletak bersebelahan tapak masjid beliau, diapit kolam-kolam udang air tawar yang memberikan pemandangan yang menenangkan menjadi satu bukti kegemilangan. Lihat artikel-artikel berikut :-






Makam ini dan cerita ringkas tentangnya agak terkenal dalam buku-buku tentang kerajaan Samudera-Pasai. Sekurang-kurangnya itulah yang dapat saya lihat ketika mula-mula sibuk mengkaji tentang kerajaan tahun 2004. Ia menjadi asbab gambar dan cerita dimasukkan ke dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Lihat muka surat berkenaan yang diambil gambarnya tadi. Sekarang setelah akhirnya sampai setelah lebih 15 tahun tahu, setelah lebih 13 tahun gambar dan cerita menghiasi buku apakah ada petunjuk berkenaan dan makna? Apakah sampainya saya itu terkait dengan persoalan yang diterbitkan di muka surat sebelah iaitu "Sampai Bila Berpetualang?". Sampai bila harus mengembara ke sana ke mari mencari jawaban?


Saya pun tak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Walaupun boleh kata hampir semua persoalan yang pernah melanda diri waktu buku ditulis telah terjawab selepas itu muncul pula persoalan-persoalan lain yang menuntut jawaban baru. Pun begitu, bila difikirkan kembali sebetulnya persoalan tidak menjadi masalah sangat. Sudah disebut banyak yang sudah terjawab. Apa yang perlu sebenarnya adalah terzahirnya beberapa perkara yang bayangannya sudah saya terima sejak bertahun lampau. Ada antaranya terkait dengan kegemilangan kembali kerajaan Samudera-Pasai.


Oh. Tadi itu dan ini adalah gambar kami anak-beranak di makam Sultan Malikus Saleh. Sebelum meninggalkan kawasan dan persekitaran yang pernah menjadi pusat kerajaan kami ziarah lagi sebagai tanda selamat tinggal...


Perjalanan diteruskan ke Banda Aceh 285 km ke arah timur dan utara makam. 


Seperti biasa ada tempat-tempat mahu disinggahi. Kali ini ada senarai beberapa makam lama yang belum pernah lagi sampai walau sudah 8 kali ke Aceh, kali ini yang ke-9...


Adapun kami meninggalkan makam Sultan Malikus Saleh dan persekitaran tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai pada jam 12.30 tengah hari. Selepas itu singgah makan di suatu tempat. Gambar ini diambil pada jam 14:41 atau 2.41 petang. Kalau tak salah kami di bandar Bireun. Teringat betapa ketika ini baru hari ke-2 tahun Hijriah yang ke 1,441...


Di sekitar ini ada makam mahu diziarahi dan ia sudah ada dalam senarai. Namun belum sempat saya mengutarakanya kepada Fadhlan, Lodin telah lebih dahulu mengajak. Maka sampailah kami ke kompleks makam seorang ulamak besar yang dikenali sebagai Teungku Chik Awe Geutah. Letaknya 10 km ke selatan bandar Bireun.


Berasal dari Baghdad 500 tahun lalu beliau dianggap sebagai wali keramat. Pernah berlaku ada air zamzam yang dibawanya dari Mekah hendak diagih-agihkan kepada penduduk tapi tak cukup. Lalu digalinya satu perigi, dicurahkannya air zamzam ke dalam. Air yang diambil dari perigi jadi jernih dan rasa pun seperti air zamzam lalu semua orang dapat mengambilnya. Begitulah keadaan air perigi sehingga ke hari ini. Orang selalu datang mengambil untuk dijadikan ubat dan penawar...


Makam menjadi tumpuan untuk diziarahi sambil membawa hajat. Penempatan dan kawasan jadi tempat orang beramal juga belajar agama di madrasah. Lihat artikel-artikel berikut :-









Tetapi paling menarik perhatian saya adalah apabila melihat senarai salasilah keturunan dan ahli keluarga Teungku Chik Awe Geutah atau nama sebenarnya Sheikh Abdul Rahim (ditambah al-Asyi) dalam rumah...


Saya tertarik kerana ada tertulis nama ayah Teungku Chik Awe Geutah iaitu Jamaluddin Bawaris sebagai keturunan Saidina Abbas RA, bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna beliau adalah daripada keluarga Bani Abbasiyah, sama seperti Sidi Abdullah yang makamnya diziarahi lebih awal di persekitaran tapak kerajaan Samudera-Pasai. Bezanya ketika Abdullah  meninggal dunia tahun 1403 Kesultanan Aceh Darussalam belum lagi wujud. Teungku Chik Awe Geutah pula dikatakan diutus ke wilayah ini oleh Sultan pertama Aceh Darussalam iaitu Sultan Ali Mughayat Syah (memerintah 1514-1530). Terdapat lebih 100 tahun perbezaan masa dan mereka berkhidmat dengan lain-lain kerajaan.


Kami duduk lama bercerita bermacam-macam dengan keturunan yang menjaga rumah dan makam. Namanya Teungku Mukhsin. Jam 4.45 gitu baru bergerak meninggalkan rumah. Sambil itu asyik terfikirkan kaitan dan faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam.


Jam 5.18 kami masuk ke satu kawasan pendalaman lain untuk mencari makam raja-raja Jeumpa. Ia merupakan satu kerajaan awal di Aceh yang dipercayai sesetengah pihak sudah menerima Islam seawal tahun 700an Masihi, lebih awal daripada Perlak.


Yang pasti ada cerita menyebut di kerajaan Jeumpa inilah datang seorang anak raja Parsi daripada keturunan Dinasti Sassanid yang dikenali sebagai Pengeran Salman al-Farisi. Baginda berkahwin dengan puteri raja Jeumpa lalu seorang anak atau cucunya membuka kerajaan Perlak.


Ketika Meurah Syahir Nuwi memerintah Perlak muncullah rombongan 100 orang pendakwah Islam yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah tahun 173 Hijriah. Bacaan yang saya temu rata-rata mengatakan ini adalah bersamaan tahun 800 Masihi. Kiraan sama menunjukkan ia adalah tahun 790M.


Apapun itu membawa kepada terbitnya Kesultanan Islam Perlak tahun 225 H bersamaan 840 M. Tarikh pengasasan yang diisytiharkan dengan naiknya Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah 1 Muharram, seorang Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW hasil perkahwinan ayahandanya dengan adinda kepada Meurah Syahir Nuwi menjadi asbab saya mahu bermalam di makam Sultan Abdul Aziz malam 1 Muharram sebelum mengadakan acara ke-21 HIKMAH di kompleks makam Sultan Malikus Saleh siang 1 Muharram. Lihat kembali artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.


Perjalanan dari makam Malikus Saleh ke Banda Aceh, aktiviti sepanjang hari termasuk ziarah ke makam Teungku Sidi Abdullah juga makam Teungku Chik Awe Geutah sebenarnya adalah secara rasminya sebahagian daripada acara ke-21 HIKMAH. Ini kerana ia telah diisytiharkan berlangsung daripada 1-3 September 2019 bersamaan 1-3 Muharram 1441 H agar dapat meliputi satu bahagian acara yang mahu diadakan di Banda Aceh 3 September. Oh. Gambar ini diambil jam 8.49 ketika makan malam di suatu tempat. Kalau tak salah ini di barat bandar Sigli...


Jam 11.53 baru masuk ke lingkungan kota Banda Aceh.


Jam 12 tengah malam sampai di rumah Fadhlan di mana kami akan menginap. Esok pagi harus bersedia untuk acara jam 9...


Program Tempa Melayu - Membentuk jiwa Melayu kental dengan ilmu yang benar...

$
0
0
Salam hari Isnin 9 Safar. Dengan terbitnya artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam lewat petang Jumaat 4 hari lalu penceritaan bagi perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September itu tinggal 2 edisi sahaja iaitu bagi hari yang ke-7 dan hari ke-8 (hari akhir). Insyaallah penceritaan akan cuba diselesaikan dalam tempoh seminggu sahaja lagi. Namun ada majlis-majlis yang dihadiri baru ini juga bakal dihadiri dalam tempoh waktu tersebut mahu dilepaskan ceritanya. Kita bermula dengan ini.


Pagi Sabtu 5 Oktober 2019 saya keluar lagi dari kawasan rumah untuk satu acara.


Kali ini lokasinya adalah di Shah Alam.


Jam 9.55 sampailah ke ibu negeri Selangor itu. Lokasi tepat kampus utama UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA) di Seksyen 1. 


Kali terakhir saya ke situ untuk majlis ilmu adalah pada penghujung tahun lepas. Ada Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam pada 5 Disember.  Lihat artikel Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu diikuti Rujukan daripada Asia Barat dan Timur Tengah.


Ketika itu saya baru 2 hari sahaja selesai membuat perjalanan pusing Cambodia bersama keluarga. Perjalanan yang memakan masa 12 hari 11 malam itu diakhiri dengan kami kembali melalui Thailand. Ia meliputi jarak darat sekitar 3,000 km menaiki pelbagai jenis kenderaan (tidak termasuk penerbangan). Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation.


Untuk acara terbaru di UiTM Shah Alam ini saya membawa 'aura' perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September yang penceritaannya belum siap sepenuhnya itu diikuti perjalanan pusing Perak 15-18 September (penceritaan dah siap tetapi belum dikumpulkan bagi rujukan mudah). Oh. Nama acara adalah Program Tempa Melayu.


Ini adalah poster bagi acara.


Senarai atur cara. Saya adalah salah seorang pembentang.


Hal ini ada persamaan dengan perjalanan pusing Perak. Ini  kerana perjalanan tersebut berlaku atas asbab diundang ke Ipoh untuk membentang tentang sejarah hubungan Aceh-Perak. Lihat artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi diikuti Membawa semangat Aceh ke Perak - Rumah tradisional dua negeri dan usaha-usaha untuk memartabatkan warisan.


Saya sebut ini kerana merasakan ada kesinambungan daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera membawa ke Perak kemudian ke UiTM Shah Alam. Hal ini akan dipanjangkan apabila sampai masa untuk berkongsi cerita pembentangan saya dalam Program Tempa Melayu. Untuk makluman saya membentang pada petang Ahad iaitu hari ke-2 program. Saya datang hari Sabtu untuk mengikuti acara daripada mula kerana kelihatan begitu menarik, antaranya adalah "Pemasyhuran Watikah Wasiat Raja-raja Melayu" oleh Profesor Dato' Dr Ibrahim Ghaffar, seorang budayawan negara.


Pun begitu saya sampai lambat lalu cuma sempat mendengar beliau membaca puisi tentang "Tak Melayu Hilang di Dunia". Ini terkenal sebagai ungkapan keramat pahlawan Melayu terkenal zaman Kesultanan Melaka iaitu Laksamana Hang Tuah. Isinya seperti pernah terbaca di Internet tapi tak ingat nama. Hmm... teringat pula acara berkenaan di Perpustakaan Negara 2 minggu lalu. Lihat Wacana Silat Hang Tuah di Perpustakaan Negara.


Ini diikuti oleh ucapan dasar oleh pengarah program, Profesor Dato' Dr Mohammad Fairus bin Khairuddin. Beliau yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tahun 2008-2009 adalah presiden dan guru utama Persatuan Seni Silat Gayung Nusantara (PSSGN). Program dianjurkan oleh Pusaka Academy yang mana beliau adalah pengasas dan presiden.


Beliau menerangkan hala tujuan program mahu membentuk jiwa-jiwa kental anak Melayu agar dapat menghadapi cabaran akhir zaman dengan ilmu dan pengetahuan yang benar. Ini sangat penting dalam keadaan di mana orang Melayu dan Islam semakin dicabar dengan pelbagai kerenah pihak mahu menjatuhkan. Oleh itu telah diatur pengisian berupa pembentangan-pembentangan daripada panel  yang cukup berpengetahuan dalam bidang.


Pembentang pertama adalah Profesor Datuk Dr. Sidek Baba daripada Universiti Islam Antrabangsa (UIAM). Beliau yang merupakan tokoh cendekiawan dan pendidikan yang tidak asing lagi membawa tajuk "Pendekatan Ketamadunan dalam Membangun Potensi Umat dan Pembinaan Budaya Ilmu" bermula jam 2.30 petang.


Disebut tentang faktor-faktor penting yang telah menyumbang kepada tamadun Islam terdahulu.


Oh. Saya dapat tahu Sidek yang kini berumur 73 tahun sedang mengalami masalah kesihatan. Baru sebulan dua harus berkerusi roda kerana mudah pusing kepala kalau berdiri.


Namun beliau tetap berusaha untuk datang agar dapat berkongsi ilmu pengetahuan yang dimiliki. Disebut pula keadaan umat Islam masa kini.


Disenaraikan kelemahan yang menghalang kemajuan umat Islam sekarang...


Diterangkan kepentingan untuk berjihad dalam keadaan jiwa yang sepatutnya.





Selesai pembentangan Sidek dianugerahkan sandang kehormat PSSGN...





Sekitar jam 4.15 dimulakan pembentangan kedua, oleh Profesor Dr Shahidan Radiman, pakar sains nanoteknologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tajuknya adalah "Dunia Mistik Alam Melayu dan Peranan Ilmu Tasawuf serta Tariqat dalam Pembinaan Ketamadunan Melayu Islam Beraja".


Shahidan yang merupakan seorang ilmuwan Sufi memulakan dengan memperkenalkan beberapa definisi Barat terhadap apa itu Melayu atau orang Melayu.





Selepas itu baru masuk bab kelebihan orang Melayu, antaranya adalah apabila melibatkan unsur-unsur mistik...








Dimasukkan pula tentang pentingnya institusi Melayu Islam Beraja berdasarkan sejarah keKhalifahan Islam terutama pada zaman 4 khalifah pertama, para Khulafah ar Rashidin.


Disebut bagaimana raja-raja dahulukala termasuk di Alam Melayu, para kerabat dan pejuang adalah pengikut tariqat ilmu keSufian dan siapakah guru-guru mereka...








Memutar kembali ke zaman kegemilangan Kesultana Melayu Melaka untuk dijadikan contoh...


Diberikan beberapa cadangan bagaimana hendak mengembalikan kegemilangan orang Melayu...


Selepas pembentangan Shahidan dipakaikan sandang kehormat PSSGN...





Sebagai penutup acara atau lebih tepat, penutup sesi hari Sabtu Fairus memberikan rumusan sambil memberikan gambaran apakah yang bakal dikongsikan esok hari...



Program Tempa Melayu - Menyingkap kajian terbaru tentang Hang Tuah sebelum mengupas kelebihan Benua Tua Melayu dan bangsa...

$
0
0
Masuk hari ke-2 program. Bersambung daripada artikel Program Tempa Melayu - Membentuk jiwa Melayu kental dengan ilmu yang benar....


Awal pagi Ahad 6 Oktober 2019. Selepas solat Subuh berjemaah di sebuah surau di Seksyen 2, Shah Alam kemudian mendengar ceramah berkenaan ilmu Sufi saya bersarapan bersama jemaah menghadap sekelompok bangunan kolej kediaman bagi pelajar UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA). Bangunan itu pernah menjadi tempat saya dan 200 orang pelajar bermastautin 3 malam (ke seminggu?) bagi orientasi masuk ke program PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar di bawah ITM iaitu Institut Teknologi Mara) sekitar pertengahan tahun 1988. Ia adalah program bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Tetapi kena selesaikan dahulu pengajian peringkat "A" Level (seperti STPM atau Sijil Tinggi Pengajian Malaysia) di PPP/ITM.

Di situlah,  di kolej kediaman yang kelihatan kawan-kawan mula memanggil saya sebagai "Fly" satu nama yang masih dirujuk oleh mereka yang mengenali sejak itu hinggalah nama panggilan "Merah Silu" menjadi lebih terserlah 20 tahun kemudian. Sebabnya adalah saya selalu "Fly" atau cabut ke tempat lain ketika pelajar harus ke surau kediaman (bukan surau dalam gambar tapi di luar kiri) untuk kuliah Subuh dan sebagainya. Memang cabut keluar asrama menjadi satu 'kepakaran' saya sejak zaman Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) di Kluang, Johor tahun 1983-1987. Tapi itu kenangan nostalgik lebih 30 tahun lalu. Boleh baca cerita berkenaan dalam artikel Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... yang ditulis lebih 11 tahun lalu.


Sekarang ni dah nak masuk umur 49 tahun takda gunanya cabut ke mana-mana. Sebabnya boleh aje nak keluar bila-bila masa... tiada siapa boleh melarang atau menghalang kecuali diri sendiri ingat tanggungjawab sebagai orang berkeluarga. Kalau dahulu saya selalu cabut daripada asrama dan masjid (bila dipaksa mendengar kuliah dan sebagainya) tetapi sejak 20 tahun lalu secara sukarela suka pergi ke masjid pada bila-bila. Sebetulnya malam itu saya telah menginap di surau ini untuk memudahkan pergi ke Program Tempa Melayu di UiTM Shah Alam. Letak kampus cuma sebelah surau sahaja sedangkan rumah saya lebih 50 km. Pergi balik dah lebih 100 km. Boleh jimatkan minyak dan masa. 

Oh. Semasa mendengar kuliah Subuh saya ada memandang ke luar menghadap kolej kediaman. Entah kenapa ternampak papan tanda biru bercahaya bertulis "KFC". Fikir saya masa itu ternampak bangunan kedai makan ketika hari dah masuk siang kerana sampai ke surau dalam kegelapan malam. Bila dah keluar tengok-tengok takda pun KFC. Yang ada bangunan bertanda A, B dan seterusnya. Ishhh... :]


Walau dah dekat saya masuk ke dewan untuk Program Tempa Melayu lebih setengah jam lewat. Ini disebabkan perut buat masalah. Apapun pembentangan pertama pagi merangkap pembentangan ke-3 secara keseluruhan bagi program adalah bertajuk "Menyingkap Hakikat Sejarah & Meluruskan Kisah Dalam Mendaulatkan Ketamadunan Melayu Islam Beraja" oleh Dr Rohaidah Kamaruddin daripada Universiti Putra Malaysia. Beliau telah mencipta nama apabila mengkaji jejak pahlawan Melayu zaman Kesultanan Melaka yang terkenal iaitu Laksamana Hang Tuah hingga ke Kepulauan Okinawa di Jepun di mana pernah wujud kerajaan lama Ryukyu.


Hasil kerja berkenaan pernah saya ulas 4 tahun lalu. Lihat artikel Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa". Ketika saya sampai Rohaida sedang bercakap tentang jejak Hang Tuah di Vijayanagara, India...


Kajian berkenaan juga sudah dijadikan buku tetapi saya belum berkesempatan membacanya. Beliau mungkin ahli akademik tempatan paling gigih mengkaji tentang Hang Tuah sejak beberapa tahun kebelakangan.


Saya pertama kali mendengar pembentangan Rohaida tentang Hang Tuah cuma seminggu dua selepas mengulas buku "Catatan Okinawa".  Ditunjukkan kajian beliau di beberapa tempat termasuk di India yang belum lagi dibukukan ketika itu. Lihat Antara mitos dan sejarah Hang Tuah - Leonardo da Vinci pun ada kena mengena? Ditunjukkan video sebuah drama terbitan sana yang mana Hang Tuah dirujuk sebagai pahlawan Melayu yang pernah melatih tentera Vijayanagara. Gambar video tersebut ditunjukkan dalam slaid pada Program Tempa Melayu.


Ditunjukkan pula relif pada sebuah kuil di sana di mana kelihatan jelas ukiran orang bertanjak dengan kuda. Cerita berkenaan daripada kitab Hikayat Hang Tuah dirujuk di mana pahlawan Melayu itu disebut pernah menjinakkan seorang kuda yang agak liar milik raja Vijayanagara.


Ini pula adalah keranda paderi besar Kristian, St Xavier yang pernah datang ke Kota Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Dipercayai keranda itu asalnya adalah peti harta istana Melaka. Ia telah dirampas lalu diubah dan ditambah sedikit ukiran agar kelihatan ciri Kristian...


Ditunjukkan dua meriam Melaka yang agak besar dirampas Portugis lalu diletakkan di India...


Seterusnya diulangi cerita Okinawa dan hal-hal berkenaan.





Sebetulnya Rohaida bukan pakar sejarah. Bidangnya adalah bahasa. Namun kepakaran dalam bahasa sehingga boleh membaca manuskrip lama bertulisan Cina dan Jepun menyebabkan beliau dapat menafsirkan sekumpulan surat lama kerajaan Ryukyu yang menunjukkan hubungan rapat dengan Melaka 500 tahun lalu...





Seperti pada hari Sabtu, Rohaida juga menerima sandang kehormat Persatuan Seni Silat Gayong Nusantara (PSSGN) daripada pengarah program Profesor Dato' Dr Mohammad Fairus bin Khairuddin selepas tamat pembentangan.


Pada saya perkara paling menarik dalam pembentangan beliau adalah pengalaman-pengalaman bersifat mistik dalam mencari jejak Hang Tuah. Beliau bermula sebagai seorang skeptik yang sering mempersoalkan kewujudan pahlawan Melayu itu. Apabila hal ini ditanya kepada seorang mahaguru silat, beliau dibukakan hijab sehingga dalam melihat orang bertanjak hebat yang dikatakan adalah Hang Tuah muncul di halaman rumah beliau melalui pandangan mata hati...


Pembentang seterusnya, Ustaz Engku Ahmad Fadzil membawa tajuk yang kelihatan. Turut tertera jawatan yang sedang disandang beliau.


Saya dapat tahu beliau bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama sehingga ke peringkat sarjana di Jordan.


Pembentangan beliau adalah untuk menerangkan siapa itu golongan yang layak dipanggil sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah, siapa yang bukan...








Turut disebut apa pula bezanya dengan golongan Wahabi yang turut mengaku sebagai termasuk dalam golongan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah tetapi seringkali menuduh pihak selain mereka sebagai ahli bida'ah sesat malah kafir pula...


Namun diterangkan juga ada yang kelihatan seperti Wahabi tetapi bukan. Hal ini perlu diluruskan...


Dikupas tentang bab akidah dalam mengenal Allah SWT yang mana golongan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah daripada mazhab yang 4 - Hanafi, Maliki, Shafiee dan Hanbali - berpegang teguh pada pengajian Sifat 20. Sedangkan Wahabi menolaknya lalu berpegang pada apa yang dipanggil sebagai Tauhid 3 atau Tauhid 3 Serangkai.


Wahabi menuduh ilmu Sifat 20 sebagai sesat lagi bida'ah walhal tiada masalah langsung kalau dikupas secara tuntas menurut aturannya. Namun Engku Ahmad menambah begitu juga halnya Sifat 3. Bila dikupas tiada masalah malah bertepatan juga dengan ilmu tauhid yang dipegang para ulamak berwibawa. Yang jadi masalah adalah penafsiran dan aplikasi. Misalnya Tauhid Rububiyah menyatakan yang berkuasa atas semua baik di langit mahupun di bumi adalah milik Allah SWT. Yang salah adalah apabila Wahabi menyatakan orang kafir juga berfikiran begitu. Sedangkan mereka sering meletakkan selain daripada Allah, misalnya dewa-dewa sebagai pemilik kuasa.


Tamat pembentangan sandang kehormat pun diberi...





Jam 2.40 petang iaitu selepas waktu rehat makan tengah hari dan solat Zohor muncul Profesor Emeritus Datuk Dr Kapten (B) Hashim Yaacob untuk membawa tajuk yang kelihatan.


Bidang kepakaran beliau sebenarnya adalah pergigian ataupun dentistry. Tetapi pengalaman pernah menjadi dekan jabatan berkenaan di Universiti Malaya (UM) sehingga dapat mencapai piawaian tinggi antarabangsa diikuti pengalaman menjadi naib canselor UM melayakkan beliau bercakap tentang mencapai kejayaan juga kepimpinan yang baik.


Hashim memilih untuk lebih bercakap tentang kepimpinan. 





Ini kerana kepimpinan boleh menentukan apa yang bakal terjadi kepada semua orang lain...


Slaid-slaidnya rata-rata dalam bahasa Inggeris. Ini kerana beliau biasa membentang untuk khalayak yang suka berbahasa Inggeris, belum sempat menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.


Dikongsikan pengalaman bagaimana memimpin dan memotivasikan orang bawahan beliau sehingga dapat memenangi pingat juga meningkatkan penerbitan buku daripada sasaran 100 tajuk setahun menjadi 150...





Hampir penghujung pembentangan beliau meminta sahabat beliau, Profesor Dato' Dr Ibrahim Ghaffar yang merupakan seorang budayawan negara untuk membaca lagi sekali sajak tentang "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" seperti pernah dilakukan hari Sabtu. Rujuk kembali artikel Program Tempa Melayu - Membentuk jiwa Melayu kental dengan ilmu yang benar....

Oh. Ibrahim baru sekitar jam 1 petang kembali daripada menghadiri satu perhimpunan besar-besaran yang dipanggil sebagai Kongres Maruah Melayu. Diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam ia dihadiri oleh ramai pemimpin besar Melayu termasuk Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir. Difahamkan stadium tertutup yang boleh memuatkan 10,000 hadirin itu penuh. a adalah antara sebab saya memilih untuk menginap di surau berdekatan UiTM pada malam sebelumnya. Kalau dari rumah perlu melepasi jalan utama menuju ke stadium. Sedangkan pada hari biasa pun ia selalu sesak.


Hashim turut mengambil peluang untuk membacakan satu puisi yang dikarang untuk isteri beliau suatu waktu dahulu. Kata beliau jujur dahulu tidak tahu menghargai isteri. Apabila dibuang daripada kerusi dekan setelah bergaduh dengan timbalan naik canselor waktu itu baru tahu siapa yang terus menyokong dalam susah dan senang lalu menjadi lebih peka dengan kehendak dan perasaan isteri...


Menerima sandang selepas tamat pembentangan. Ketika gambar ini diambil sudah jam 4.12 petang. Sedangkan menurut jadual atur cara pembentangan seterusnya sepatutnya sudah bermula jam 3.30.


Gambar ini pula diambil pada jam 6.18 iaitu selepas pembentangan tersebut tamat. Saya sebagai pembentang mengambil gambar ini dari atas pentas.


Asalnya saya cuma diberi slot selama sejam sahaja iaitu daripada jam 3.30 hingga 4.30. Selepas itu Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu di UiTM akan membawa tajuk "Memartabatkan Perjuangan Melayu Islam Beraja dan Peranan Kursi Institusi Raja-raja Melayu" sehingga sampai masa untuk bersurai jam 6. Sebaliknya beliau tidak dapat datang kerana harus bertolak ke Johor selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu. Akibat daripada itu saya pula mendapat ruang sehingga boleh membentang lebih 2 jam.


'
Banyak kali saya bertanya apakah sudah sampai masa tetapi diminta meneruskan. Nampaknya pembentangan bertajuk "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" begitu menarik perhatian sehingga orang ramai sanggup mendengar kemudian bersoal jawab sehingga hampir jam 6.30 petang. Saya pula yang asyik risau jika mengambil masa orang. Dan lagi kami belum menunaikan solat Asar.


Secara rata saya berkongsi apa yang telah diceritakan dalam buku ke-12 saya "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia : Menyelaraskan Sejarah Pergerakan Manusia Sejagat Berdasarkan Kitab Berbanding Sains". Tetapi sebelum itu harus diterangkan dahulu isi buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu : Menyelaraskan Pengetahuan Tentang Penciptaan Manusia Berdasarkan Kitab Berbanding Sains" yang diterbitkan bersama secara 'berkembar' pada bulan Mac 2018. Ini kerana ia saling berkait. Buku ke-12 bersambung daripada buku ke-11. Harus faham yang mula baru jelas apa yang diperkatakan pada buku seterusnya...


Bahagian awal isi pembentangan ada persamaan dengan syarahan-syarahan saya tentang kira-kira penyelarasan masa yang terdapat dalam buku "Nabi Adam". Rujuk artikel Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC dan Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar. Bahagian selepas itu tidak pernah saya syarahkan di mana-mana kecuali pada Program Tempa Melayu ini. Paling dekat pernah disyarahkan adalah apabila bercakap tentang keistimewaan kedudukan Alam Melayu berbanding Ka'abah di Mekah dalam satu majlis anjuran pihak saya sendiri 5 tahun lalu. Ketika itu tak difikirkan pun apa yang disyarahkan akan dimasukkan ke dalam buku. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

1. Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Melacak kesan tanah tua

2. Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Kaitan Kaabah yang menakjubkan

3. Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Tempat keluar panji-panji hitam dari Timur?


Isteri saya yang datang lewat selepas menghantar seorang anak ke Bukit Jelutong sempat mengambil secara langsung video ke Facebook (live FB). Dapatlah dalam 23 minit boleh ditonton oleh sesiapa pada bila-bila masa. Lihat sini

Ah. Baru teringat. Dalam artikel Program Tempa Melayu - Membentuk jiwa Melayu kental dengan ilmu yang benar... ada disebut bahawa membentangnya saya dalam Program Tempa Melayu di Shah Alam ini adalah kesinambungan daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos-4 September diikuti perjalanan pusing Perak 15-18 September. Sekarang biar ditambah. Pada kedua perjalanan tersebut saya ada membawa sepersalinan busana tradisional Melayu berwarna putih. Semasa di Aceh ia mahu dipakai untuk majlis di kompleks makam Sultan Malikus Saleh, di Perak ketika membentang di Ipoh tapi dua-dua tak jadi Lihat artikel Membuka acara ke-21 HIKMAH di makam Sultan Malikus Saleh setelah 1,400 km mengembara pusing Aceh dan utara Sumatera diikuti Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi. Akhirnya setelah hampir 40 hari ia dibawa jauh ke sana ke mari iaitu sejak 28 Ogos baru Ahad 6 September dipakai untuk Program Tempa Melayu. Harus ada sesuatu yang signifikan tentang ini...


Penutup menyaksikan rumusan oleh Fairuz berserta komitmen untuk menyambung program sebagai siri. Turut disebut sengaja dia memberikan masa kepada saya sehingga lebih 2 jam supaya dapat dilepaskan segala yang patut. Beliau memberitahu ada mengikuti pembentangan saya di beberapa majlis tetapi kekangan masa mengganggu. Apapun pada saya  adalah penghormatan yang besar diberikan ruang untuk membentang begitu lama dalam satu majlis yang membariskan ramai tokoh. 

Lebih menarik lagi apabila pembentang sebelum saya iaitu Hisham yang merupakan mantan naib canselor UM memberitahu kepada khalayak bahawa apa dibentangkan itu bertaraf PhD. Ia layak diangkat terus menjadi tesis PhD walaupun belum memiliki Masters. Saya pun memberitahu  telah dibenarkan oleh komiti penilaian cadangan tesis (proposal) untuk melompat terus ke PhD di tempat menyambung pengajian pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam), Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Tetapi saya mengalah apabila penyelia tesis, Profesor Ulung Datuk Osman Bakar bertegas agar tetap dibuat Masters terlebih dahulu.

Daripada segi peraturan institut yang mengikut peraturan badan induknya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memang ada ruang untuk melompat berdasarkan pengalaman sebagai seorang pelajar matang (matured student) berumur 48 tahun (ini pada penghujung tahun lepas apabila hal dibincangkan). Apa lagi saya sudah pun menghasilkan buku tentang kajian yang mahu diangkat selain sejumlah lagi buku. Cuma ia perlu diubah dan ditambah apa yang patut menurut format akademik tinggi. 

Kata Hashim saya pula yang sepatutnya bertegas agar dibenarkan melompat terus ke PhD. Sebetulnya ada beberapa orang pensyarah pernah menyarankan agar saya berurusan terus dengan dewan senat UIAM. Ini boleh dilakukan tanpa melalui Osman. Jawab saya tak mahu derhaka kepada orang yang sudah dianggap sebagai guru selain umurnya hampir sebaya ayah saya. Teringat pesanan Osman supaya bersabar. Mungkin ia ujian untuk melihat apakah saya rela dididik atau sudah merasakan diri begitu pandai sehingga tidak mahu menurut saranan Osman yang merupakan cendekiawan Islam bertaraf dunia, termasuk dalam senarai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia. 


Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Banda Aceh dan lanjutan acara ke-21 HIKMAH

$
0
0

Salam petang Rabu 10 Safar. Masuk penceritaan hari ke-7 perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September yang mana berlakunya bahagian lanjutan acara ke-21 HIKMAH iaitu di Banda Aceh. Bersambung daripada artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam.


Pagi Selasa 3 September 2019 bersamaan 3 Muharram 1441 Hijriah. Saya melihat ke luar rumah saudara Fadhlan tempat kami menginap malam semalam. 


Kelihatan rumah bersebelahan sebuah kedai. Ada disebut dalam artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam kami sampai jam 12 tengah malam.


Selepas itu tak terus tidur kerana makan hidangan yang sudah disediakan isteri Fadhlan sejak jam 8. Kemudian harus pula menyelesaikan beberapa perkara, jam 2 baru boleh berehat itupun susah hendak terlelap. Masuk waktu Subuh kena bangun untuk bersolat kemudian sambung tidur sekejap. Selepas bersiap-siap kami meninggalkan rumah jam 9.


Kami perlu bergerak ke satu lokasi 6-7 km ke timur rumah Fadhlan kerana di situlah akan diadakan acara lanjutan merangkap acara kemuncak HIKMAH ke-21. Tentang acara yang bermula di makam Sultan Malikus Saleh boleh rujuk artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai. Sebagai pengasas dan presiden NGO HIKMAH (singkatan untuk Himpunan Kedaulatan Melayu Akhir Zaman) saya termasuk dalam pihak penganjur dan juga membentang.


Jam 9.19 sampai ke lokasi yang merupakan sebuah rumah.


Dari luar nampak simple je macam tiada apa-apa. 


Walhal ia muzium swasta/persendirian yang memiliki koleksi barangan dan artifak yang boleh menandingi muzium-muzium besar milik kerajaan. Lihat artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Acara diadakan santai dalam suasana penuh kekeluargaan.


Di sini tak perlulah dipanjangkan cerita perjalanan acara sudah dikongsikan panjang lebar dalam artikel Acara HIKMAH ke-21 - Aceh sebagai tempat masuk Islam terawal sebelum tersebar ke merata pelusuk Alam Melayu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Selesai acara singgah di masjid ini untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar. Lihat Masjid (Mosque of) Subulussalam, Punge Blang Cut, Banda Aceh.


Selepas itu singgah ke makam ini. Insyaallah akan dibuat satu artikel khas berkenaannya. Ini kerana ada semacam kaitan dengan makam-makam berbatu nesan serupa di Daya (dekat Lamno sana) dan  Barus. Lihat Makam (Tomb of) Tuan Maqdum, Banda Aceh.


Selepas itu kami berjalan ke beberapa tempat di sekitar Banda Aceh. 


Antara paling menarik adalah kubah masjid yang hanyut akibat ombak ganas Tsunami yang meragut lebih 200,000 nyawa di Aceh pada pagi 26 Disember 2004. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


Turkish graveyard at Banda Aceh

From Uleelheue to the dome that got 'carried away'

Tomb of Syiah Kuala and surroundings


Ini pula dalam sebuah masjid baru yang dibina oleh seorang saudagar emas Aceh. Lihat Masjid (Mosque of) Keuchik Leumiek.


Di halaman masjid ada bangunan seperti rumah tradisional Aceh tetapi dibuat daripada kayu. Lihat Rumah Aceh di Masjid Keuchik Leumiek Masjid (Aceh house at mosque of Keuchik Leumiek)
.

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mendapat restu Imam Ghazzali?

$
0
0
Merujuk pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap yang dipersembahkan Rabu minggu lepas. Ada disebut bahawa siri syarahan "Classification of Knowledge in Islam" oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) telah dimulakan kembali setelah lama 'berehat' dan ia dialih daripada pagi Isnin ke petang Rabu. Ini adalah perkongsian bagi siri seterusnya...


Petang Rabu semalam 9 September 2019 saya bergerak dari rumah untuk mengikuti syarahan ke-9 "Classification of Knowledge in Islam" di ISTAC 40 km perjalanan.


Saya bertolak dari rumah sekitar jam 4.40. Agak lewat untuk mengejar syarahan yang dijadualkan bermula jam 5. Kena pula hujan sepanjang perjalanan. Ia semakin lebat semakin menghampiri Kuala Lumpur.


Jalan raya sesak pula di beberapa tempat. Dan saya sebenarnya sedang kepenatan badan dan fikiran selepas menyiapkan artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Banda Aceh dan lanjutan acara ke-21 HIKMAH jam 2.30 petang . Sebelum dapat mempersembahkan artikel tersebut harus disiapkan dahulu 5 artikel sokongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 3 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Harus disiapkan juga satu artikel boleh tahan panjang di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) untuk menunjukkan perjalanan satu acara yang saya anjurkan bersama rakan-rakan aktivis peminat sejarah di Aceh pada 3 September lalu. Lihat Acara HIKMAH ke-21 - Aceh sebagai tempat masuk Islam terawal sebelum tersebar ke merata pelusuk Alam Melayu

Daripada waktu Subuh saya menulis sambil harus melakukan perkara-perkara lain seperti hantar dan ambil anak ke sekolah. Jam 3.30 baru ada masa untuk berehat lalu melelapkan mata. Itu yang membuatkan saya kemudian berkejar ke ISTAC.


Sesungguhnya sebulan kebelakangan ini saya sangat sarat dengan membuat penulisan sambil hadir ke majlis-majlis ilmu. Siri cerita tentang pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 September hingga 4 Ogos belum lagi selesai dah pergi pula pusing Perak 15-18 September disebabkan harus memberikan syarahan/pembentangan di Ipoh tentang hubungan Aceh - Perak. Dah jadi dua set perjalanan perlu ditulis secara bersiri tentangnya. Di celah-celah itu hadir majlis-majlis ilmu lain lalu harus menulis/mengulas tentangnya. 

Sudah menjadi kebiasaan kalau tidak dilepaskan cerita tak senang duduk saya. Dan dalam tempoh seminggu ini sahaja sudah dua kali saya menginap di masjid/surau selepas menghadiri majlis ilmu kerana tidak mahu terlepas majlis seterusnya pada pagi keesokannya.


Begitulah saya sejak beberapa lama. Ketika berjalan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos - 4 September ada 2 malam menginap di masjid,  1 malam dalam kereta, 1 malam di pondok madrasah. Ketika berjalan pusing Perak 15-18 September satu malam sahaja menginap di hotel, 2 malam lagi di masjid atau surau di mana saya juga menulis kerana begitu banyak perkara perlu diluahkan/dikongsikan/diselesaikan. Sasaran saya sekarang adalah hendak bagi siap semua yang perlu dilepaskan terutama siri cerita pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera. Semoga selepas itu dapat memberikan tumpuan penuh kepada penulisan tesis di ISTAC yang sudah hampir setengah tahun tidak disentuh akibat hilang rentak akibat memberikan tumpuan kepada penulisan dan penerbitan buku ke-13 saya (keluar dari kilang cetak penghujung Jun lalu). Lihat Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.


Jam 5.23 sampai ke ISTAC. Fikir saya ketika itu tentu telah terlepas lebih 20 minit syarahan.


Masuk ke bilik persidangan untuk syarahan jam 5.28 rupa-rupanya ia baru hendak bermula. Ini kerana Osman menunggu supaya lebih ramai datang. Kelihatan banyak kerusi kosong, mungkin kerana hadirin yang pernah memenuhi bilik minggu lepas terhalang oleh keadaan, hujan lebat, kesesakan jalan raya dan sebagainya...





Tak mengapa. Kita teruskan pada syarahan berdasarkan apa yang dapat diingati dan sedikit yang dapat ditaipkan ke dalam komputer riba (saya buat dalam bahasa Inggeris kerana syarahan dalam bahasa itu). Sesungguhnya tidak dapat dicatatkan kesemuanya kerana tidak dapat menaip cukup laju untuk mengikuti syarahan dengan lancar. Dan menaip itu sebenarnya menganggu pencernaan ilmu.

Sesungguhnya saya ini jenis orang yang mencerna ilmu ibarat menikmati santapan. Ilmu yang dicerna menjadi zat yang membentuk tubuh badan lalu tidak sama lagi rupa dengan apa yng dihidangkan semasa santapan. Namun hasilnya menzahir dalam bentuk tubuh badan juga tenaga pergerakan yang dikeluarkan. Kebiasaan saya adalah mendengar sahaja tanpa membuat catatan... tetap dapat mencerna ilmu tetapi seperti hal tadi, tidak akan sama lagi rupa dengan santapan. Cuma keperluan untuk menyatakan kepada umum bagaimanakah rupanya hidangan santapan itu yang memerlukan agar dibuat catatan, Sekali lagi, biar dikongsikan berdasarkan apa yang ingat juga apa yang dapat ditaipkan.

Osman memberitahu semasa belajar di London (penghung tahun 60an hingga awal 70an) dahulu dia ada membaca buku Seyyed Hossein Nasr tentang Islam dan sains. Ini menimbulkan minat untuk mengkaji kenapa ramai sarjana Islam menulis tentang klasifikasi ilmu pengetahuan. Sesungguhnya hirarki ilmu memerlukan klasifikasi menurut kepentingan dan keutamaan. Paling rendah adalah ilmu berdasarkan deria (apa boleh dilihat, disentuh dan sebagainya), paling tinggi adalah ilmu wahyu seperti disampaikan kepada para Nabi.

Untuk makluman Hossein yang kini berumur 83 tahun adalah cendekiawan besar peringkat dunia kelahiran Iran yang sudah melahirkan banyak buku-buku bersifat pemikiran tinggi tentang Islam, falsafah, ketamadunan dan keSufian sejak tahun 60an (atau mungkin lebih awal). Osman pernah memberitahu dalam syarahan minggu lepas bahawa beliau menyambung pengajian dalam bidang falsafah Islam di Temple University, Amerika Syarikat tahun 80an semata-mata untuk berguru dengan Hossein. Dalam syarahan petang semalam seorang pelajar UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dari Nigeria yang menuntut dalam bidang usul fiqh bertanya tentang kepentingan hirarki ilmu. Osman pun memberikan misalan - usul fiqh yang merupakan prinsip dalam bidang feqah adalah lebih penting  dan tinggi daripada fiqh atau feqah itu sendiri. Daripada prinsip ilmu baru dapat diterbitkan dan dihuraikan suatu ilmu..

Ditanya tentang berapakah tingkat kesedaran ada atau wujud (how many levels of consciousness) Osman menjawab banyak. Misalnya ketika sedang bertafakur kita boleh tidak sedar orang lalu di hadapan. Itu adalah satu tingkat kesedaran tetapi bukan pada objek nyata di hadapan mata tetapi pada sesuatu yang tidak nampak secara fizikal.Tingkat-tingkat kesedaran diperlukan menurut keadaannya. Sedangkan binatang pun ada kesedaran tentang perkara-perkara tak nampak (intangible objects). Contohnya gajah di Aceh lari masuk jauh ke dalam hutan sebelum berlaku Tsunami (yang meragut nyawa lebih 200,000 orang penduduk di sana). Bagaimana gajah boleh tahu akan berlaku malapetaka?

Para malaikat pula cuma ada satu sahaja tingkat kesedaran. Itulah yang menyebabkan mereka sentiasa berada dalam ketaatan. Sedangkan manusia diuji dengan nafsu rendah kehaiwanan sambil wujud 'panggilan' untuk naik menggapai makna keTuhanan. Ditanya tentang Marxism (pemikiran daripada Karl Max) yang membawa pada sosialisma dan komunisma Osman memberitahu itu semua hasil pemikiran reductionism di mana skop pemikiran Barat menjadi semakin kecil jiwa. Tuhan telah 'ditendang' keluar, agama dianggap candu bagi masyakat. Penghujungnya segalanya dinilai menurut apa yang nampak, dapat dirasai dengan deria dan sebagainya. Inilah yang membawa kepada keadaan dunia sekarang.

Banyak perkara lagi diperkatakan termasuk tentang keadaan ilmu matematik Algebra pada zaman Al-Kindi (hidup 801-873 Masihi). Pada zaman itu Algebra yang merupakan ilmu memanipulasikan simbol dan huruf-huruf sebagai ganti nilai nombor dalam membuat kira-kira bukan satu disiplin ilmu. Pada zaman Al-Farabi (872-950) baru diasingkan menjadi ilmu tersendiri.

Sebetulnya syarahan petang semalam berkisar cuma pada muka surat pertama dan kedua bab pengenalan buku "Classification of Knowledge in Islam" tulisan Osman berdasarkan tesis PhD beliau di bawah penyeliaan Seyyed  Hossein Nasr 1983-1988. Sudah diberitahu dalam artikel sebelum ini iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap bahawa siri syarahan yang dibuat tentang buku mahu dimulakan kembali daripada muka surat pertama kerana muncul ramai muka baru mahu mengikuti. Dengan itu dan berdasarkan rekod catatan saya syarahan semalam seharusnya boleh disamakan dengan syarahan pertama dan kedua siri 7 bulan lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-





Namun hakikatnya tidak begitu. Walaupun terdapat perkara-perkara diulang banyak juga muncul perkara dan ilmu baru. Ini boleh berlaku secara spontan dalam menerangkan suatu ayat dalam buku juga sebagai maklum balas akibat proses soal jawab. Perkara atau lebih tepat, pendedahkan paling menarik dalam syarahan semalam adalah apabila Osman bercerita bagaimana kajian untuk PhD melibatkan 3 orang tokoh besar silam Islam menyebabkan beliau makan tidur dengan pemikiran dan bacaan tentang mereka.

"Sampai saya bermimpi berjumpa dengan Imam Al-Ghazzali," kata Osman. "Saya belum pernah memberitahu ini kepada sesiapa," dia menambah.

Osman senyap sebentar. Kelihatan ada air muka sayu mengenangkan perkara.

"Saya bermimpi cuma ada kami berdua di padang pasir kosong. Saya bersolat di belakang Imam Al-Ghazzali. Entah apakah maknanya?"

Saya faham ini kerana sudah mengalami banyak pengalaman mistik selain mimpi-mimpi bermakna, bukan sekadar mainan tidur. Dalam mengupas pemikiran Al-Ghazzali beliau ada menyebut bagaimana imam besar dunia Islam yang hidup tahun 1058-1111M itu dapat menguasai ilmu pemikiran rasional diikuti falsafah namun mengangkat lebih tinggi ilmu luar-rasional tanpa logik akal berdasarkan pengalaman mistik ataupun spiritual yang biasa dialami kaum Sufi, pengamal ilmu Tawasuf. Ini adalah hasil selalu melakukan penyucian diri. Ia bukan ilmu akal biasa yang terbit daripada penaakulan atau kekuatan fikiran tetapi ilmu yang disampaikan dan diberi faham tanpa proses fikir pun kerana usaha mendekatkan diri pada Ilahi. 

Merujuk pada hal ini mimpi boleh sahaja membawa makna Osman sudah mengikut manhaj atau jalan al-Ghazzali lalu ini diiktiraf atau diterima. Bersolat berduaan di padang pasir tanpa ada orang lain dan kosong pada saya menunjukkan ia kerja sepi. Tidak ada orang lain melakukannya (mengikuti manhaj al-Ghazzali)... sekurang-kurangnya pada waktu itu dan dalam lingkungan pandangan mata kasarnya. Untuk pengetahuan Osman yang merupakan Sheikhul Kuliyyah di ISTAC adalah pemegang kedua kursi al-Ghazzali di institusi ini. Pemegang pertama adalah Profesor Tan Sri Syed Naquib al-Attas iaitu pengasas ISTAC. Lihat Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan. Cukup perkongsian daripada saya.


Dekolonisasi Pengajian Melayu - Melepaskan diri daripada belenggu minda tertawan akibat penjajahan Barat

$
0
0
Salam lewat petang Khamis 11 Safar. Menyambung gerak penulisan daripada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mendapat restu Imam Ghazzali? yang dipersembahkan pagi tadi. Masih lagi tentang majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tetapi bagi acara lain petang tadi.


Selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2.30 petang sekali lagi saya bergegas 40 km ke ISTAC.


Kali ini cuaca kelihatan baik. Cuma ada satu kawasan sahaja ada lalu hujan, itupun tak sampai seminit.


Laluan juga tidak sesak kecuali di Jalan Duta menghampiri Istana Negara. Sampai ke ISTAC jam 3.10.






Poster bagi acara. Saya sudah terlewat 40 minit. Kalau tidak kerana rasa penat selepas mengambil anak-anak kembali dari sekolah kebangsaan jam 1 mungkin boleh bertolak lebih awal dengan menghantar mereka ke sekolah agama sebelum jam 2. Sebaliknya saya perlukan masa untuk melelapkan mata. Sekali lagi saya telah menulis sejak waktu Subuh. Cuma kali ini cepat siap kerana menulis satu sahaja artikel. Tapi tetap muncul hal-hal lain yang memerlukan perhatian lalu menambah rasa penat.


Masuk ke bilik persidangan untuk majlis ilmu kelihatan ia penuh malah ditambah lagi kerusi. Nampaknya ramai tertarik untuk mendengar buah fikiran pembentang iaitu Profesor Dr Syed Farid al-Attas daripada National University of Singapore (Universiti Kebangsaan Singapura).


Untuk pengetahuan beliau adalah anakanda kepada cendekiawan terkenal almarhum Profesor Syed Hussein al-Attas. Syed Hussein pula adalah abang kepada Profesor Tan Sri Syed Naquib al-Attas iaitu pengasas ISTAC.


Syed Farid memiliki reputasi besar dalam bidang sosiologi. Ini senarai buku-buku yang telah ditulisnya. Saya ambil daripada Wikipedia...


  • Ibn Khaldun (Makers of Islamic Civilization), Oxford University Press, 2013
  • Applying Ibn Khaldun: The Recovery of a Lost Tradition in Sociology (Routledge Advances in Sociology), 2014
  • An Islamic Perspective on the Commitment to Inter-Religious DialogueInstitute of Advanced Islamic Studies Malaysia, 2008
  • Alternative Discourses in Asian Social Science: Responses to Eurocentrism, Sage, 2006
  • Democracy and Authoritarianism in Indonesia and Malaysia: The Rise of the Post-Colonial State, Macmillan, 1997
  • The post-colonial state: Dual functions in the public sphere (Department of Sociology working papers), National University of Singapore, 1994
  • Asian Inter-Faith Dialogue: Perspectives on Religion, Education and Social Cohesion (edited) (RIMA and the World Bank, 2003)
  • Asian Anthropology, edited with Jan van Bremen and Eyal Ben-Ari (Routledge, 2005)


Untuk syarahan petang tadi beliau membawa tajuk "Decolonisation of Malay Studies : The Persistence of Orientalism". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Dekolonisasi Pengajian Melayu : Kegigihan Orientalisma". 

Secara rata apa yang diperkatakan adalah bagaimana kita di Alam Melayu/Asia Tenggara/Nusantara ini masih terbelenggu dengan segala macam teori, terma dan piawaian Barat sehingga hendak mengkaji tentang bangsa kita Melayu pun masih diangkat tinggi sudut pandang mereka, tidak diambil sudut pandang kita sebagai orang tempatan yang sepatutnya lebih tahu tentang bangsa sendiri. Ini adalah akibat penjajahan Barat iaitu kolonialisma sejak sekian lama. Barat mungkin tidak lagi menjajah secara nyata kerana negara kita sudah merdeka. Tetapi pemikiran masih tertawan lalu cara melihat bangsa kita orang Melayu sendiri pun perlu mengikut pengajian mereka dalam bidang Orientalisma - kajian tentang bumi sebelah timur (dari kedudukan mereka di Barat).


Usaha perlu dilakukan untuk keluar daripada kepompong pemikiran tertawan ini. Disebutlah dalam dunia akademik janganlah diterhadkan pada pemikiran induktif (daripada yang umum membawa kepada yang khusus  - misalnya jika semua orang Cina gilakan duit maka Ah Chong juga mesti gilakan duit sebab dia orang Cina) dan deduktik (daripada yang khusus membawa kepada yang umum) dalam menanggapi suatu persoalan seperti dilakukan Barat. Harus diambil kira cara-cara lain juga seperti pernah dilakukan ulama silam Islam misalnya cara pemikiran dialektik (saya pun kurang faham ini. Yang tahu ia cara menggunakan ilmu logik ataupun mantik seperti terdapat dalam ilmu kalam). Selain itu ada cara yang agak romantik (terlupa pula terma sebenar yang digunakan Farid, saya dah penat amat ni tetapi harus melepaskan cerita sebelum Maghrib).

Beliau memberi contoh gambar-gambar atas. Kedua-keduanya lukisan tentang Pengeran Diponegoro (pejuang hebat Pulau Jawa, hidup  1785-1855 Masihi) selepas terpaksa menyerah kalah kepada Jeneral Belanda. Lukisan atas dibuat oleh orang Belanda. Lukisan bawah oleh orang Jawa. Perhatikan perbezaan. Perhatikan lukisan atas cerah melambangkan hari baik bagi orang Belanda. Diponegero dilukis berdiri lebih rendah daripada Jeneral Belanda. Lukisan bawah pula berwarna mendung melambangkan hari buruk bagi orang Jawa. Jeneral Belanda diletakkan berdiri sama aras tetapi ke kiri Diponegero. Ini adalah pernyataan berlawanan dalam melihat peristiwa yang sama.


Masuk sesi soal jawab pelbagai perkara terbit. Jiwa pembentangan tadi tamat sekitar jam 3.38 petang, soal jawab menyaksikan acara dilanjutkan sehingga jam 5. Antara yang ditanyakan adalah tentang banyaknya terdapat manuskrip berbahasa Melayu bertulisan Jawi di merata tempat. Tetapi kurang usaha untuk mentransliterasikan daripada Jawi kepada Rumi agar ramai dapat membaca dan mengkaji. Kata Farid satu adalah masalah membaca Jawi klasik. Tidak semua orang tahu dengan baik. Tapi lebih penting lagi adalah keperluan akademik yang terikat pada kolonisasi atau jajahan minda/minda tertawan yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Disebutlah tentang ahli akademik lebih sibuk mengejar ranking untuk naik pangkat mengikut standard atau piawaian sedia ada yang mengikut cara Barat. Perlu terbitkan artikel untuk masuk jurnal-jurnal yang diiktiraf mereka sedangkan kerja-kerja seperti transliterasi kitab tidak dipandang langsung dalam piawaian sebegini. Kalau begitu berapa ramaikah ahli akademik kita sanggup berkorban masa untuk melakukannya? Inilah antara persoalan penting dalam menanggapi apa-apa bentuk pengajian terutama untuk membuat dekolonisai Pengajian Melayu iaitu melepaskan diri daripada belenggu minda tertawan akibat penjajahan Barat dalam mengkaji tentang bangsa kita sendiri.

Cukuplah ya. Sebentar lagi harus berkejar untuk berbuka puasa sunat hari Khamis. Selepas Isyak pula hendak mengikut majlis zikir satu tariqat yang diadakan setiap malam Jumaat di Bukit Damansara. Sekian. Wassalam.


Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Menikmati suasana 'Mekah dan Madinah' sekaligus di Banda Aceh sebelum berlepas pulang...

$
0
0
Salam petang Jumaat 12 Safar. Setelah lebih sebulan pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September selesai sampailah masanya untuk mempersembahkan cerita hari ke-8 dan terakhir bagi pengembaraan. Bersambung daripada Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Banda Aceh dan lanjutan acara ke-21 HIKMAH.


Awal pagi Rabu 4 September 2019 bersamaan 4 Muharram 1441 Hijriah, setelah 2 malam berada di Banda Aceh dan hendak masuk hari ke-2 di situ baru kami berkesempatan pergi ke masjid paling terkenal di Aceh iaitu Masjid Baiturrahman.


Kami mahu menunaikan solat Subuh berjemaah. Orang kata tak sah pergi ke Banda Aceh kalau tidak singgah di masjid ini.


Memang pun setiap kali ke Aceh kami akan singgah. Cuma kali ini disebabkan pelbagai aktiviti yang padat baru pagi itu berkesempatan singgah walhal ia hari terakhir bagi pengembaraan ini tahun 2019. Petang nanti kami akan menaiki kapal terbang untuk kembali ke Malaysia...


Banyak penambahbaikan besar sudah siap dibuat bagi masjid. Sehingga boleh terasa seperti betul-betul berada di Mekah malah di Madinah juga sekaligus. Sesungguhnya terdapat banyak sebab kenapa Aceh dipanggil sebagai bumi Serambi Mekah sejak zaman berzaman. Lihat artikel Rupa baru (New look of) Masjid Raya Baiturrahman di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kami berlegar di masjid sehingga matahari naik.


Selepas itu ke perpustakaan dan muzium Ali Hajsmy 3.5 km ke barat daya masjid.


Namun ia belum dibuka dan kami tiada masa untuk menunggu.


Ada kawan sedang menunggu untuk bersarapan di rumahnya 4 km ke utara Masjid Baiturrahman. Perjalanan membawa kembali ke pusat Banda Aceh lalu kami singgah di beberapa makam di sekitar Muzium Aceh. Lihat artikel-artikel berikut :-






Jam 8.05 pagi kami sampai ke rumah kawan lalu bersarapan.


Rumahnya terletak betul-betul di sebelah kapal yang tersangkut atas rumah akibat dibawa ombak ganas Tsunami 26 Disember 2004. Beliau yang merupakan seorang personaliti televisyen dan penyanyi nasyid termasuk antara 50 lebih orang yang selamat atas kapal. Namanya Ustaz Mujiburrizal. Semua ahli kumpulan nasyid beliau terkorban akibat Tsunami kecuali dia. Sekarang beliau selalu menyanyi bersama kumpulan Raihan dan Rabbani apabila berada di Malaysia. Lihat Latest visit to the boat above house in Banda Aceh.


Mujib inilah yang selalu memimpin anak-anak muda di Aceh agar dapat menggali dan memartabatkan sejarah melalui gerakan-gerakan NGO tanpa bergantung pada kerajaan dan sebagainya. Dia juga bertanggungjawab menjayakan acara-acara HIKMAH di Aceh selain telah beberapa kali hadir acara-acara HIKMAH yang dipimpin saya di Malaysia. Kelihatan dalam gambar seorang lagi kawan kami di Aceh iaitu saudara Fadhlan Amini. Beliau bersama Mujib aktif dalam mempromosikan pelancongan Islami di Aceh. Beliaulah yang membawa kami hingga ke Tapak Tuan dalam kereta sendiri kemudian menyambung lagi dari makam Sultan Malikussaleh kembali ke Banda Aceh. Lihat artikel-artikel berikut :-









Ketika gambar tadi diambil jam 11.05 kami sedang menikmati hidangan kopi enak di Ulee Kareng. Kawasan ini sangat terkenal dengan kopinya. Rumah Fadhlan tempat kami menginap 2 malam di Banda Aceh terletak dalam kawasan ini. Kelihatan dalam gambar masjid baru seberang jalan dari kedai tempat kami minum kopi. Seperti biasa saya pun mengambil gambar. Lihat Lawatan baru ke Masjid (New visit to the mosque of ) Baitus Shalihin, Ulee Kareng.


Kami sudah sedia membawa segala barangan keluar daripada rumah Fadhlan kerana mahu terus ke lapangan terbang selepas singgah ke beberapa tempat. Dari Ulee Kareng kami bergerak ke arah timur lalu masuk ke kawasan Darussalam yang terkenal sebagai pekan universiti di Banda Aceh.


Ada dua buah universiti besar dalam kawasan. Dalam kampus salah satunya terdapat makam yang dipercayai mungkin milik seorang Raja Muda Selangor yang mangkat di Aceh sekitar 2 abad lalu. Lihat Melihat lagi makam Muda Selangor (Looking again at tomb of Muda Selangor).


Perjalanan diteruskan lebih jauh ke arah timur. Fadhlan mengajak masuk ke satu kawasan perumahan yang katanya dibina oleh pelakon aksi terkenal bertaraf dunia dari Hong Kong iaitu Jackie Chan. Ia adalah salah penempatan baru bagi mangsa-mangsa Tsunami. Letaknya di atas bukit jauh sedikit dari laut. Lihat artikel 'Jackie Chan' housing in Aceh diikuti Masjid (Mosque of) 'Jackie Chan', Aceh.


Tujuan sebenar kami bergerak ke arah timur adalah untuk menziarahi makam seorang laksamana perempuan Aceh yang terkenal abad ke-16. Letaknya lebih 30 km dari Banda Aceh. Ia adalah makam terakhir diziarahi dalam pengembaraan selama 8 hari 7 malam keliling Aceh dan utara Sumatera.  Ada kaitan tertentu dengan kaum kerabat saya sebelah bapa di Perak yang mewarisi jawatan istana bergelar Laksamana Raja Mahkota. Lihat Lawatan terbaru ke makam Laksamana Kemalahayati (Latest visit to the tomb of Laksamana Kemalahayati).


Dari persekitaran makam ada jalan potong ke lapangan terbang yang memberikan pemandangan cantik dari atas bukit meliputi kawasan pergunungan berdekatan hingga ke laut. Lihat artikel  Cutting from Teluk Lamreh to the airport.


Sebelum masuk ke lapangan terbang kami makan tengah hari lewat dahulu di sebuah kedai berdekatan...




Jam 2.30 baru masuk ke lapangan terbang...


Bergambar di hadapan pesawat sebelum berlepas jam 5. Sepatutnya pesawat berlepas jam 4 lebih tetapi ada kelewatan. Lihat Flight back from Aceh 4th September 2019.


Namun cerita siri pengembaraan ini belum tamat. Ada sesuatu ingin dikongsikan tentang suatu makam di Banda Aceh dengan makam-makam yang terasa ada kaitan di Barus juga di Lamno.  Ini akan dipersembahkan dalam satu artikel khas. Tunggu... :]
.

Bermaulud dan berqasidah bersama Sheikh Muhammad Adil al-Haqqani

$
0
0
Salam petang Sabtu 13 Safar. Ini ada cerita yang asalnya tidak mahu disebut pun di mana-mana kecuali dengan kawan rapat. Itupun tak terfikir hendak bercerita kecuali kalau ditanya. Tetapi disebabkan ada pembaca kelihatan berharap maka dilepaskan walau secara ringkas. Sesungguhnya tidak semua perkara, pengalaman, aktiviti dan sebagainya yang dilalui dikongsikan kepada umum atau dijadikan cerita. Nampak sahaja seolah-olah saya ni 'kaypoh', kecoh... semua perkara hendak dikongsikan kepada umum sehingga telah menulis hampir 1,850 artikel di blogspot ini, hampir 2,020 di BERPETUALANG KE ACEH, lebih 2,050 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan paling sedikit  hampir 370 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) (kerana ia tertumpu pada aktiviti-aktiviti berkaitan NGO saya HIKMAH sahaja). Tetapi ia sebenarnya tidak sampai pun separuh apa yang pernah dilalui atau dibuat.



Merujuk pada artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17? diikuti Islam di China - Apabila seni khat Arab dan seni khat Cina digabungkan bagi memartabatkan Islam... yang ditulis hari Khamis 3 Oktober iaitu 9 hari lalu.  Ia merujuk pada majlis pelancaran dan diskusi buku "Islam in China - History, Spread and Culture"  yang berlangsung di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi hingga petang hari itu. Disebabkan mahu menghadirinya saya menginap di masjid ISTAC malam sebelumnya. Ini kerana tidak mahu berulang-alik ke rumah 40 km dari ISTAC setelah datang ke majlis ilmu lain di situ petang Rabu. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap.

Malam selepas majlis saya menghadiri satu majlis zikir suatu kumpulan tariqat yang biasa diadakan di Bukit Damansara setiap malam Jumaat. Sudah bertahun tidak ke sana walhal dalam tempoh waktu tahun 1997 hingga 2005 begitu saya rajin bersama, ada masa datang sehingga hampir setiap minggu. Pun begitu saya sering menganggap diri bebas, tidak terikat dengan mana-mana tariqat. Ini kerana saya juga seringkali hadir ke majlis-majlis zikir kumpulan dan tariqat lain termasuk pembacaan Ratib al-Haddad dan Ratib al-Attas yang biasa dilakukan oleh keluarga-keluarga Sayyid/para Habaib daripada cabang Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW belah Ba'Alawi Hadramaut. Sesekali pula mengaji dengan orang-orang tua Sufi di kampung-kampung.

Walaupun sebenarnya tidaklah rajin mengikut sesi zikir saya tidak akan melepaskan peluang apabila masuk bacaan maulud dan qasidah yang biasa dilakukan di sesetengah tempat zikir. Yang ni memang tak tahan. Kalau ketika orang berzikir saya pula keluar buat hal lain tapi kalau  terdengar orang bermaulud dan berqasidah saya akan berusaha untuk rapat sehingga dapat duduk betul-betul di belakang kumpulan utama berhadapan Sheikh. Kalau di Bukit Damansara kumpulannya siap bergendang dan berkompang.  Yang ni memang boleh 'layan' sampai 'tenggelam'...

Daripada majlis malam Jumaat 9 hari lalu saya dapat tahu bahawa malam Jumaat berikutnya akan hadir sheikh tertinggi tariqat yang berpengkalan di Cyprus. Beliau akan bersama dalam rangka kerja lawatan beberapa hari ke Malaysia. Biarlah disebut namanya sebagai Sheikh Muhammad Adil al-Haqqani daripada Tariqat Naqsyabandiah Haqqani. Tariqat yang memiliki ribuan mungkin sampai jutaan pengikut di seluruh dunia ini dahulu dipimpin oleh almarhum ayahandanya, Sheikh Nazim (meninggal dunia tahun 2014 pada usia 92 tahun). Di Malaysia ia pernah dipimpin almarhum Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Syah, adinda kepada Sultan Nazrin yang sekarang memegang takhta kerajaan Perak. Beliau meninggal dunia tahun 2012 pada usia 54 tahun.

Ah. Kata tadi hendak menulis ringkas sahaja tetapi begitulah gerak. Bila sudah memulakan suatu penulisan saya akan buat sampai timbul rasa puas, sampai cukup rasa telah menyampaikan apa yang patut dan boleh disampaikan. Kebetulan petang Khamis baru ini 10 Oktober saya hadir ke satu majlis ilmu di ISTAC. Lihat Dekolonisasi Pengajian Melayu - Melepaskan diri daripada belenggu minda tertawan akibat penjajahan Barat. Bolehlah ke majlis zikir di Bukit Damansara pada malamnya kerana sudah tidak berapa jauh dari ISTAC.

Di atas adalah gambar Sheikh Mehmet dalam ruangan zikir sebaik sahaja sesi maulud dan qasidah bermula. Begitu ramai orang hadir lalu terpaksa duduk di luar. Tapi kedengaran sahaja maulud dan qasidah hendak bermula saya terus meluru masuk ke dalam. Tidak lama kemudian saya pun 'tenggelam' di dalam irama dan bacaan.


Gambar ini diambil di luar bangunan berupa sebuah rumah bungalow jam 11.25 malam. Kalau tak salah ia adalah selepas 10-15 minit Sheikh Mehmet dan adindanya Sheikh Bahauddin meninggalkan majlis. Seperti biasa walau sudah lama bertahun tidak bertandang sekalipun, walau lama tidak bersua muka saya akan ditegur dan disapa kerana ada ramai kawan lama juga kenalan mengikuti tariqat. Ada pula yang tidak dikenali sebelum ini tetapi cam saya sebagai penulis Merah Silu apa lagi saya seorang sahaja datang bertanjak.

Antara yang menyapa itu ada seorang anak Perak. Nampak sahaja saya terus merapat lalu dipanggil seorang adiknya untuk berkenalan. Selepas bercerita sedikit sebanyak beliau meminta diri. Ketika itulah dia berpesan : "Tulis ya, nanti saya boleh baca."

Hal inilah yang membuat terasa wajib juga menulis tentang majlis. Walhal saya cuma mengambil dua gambar di atas ini sahaja kerana memang tiada berniat untuk berkongsi kepada umum malah sesiapa pun. Cuma ketika bermaulud dan berqasidah itu saya ada buat live video di Facebook. Ini kerana mahu berkongsikan kegembiraan malah rasa nikmat bersama majlis. Klik pada pautan berikut untuk video-videonya :-


1. Sini

2. Sini

3. Sini


Alhamdulillah. Lepas rasa tanggungjawab dan gerak.


Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu

$
0
0
Merujuk pada artikel Bermaulud dan berqasidah bersama Sheikh Muhammad Adil al-Haqqani yang dipersembahkan jam 4.59 tadi. Sebenarnya saya membuka komputer riba hari ini semata-mata untuk menulis artikel yang sedang anda tatap ini. Selepas itu saya dan keluarga harus berkejar ke Banting untuk satu majlis persilatan yang berpanjangan sehingga petang Ahad esok. Tetapi gerak rasa menuntut agar dibuat artikel maulud itu terlebih dahulu walhal asalnya saya tidak mahu langsung bercerita tentangnya. Namun begitulah gerak. Baik dalam menulis mahupun mengembara malah dalam membuat keputusan untuk menghadiri suatu majlis, saya sebagai makhluk 'yang menurut perintah' sentiasa tertakluk kepada gerak itu. Yang faham faham le...


Hari Jumaat malam Sabtu 11 Oktober 2019 iatu malam semalam sekali lagi saya bergerak 40 km ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur untuk majlis ilmu. Melihat pada cuaca sejuk hujan renyai-renyai waktu malam ada juga rasa malas hendak keluar, lebih enak duduk bersama isteri dan anak-anak di rumah. Tetapi tuntutan gerak seperti disebut di atas  tadi memerlukan saya ke situ. Menolak ke tepi rasa penat amat yang melanda sejak beberapa lama saya meninggalkan rumah selepas menunaikan solat Maghrib, sedikit wirid dan solat sunat.


Untuk makluman ini adalah kali ketiga berturut-turut saya ke ISTAC minggu ini. Hari Rabu hadir syarahan tentang buku "Classifications of Knowledge in Islam"  (Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mendapat restu Imam Ghazzali?), hari Khamis tentang penjajahan ilmu pengetahuan oleh Barat (Lihat Dekolonisasi Pengajian Melayu - Melepaskan diri daripada belenggu minda tertawan akibat penjajahan Barat). Nasib baik ada jarak masa cukup lama antara acara walaupun berlaku 3 hari berturut-turut. Kalau berlangsung pada waktu petang diikuti waktu pagi keesokannya tentu saya akan bermalam di masjid ISTAC bagi menjimatkan masa seperti dilakukan Rabu hingga Khamis minggu lepas. Rujuk artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap diikuti Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.


Kali ini saya sampai ke persekitaran ISTAC sebelum majlis dijadualkan bermula jam 8.15. Tapi saya ke hentian Jalan Duta dahulu mencari makanan untuk mengisi perut sebelum sampai di hadapan bangunan jam 8.22. 


Selepas menunai solat Isyak dan solat sunat baru masuk ke bilik persidangan jam 8.38 lalu mengambil tempat...


Oh. Ini adalah poster majlis. Pensyarah adalah Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Seperti biasa di ISTAC ia disampaikan dalam bahasa Inggeris. Ia adalah syarahan ke-7 bagi siri atas nama atau tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Pesan  Abadi Islam dan Tamadunnya". 

Untuk pengetahuan syarahan ini diadakan setiap 2 minggu pada hari Jumaat malam Sabtu. Seperti kebanyakan syarahan di ISTAC ia adalah terbuka dan percuma kepada semua. Tajuk kecil iaitu tajuk syarahan ke-7 boleh diterjemahkan sebagai "Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu"...


Kali ini syarahan beliau terasa beberapa peringkat lebih mendalam dan tinggi berbanding apa yang sudah diikuti sejak masuk ke ISTAC bulan September tahun 2018. Selalunya agak mudah untuk saya mencerna kerana banyak yang diperkatakan sudah sedia berada di dalam ruang lingkup pemikiran. Dan lagi saya juga sudah melalui banyak pengalaman mistik yang  berkenaan, bukan setakat membaca tentangnya. 

Walaupun apa yang disyarahkan kali ini juga sebenarnya masih berada dalam ruang lingkup pemikiran kerana sudah membaca dan menghadamkan kitab-kitab berkenaan falsafah Islam dan ilmu Tasawuf sejak berumur 18 tahun iaitu 31 tahun yang lampau tetapi banyak juga yang sudah terlupa. Kali ini terasa proses pencernaan ilmu begitu diuji. Mungkin faktor penat amat sejak beberapa waktu kebelakangan mempengaruhi sehingga apabila cuba mencatat terus ke dalam komputer boleh terlupa... eh... apa disebutnya 2 saat tadi? 

Saya boleh sahaja membiarkan kebiasaan proses pencernaan berlaku secara semulajadi dengan memberikan tumpuan penuh mendengar tanpa mencatat lalu ilmu tetap masuk juga... cuma apabila cuba diingati kembali boleh keluar lain rupa.  Untuk syarahan kali ini cukup dikatakan ia terasa begitu profound (tak tahu apakah ia dalam bahasa Melayu). Sehingga saya meletakkan gambar seperti di atas ke Facebook berserta kata-kata berikut : "Tonight's lecture by Prof Osman Bakar at ISTAC. Getting deeper and deeper into the rabbit hole. Welcome Alice to Wonderland."

Maksudnya kita semakin masuk ke dalam dunia pemikiran aras tinggi yang penuh dengan keajaibannya. Pemikiran tinggi berasaskan ilmu falsafah Islam ini ada sandaran ilmu Tasawuf daripada ulamak-ulamak silam terdahulu seperti Imam al-Ghazzali. Secara rata Osman mahu mengatakan bahawa alam semulajadi boleh dilihat sebagai ayat-ayat Allah SWT malah sebagai kitab yang selari dengan Al-Quran. Dengan kaedah ilmu logik atau mantiq yang betul seluruh penciptaan dapat dilihat sebagai wahyu yang terbit daripada hakikat penciptaan makhluk. Ini adalah berdasarkan Hadis Qudsi yang berbunyi :-

"Aku adalah harta yang tersembunyi. Aku cipta makhluk-makhluk supaya dapat dikenali".

Masyaallah. Memahami syarahan Osman malam semalam boleh membawa kita untuk larut dan tenggelam ke dalam Bahr al Lahut - Lautan Ketuhanan (ayat saya ini, bukan kata-kata Osman). Biar dikongsikan catatan yang ditaipkan terus ke dalam komputer...


Islam is a bookish religion. There are talks about books even before there is writing. Talk about katabah - kitab, loh mahfuz. Created Quran, eternal Quran (the Loh Mahfuz) - guided tablet -metaphysical Quran, Also called Ummul Kitab - mother of all books, Also refers to opening chapter - Surah al-Fatihah, Because it's summary of the whole Quran. There also summary - essence of the eternal Quran.

Quran also refers to People of the Book - Ahlul Kitab. Very important in Muslims judging people of other religion. Concept very universal.

Thus first question a Muslim ask to a non-Muslim - Do you follow any book?

When Muslims reached Central Asia which was basically Buddhist. Buddha considered a prophet. A term Ashabul Buddha - friends of Buddha was mentioned in a book in Arabic. Author is Rashiduddin Fadlullah considered first world historian, What the world is to Muslim civilisation

There are allusions to world beyond the Atlantic.

Islam as final religion syntesis of all religion.

History of Muslim Philosopy - 2 volumes
Suggested reading by ...

Regarding religion this still unfolding. Like what Jesus was really teaching. For example when people find out Bible was written in Aramaic they want to find out what is Aramaic

Asked about Surah al-Ikhlas why hadis said it's 1/3 or Quran. Osman answered because of the idea of unity. Thus value of reciting 3 times = 1 Quran

Tauhid is most importanat. The rest are just corollary of that...

Central idea in Islam is the Quran - prototype of all books

On book of nature why nature considered as a book? Said quite well-known in Islamic history and Muslim thought. Idea implied in Quran.

What is nature? Not equal to universe. Part of total universe/the creation. Scientist and philosophers mean that realm with minerals, plants, animals, human and also the subtle world (the jin). Beyond that is the angelic world - not part of nature

According to Islamic science every living thing has a soul including plant. Can't see soul but can see characteristics like growth. Plants grow most at night.

Souls of animals and such are part of the subtle world.

On jins there are good ones like jin Islam. There are bad ones. Jins are natural forces.

Part of reality of human belongs to nature, partly we don't. We belong to a higher world - angelic elements - not part of nature as defined. Also have divine elements...

We are part of nature but above nature.

Asked if minerals have souls that is when scientists are divided. They just keep quite. They normally started with plants as having souls.

But Ikhwan al-Safa said minerals also have soul except its very weak. For example gold. Soul more intense. Argument - minerals have lifespan. Also have intelligence but low-level.

Why God made creation - to reveal Himself. There is no domain where there's no God. So certain aspects of divinity must be there...

Talked about Jin. UKM when opened a lot of people got harassed by jin. Asked Harun Din, sent busloads to Genting.

Quran's argument why nature is book - Quran refers to natural phenomena as ayatullah which means signs of God. It points to something beyond itself.

Ayat also means verses which means contents of a book. Contents of Quran also referred as ayat.

So contents of nature also refers to book of nature. That's what Muslim theologians say. Later adopted by Western scholars for example Galileo, Roger Bacon (much earlier 13th century, from Oxford studied in Muslim Spain influenced by Avicenna - Ibnu Sina. Set up Ibnu Sina fan club in Europe)

To say nature is ayatullah implies nature is revealed,. Hence creation as revelation

Talk about God made creation to be known

Talk about Conficius ratifying names

Ibnul Arabi talk about divine names

Human being can't give names outside the divine names.

Names are extension of the divine names.

Adam know divine names. If it is name of created things, Osman said all names derived from divine names, Adam was taught about his theomorphic nature.

(Yusof Ali?) intrepreted Adam was taught the nature of all things

God has nature - divine nature - manifested in the cosmos

Said al-Ghazzali talked about Asmaul Husna more than 99. But why 99? Because there are certain qualities demand more attention to us. Al-Awwal, Al Akhir Az-Zahir, Al-Bathin more popular to philosophers. Asmaul Husna are that which features prominently in our life.

Name and the attributes (sifat)

There are profound relation between divine names and human qualities.
 But there are those not with divine counterparts because it comes from the animal nature of man.

Each divine name has its signature. For example al-Qadir, the powerful in nature. Many Muslim theologians refer to the book of nature as counterpart of Quran.

During Adam's time no need for revealed book. Adam was given knowledge to read the book of nature. Said people separated from civilisation could read book of nature better, the stars, direction of wind and such.

Kita ni yang modern people yan malas. We just want to use nature. Western wants to conquer nature. Very hostiles towards nature.

Ancient people know about forces of nature better than us.

Orang dulu sebut kita boleh baca.

Essentials in  book of natue is how to read names. On unity...

Albert Einstein believed in idea in unity led some people to believe he subscribed to a cosmic religion

Nature displays diversity - bio-diversity - underlying principle is unity. Said all pre-modern society believe in unity

Message of balance - law and order - World of nature presents moral message - pedagogical instruments - God is the teacher.

God uses various natural phenomenas - allegories to teach spiritual realities - through similitudes - perumpamaan  - very good teaching mood, model. Quran use it to teach spiritual proof

Conficius very good at that. Using allegories, similitudes,

Dulu have our book of ethics  - Kitab Kiliran Budi - traditional Malay book of ethics - seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing - critic of individualism

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga

Malays also others very observant of phenomenons of nature.

Prof Firdaus mentioned Alam Terkembang Menjadi Guru




Himpunan Perguruan Silat Selangor - Majlis ta'aruf dan pembukaan gelanggang lewat malam

$
0
0
Salam hari Ahad 13 Oktober bersamaan 14 Safar. Pada permulaan artikel Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu yang dipersembahkan jam 6.24 petang semalam ada diberitahu selepas itu saya dan keluarga harus berkejar ke Banting untuk satu majlis persilatan yang berpanjangan sehingga petang Ahad esok. Sekarang saya sedang menulis dalam majlis tersebut menggunakan hotspot daripada telefon bimbit saya. Bolehlah dimulakan perkongsian tentang majlis...


Ini adalah poster untuk majlis tersebut. Ia dijadualkan berlangsung sehari penuh Ahad 13 Oktober.


Dinamakan "Himpunan Perguruan Silat Selangor" kami datang untuk menyokong kawan-kawan persilatan terutama daripada persatuan DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Selangor.


Adapun semalam hari Sabtu yang tarikhnya bersamaan 13 Safar saya telah memulakan puasa putih iaitu puasa tengah bulan Islam 3 hari berturut-turut (13, 14, 15 bagi setiap bulan). Selepas berbuka puasa ringkas dengan kurma dan air kosong tunaikan dahulu solat Maghrib, sedikit wirid dan solat sunat sebelum keluar menuju ke arah lokasi iaitu Istana Bandar di Jugra, Banting. Kami keluar di tol Hospital Sungai Buloh dengan niat hendak makan kari kambing enak di warung hadapan hospital. Tengok-tengok kari dah habis, layan le pulak sup tulang.

Sejurus sebelum sampai ke warung baru tersedar tertinggal beg sandang. Ia selalu dibawa ke sana ke mari sehingga masuk hutan mendaki gunung bagai apatah lagi ke majlis-majlis persilatan. Dalam beg tersebut ada selempang merah kesayangan yang diterima secara ghaib.  Rasa tak lengkap pula kalau tidak dipakai ke majlis. Lebih tak seronok lagi keris kesayangan pun turut tertinggal dalam beg. Bagaimana hendak merasa lengkap berbusana tradisional Melayu kalau tidak tersisip keris di pinggang apa lagi memang untuk majlis persilatan?

Akibat itu kami terpaksa berpatah kembali ke rumah 27 km dari hospital. Dah alang-alang balik tu tunaikan sekali solat Isyak dan sunat di rumah. Ketika gambar atas diambil jam 9. 19 kami sekali lagi menghampiri persimpangan hospital dalam perjalanan ke istana. Semata-mata untuk mengambil keris dan selempang dah tambah 54 km perjalanan (27 km x 2 iaitu pergi balik). Sedangkan kalau diteruskan selepas makan harus jam 9.19 itu sudah sampai kerana menurut Google Map jaraknya adalah 86 km dari rumah.


Kami sampai ke perkarangan Istana Bandar jam 10.12. Masuk melalui pintu belakang ada le nampak beberapa orang.


Rupa-rupanya ramai berada di bahagian hadapan istana. Kalau ikut atur cara ada majlis tahlil selepas Isyak tapi dah selesai. 


Oh, Istana Bandar ini adalah kediaman Sultan Selangor ke-5, Sultan Alaedin Sulaiman Syah yang bertakhta 1898 hingga 1938. Ia sudah lama tidak digunakan. Sekarang dalam proses untuk dijadikan muzium di bawah PADAT (Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor).


Kalau ikutkan hakikat kami sudah terlewat lebih elok sahaja bergerak terus ke rumah seorang kawan berdekatan istana untuk bermalam. Tapi timbul rasa untuk melihatnya barang sebentar sebelum acara utama siang Ahad. Tengok-tengok ada majlis ta'aruf bagi guru-guru dan pengamal silat. Dah kawan-kawan ajak saya dan isteri pun duduk sekalilah...


Kami diminta memperkenalkan diri, beri sedikit latar belakang terutama penglibatan dalam dunia persilatan dan bolehlah memberikan saranan bagaimana hendak memajukan.


Lebih utama adalah ukhuwah iaitu persahabatan dan perpaduan antara umat Melayu Islam. Kalau ikutkan masuk jam 10.45 Sabtu malam Ahad adalah waktu saya menonton satu siri televisyen kegemaran. Isteri pun tak boleh kacau.  Tetapi demi ta'aruf ini ia diketepikan.


Silat adalah satu wadah penyatuan merentas pemahaman politik yang seringkali memecah-belahkan. Adalah menjadi harapan semua agar umat Melayu dapat bersatu menghadapi cabaran yang kalau dilihat secara jujur dan saksama semakin mencabar kesabaran anak watan (saya sebut secara jujur dan saksama kerana puak liberal tidak melihatnya begitu. Pada mereka tidak ada apa-apa pun cabaran. Mereka nampaknya lebih suka kalau Melayu hilang kuasa dan Islam dipinggirkan supaya boleh berbuat maksiat sesuka hati, tiada siapa yang melarang).


Tetamu kehormat, YB Mohd Khairuddin bin Othman, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor memberikan kata-kata aluan mewakili Menteri Besar. Beliau menyatakan komitmen mahu mengangkat persilatan Selangor ke aras yang lebih tinggi.


Selepas itu diadakan majlis pembukaan gelanggang di satu sisi istana.





Tamat sekitar jam 11.45 malam ia adalah adalah persediaan untuk acara utama siang Ahad di mana 70 buah perguruan dari Selangor akan bersama bersilaturrahim dan membuat persembahan...







Himpunan Perguruan Silat Selangor - Apabila Istana Bandar kembali bergema dengan temasya silat

$
0
0


Jam 9.45 pagi Ahad 13 Oktober 2019. Kami sampai ke persekitaran Istana Bandar setelah menginap di rumah kawan cuma 1 km dari situ. Untuk makluman kawasan ini dinamakan Bandar kerana pernah menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor pada zaman Sultan ke-5, Sultan Alaedin Sulaiman Syah (bertakhta 1898 -1938). Selepas itu pusat pemerintahan atau pentadbiran dialih ke Klang lalu Bandar menjadi kampung...


Pada hari-hari biasa kawasan ini boleh dikatakan senyap sunyi walau masih berdiri istana serta sebuah masjid diraja. Kini ia kembali dihurungi manusia atas nama persilatan bagi seluruh negeri Selangor.


Majlis dijadualkan bermula jam 8 pagi dengan pendaftaran hadirin terutama mewakili pelbagai perguruan silat negeri. Kami sampai lewat kerana saya perlukan rehat barang sejam dua selepas menunaikan solat Subuh. 


Masuk ke istana melalui pintu hadapan


Sudah ada orang berniaga juga membuat pameran.











Kami sendiri mengambil satu meja berhadapan tingkap menghadap ke pentas utama dan gelanggang silat. Bukanlah nak berniaga sangat kerana tujuan kami datang adalah meraikan kawan-kawan. Tapi dah alang-alang datang dan mahu mengikuti majlis daripada pagi hingga petang apa salah buka meja sekali?


Jam 10.21 suasana semakin meriah di luar...





Selepas beberapa lama persembahan silat oleh guru-guru utama pun dimulakan. Gambar ini diambil pada jam 10.35 pagi...








Sambil persembahan menjadi semakin rancak boleh dibayangkan bagaimana suatu masa dahulu persembahan-persembahan serupa pernah dilakukan oleh para pendekar, panglima dan hulubalang Melayu sambil diperhatikan oleh sultan dan kerabat.





Sultan Alaedin Sulaiman dikenali sebagai seorang raja yang alim sehingga mampu menulis kitab. Boleh dibayangkan baginda juga selalu membuka halaman istana agar rakyat jelata dapat masuk bergembira bertemasya pada waktu-waktunya.














Selepas persembahan oleh guru-guru utama sampai giliran anak-anak murid membuat persembahan secara berkumpulan...


Jam 11.47 saya kembali ke meja niaga...


Dari situ pun sudah boleh mengikuti persembahan walau sedikit terlindung oleh orang dan khemah.


Jam 11.54 saya membuka komputer riba. Alang-alang dah ada kemudahan biarlah dilepaskan gerak penulisan bermula dengan artikel Himpunan Perguruan Silat Selangor - Majlis ta'aruf dan pembukaan gelanggang lewat malam.


Himpunan Perguruan Silat Selangor - Antara mata pedang dengan mata pena mana lebih utama?

$
0
0


Jam 2.09 petang tiba-tiba kedengaran bunyi gendang dan serunai silat kembali bergema setelah dekat 2 jam senyap.


Tadi tu turun hujan boleh tahan lebat dan kebetulan masuk waktu rehat makan tengah hari dan solat Zohor. Kini acara disambung kembali dengan kedatangan tetamu kehormat Tengku Dato' Mohamed al Haj bin Tengku Harun, Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya iaitu Orang Besar Daerah Kuala Langat. Kehadiran ahli kerabat diraja Selangor ini diiringi sejumlah pesilat...





Ketika beliau sampai itu saya baru sahaja beberapa minit selesai mempersembahkan artikel pertama tentang majlis iaitu Himpunan Perguruan Silat Selangor - Majlis ta'aruf dan pembukaan gelanggang lewat malam


Saya pun mengikuti bahagian majlis yang seterusnya di mana hadirin diminta berkumpul di lapangan berhadapan Istana Bandar..








Ada nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu negeri Selangor.





Ada ucapan daripada YB Mohd Khairuddin bin Othman, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor. Harus ada ucapan juga daripada tetamu kehormat paling utama Tengku Mohamed al Haj tetapi ketika itu saya sedang berada agak jauh di bahagian belakang istana kerana satu urusan.


Selepas selesai menjamakkan solat Zohor dan Asar baru saya kembali menyertai majlis.


Bermula lagi persembahan silat kali ini disaksikan tetamu paling kehormat yang masih termasuk dalam kerabat diraja Selangor...











Selepas itu diadakan upacara penganugerahan sandang kepada guru-guru silat dan mereka yang berkhidmat kepada masyarakat...





Jam 3.07 saya kembali ke meja niaga untuk menyambung penulisan. Dimulakanlah artikel bertajuk Himpunan Perguruan Silat Selangor - Apabila Istana Bandar kembali bergema dengan temasya silat menunjukkan keadaan majlis daripada pagi hingga ke tengah hari.


Beginilah rupa saya ketika menulis. Saya juga menerima sandang atas kapasiti penulis yang selalu memberikan sokongan pada kawan-kawan dan aktiviti-aktiviti silat.


Jam 3.55. Tengok-tengok tetamu-tetamu kehormat masuk ke ruang niaga di tingkat bawah istana menghadap pintu masuk utama diiringi orang-orang silat terutama daripada penganjur utama majlis iaitu persatuan DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Selangor.


Presiden (ke pengerusi? lupa pula) DSSM Selangor, Cikgu Ismail Zambry (harap betul ejaan) memperkenalkan Tengku Mohamed kepada saya sebagai penulis. Tadi semasa menerima sandang pun sudah diperkenalkan sebagai penulis. Kali ini dapat ditunjukkan beberapa buku tulisan saya.


Beliau menjadi tertarik tetapi tertanya-tanya apabila disebut 3 buku pertama saya iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" (terbit Jun 2006 - November 2007) adalah tentang pengalaman sebenar saya mencari jati diri Melayu yang sudah lama hilang akibat pengaruh keBaratan sehingga membawa untuk menjejak susur galur keluarga hingga ke Aceh. Apabila diberitahu susur galur itu sampai kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera-Pasai hampir 800 tahun lalu beliau mengangguk tahu nama itu. Namun beliau paling tertarik apabila diberitahu di Aceh juga ada raja-raja daripada Dinasti Bugis dan ini bersambung sampai ke seorang pejuang wanita terkenal Aceh abad ke-16 iaitu Laksamana Raja Kemalahayati. Daripada perkahwinan beliau dengan seorang yang dikenali sebagai Laksamana Zainal Abidin bin Daeng Mansur terbitlah keturunan yang menjadi sultan-sultan Aceh daripada tahun 1727 hingga 1903.


Selepas beliau pergi saya terus menyambung penulisan. Dah terlupa ketika berbual dengannya apakah sudah dipersembahkan artikel Himpunan Perguruan Silat Selangor - Apabila Istana Bandar kembali bergema dengan temasya silat atau belum. Ini kerana gambar-gambar menunjukkan saya berbual dengannya diambil isteri menggunakan telefon bimbit. Tidak dapat ditemui maklumat pada jam berapa ia diambil.

Apapun selesai artikel tersebut saya terus menyambung dengan penulisan artikel ini. Sambil itu saya mengikut majlis secara menjeling-jeling ke arah tingkap. Apabila kedengaran ia mahu ditutup baru saya keluar menyertai kembali majlis untuk bersalam-salaman dengan kawan-kawan dan kenalan dalam dunia persilatan. Ketika gambar ini diambil sudah jam 4.54 petang.





Gambar menunjukkan keadaan masih meriah sambil orang bersalam-salaman. Tetapi hakikatnya ketika ayat ini ditulis jam 5.28 ramai telah meninggalkan Istana Bandar sementara ruang niaga  tempat saya menulis hampir kosong kerana orang telah berkemas dan keluar.





Saya perlu menyiapkan artikel ini sebelum keluar. Tentang kenapa ia diberi tajuk kecil "Antara mata pedang dengan mata pena mana lebih utama?" asalnya saya hendak memberikan penerangan dengan akhirnya adalah Allah SWT mencatat seluruh perjalanan kehidupan makhluk dengan pena atau kalam, bukannya pedang. Sekarang biarkan artikel ini ditamatkan tanpa penerangan tambahan.


P/s : Rupa-rupanya isteri saya sempat membuat siaran langsung ke Facebook atau live FB selama lebih 24 minit pada penghujung majlis. Boleh tonton di sini. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,855 di blogspot ini.



Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Makam-makam Makhdum di Banda Aceh, Daya dan Barus. Apakah terkait dengan Dinasti Makhdum di Perlak?

$
0
0
Salam petang Khamis 15 Safar. Dalam artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Menikmati suasana 'Mekah dan Madinah' sekaligus di Banda Aceh sebelum berlepas pulang... yang ditulis petang Jumaat 3 hari lalu ada diberitahu walaupun ia adalah cerita hari ke-8 dan terakhir bagi pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September 2019 siri penceritaan belum lagi tamat kerana ada sesuatu ingin dikongsikan tentang suatu makam di Banda Aceh. Ia terasa sangat terkait dengan makam-makam yang kelihatan serupa di Barus juga di Lamno (Daya).  Ini ceritanya...


Sekitar 2-3 minggu sebelum pengembaraan dimulakan iaitu pada awal bulan Ogos saya ada menyemak peta Banda Aceh melalui Google Map. Apabila dizoom-in ke kawasan persekitaran pusat bandar raya didapati ada satu tempat ditanda sebagai "Makam tuan maqdum".


Begitu juga halnya apabila menyemak peta Barus. Yang ini tak perlu zoom-in. Terus nampak ada tempat ditanda sebagai "Makam Syech Machdum".


Untuk pengetahuan baik dieja Maqdum mahupun Machdum ia merujuk pada perkataan Arab Makhdum. Ini boleh diterjemahkan sebagai tuan tetapi khas bagi seorang ahli atau pakar agama. Makhdum juga adalah gelaran bagi pemimpin agama. Sejak itu saya menyimpan hajat mahu menziarahi kedua-dua tempat ataupun makam. Tetapi laluan yang diambil iaitu selepas mendarat di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di timur Banda Aceh terus ke pantai barat Aceh tanpa memasuki persekitaran pusat bandar raya menyebabkan kami sampai ke makam yang di Barus terlebih dahulu walaupun terletak lebih 700 km perjalanan. Lihat artikel-artikel berikut :-








Sejak sampai ke makam saya merasakan ada keistimewaan yang perlu dikupas atau sekurang-kurangnya diberikan perhatian. Walaupun nama "Makam Syech Machdum" sebenarnya merujuk pada satu kompleks mengandungi banyak makam perhatian saya tertumpu pada satu makam dengan bentuk batu nesan tertentu. Beginilah rupanya. Secara rata ia berbentuk bongkah empat persegi dengan kemuncak.





 
Selain daripada itu saya tertarik dengan batu-batu nesan ini. Itupun lebih pada bagaimana dalam gambar ia kelihatan seperti terapung, mungkin disebabkan kontras dengan pasir berwarna putih di tanah rumput. Namun saya tetap merasakan bahawa tubuh badan yang dirujuk sebagai Syech Machdum harus bersemadi di dalam makam dengan batu nesan segi empat tadi. Lihat Makam (Tomb of) Tuan Machdum, Barus di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Pada hari ke-7 pengembaraan iaitu pada hari Selasa 3 September 2019 baru saya berkesempatan ke makam Makhdum yang di Banda Aceh. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Banda Aceh dan lanjutan acara ke-21 HIKMAH.


Seperti di Barus ia juga adalah satu kompleks mengandungi banyak makam. Namun sama juga cerita saya tertarik pada yang satu-satunya yang berbatu nesan empat persegi.


Saya menduga inilah makam utama yang memberi nama kepada kompleks. Lihat Makam (Tomb of) Tuan Maqdum, Banda Aceh. Perhatikan ciri-ciri persamaan dengan yang di Barus.


Kemudian baru teringat ketika masuk ke tapak pusat kerajaan Daya di Lamno kira-kira 80 km ke selatan Banda Aceh iaitu pada hari ke-2 pengembaraan ada terlihat batu nesan serupa di suatu makam yang mana nama Makhdum disebut walau dieja sebagai Mahdum. Rujuk  Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Puncak Geurute, Marhum Daya dan mencari si mata biru keturunan Portugis di Lamno.


Cuma yang di Daya ini jelas tercatat identiti orang dan sejarahnya. Ia menunjukkan Mahdum atau Makhdum yang dimakamkan memang seorang pemimpin agama yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan. Lihat Makam (Tomb of) Mahdumsyah Daya. Sebelum ini apabila menyebut nama Makhdum saya cuma tahu ia merujuk pada satu dinasti raja ataupun Sultan yang memerintah kerajaan Perlak abad ke-10 hingga ke-13 Masihi. Berikut adalah senarai nama raja-raja disunting daripada Wikipedia :-


Dinasti Makhdum Johan Berdaulat

Raja-raja Dinasti Makhdum Johan Berdaulat adalah turunan dari Meurah Perlak asli (Syahir Nuwi).

1. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul-Kadir Syah Johan Berdaulat, memerintah tahun 306-310 H (918-922 M)

2. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 310-334 H (922-946 M)

3. Sultan Makhdum Alaiddin Abdul-Malik Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 334-361 H (946-973 M)

4. Sultan Makdhum Alaiddin Malik Ibrahim Syah Johan Berdaulat sebagai sultan yang memerintah pada tahun 365-402 H (976-1012 M) dari dinasti Makhdum Johan Berdaulat

5. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 402-450 H (1012-1059 M)

6. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mansur Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 450-470 H (1059-1078 M)

7. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdullah Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 470-501 H (1078-1108 M)

8. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ahmad Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 501-527 H (1108-1134 M)

9. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Syah II Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 527-552 H (1134-1158 M)

10. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Usman Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 552-565 H (1158-1170 M)

11. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 565-592 H (1170-1196 M)

12. Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 592-622 H (1196-1225 M)

13. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 622-662 H (1225-1263 M)

14. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Aziz Syah Johan Berdaulat, yang memerintah pada tahun 662-692 H (1263-1292 M).



Sebagai mengakhiri artikel biar diletakkan peta ringkas laluan bagi perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera. Saya sebut ringkas kerana tidak dimasukkan perincian yang menyebabkan ia memakan jarak sebenar lebih 1,800 km, bukan 1,715 km sepertid ditunjukkan dalam peta. Ditambah garisan-garisan kuning menghubungkan kedudukan makam-makam Makhdum di Banda Aceh, Daya dan Barus dengan kedudukan pusat kerajaan Perlak yang mana terdapat raja-raja ataupun sultan memakai gelaran Makhdum. Cukup gerak dan perkongsian tentang hal ini. 


Aksara, naskhah & Tamadun Alam Melayu - Daripada perkembangan tulisan ke pemikiran akal logik mantik

$
0
0
Salam hari Selasa malam Rabu 15 Oktober 2019 bersamaan 17 Safar 1441 Hijriah. Nampaknya saya tidak dapat lagi berehat daripada menulis. Lepas satu timbul satu lagi acara yang harus dihadiri kemudian harus menulis tentangnya. Ini lagi satu.


Poster ini menunjukkan acara terbaru di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Saya telah menerima undangan daripada mereka sejak bulan awal September lalu memberikan komitmen akan hadir. Acara diadakan Selasa hingga Khamis 15-17 Oktober pagi hingga ke petang. Saya telah berbincang dengan isteri. Agar tidak perlu berulang alik dari rumah ke lokasi 50 km sekali pergi (pergi balik dah 100 km), perlu pula mengharungi kesesakan jalan raya sepanjang perjalanan saya akan bermalam di mana-mana, surau atau masjid. Tahulah nanti nak cari yang mana atau di mana kerana sudah biasa.


Atur cara yang diberikan, senarai pembentang dan tajuk-tajuk sangat menarik. Bagi orang yang sayangkan ilmu terutama melibatkan Melayu rugi tak pergi. Begini atur cara bagi hari pertama :-


8.00 pagi - 8.30 pagi : Pendaftaran dan ketibaan para jemputan
8.30 pagi - 9.00 pagi : Ucaptama oleh: Prof. Dr. Wardiman Djojonegoro, Bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia
9.00 pagi : Sesi I Aksara: Skrip Kuno Melayu
Pengerusi : Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz (Universiti Putra Malaysia)
Pembentang : Prof. Madya Dr. Uli Kozok (University Hawaii, Honolulu) - Sejarah perkembangan tradisi tulisan Melayu dari Zaman Buddha ke Zaman Islam
Pembentang : EncikHermansyah (Universiti Islam Negeri Ar-Raniry) - Perkembangan Naskhah dan Aksara Jawi di Aceh
Pembentang: YBhg. Datuk Prof. Dr. Awang bin Sariyan (Penyandang Kursi Za’ba UPSI) - Sumbangan Manuskrip Melayu Lama Kepada Peradaban Bangsa: Catatan Berdasarkan Beberapa Teks
Sesi soal jawab
10.00 pagi : Minum pagi
10.30 pagi – 1.00 t/hari : Sesi II Aksara: Skrip Rumpun Melayu
Pengerusi : Prof. Madya Dr. Ab. Razak bin Ab. Karim (Universiti Malaya)
Pembentang : Prof. Dr. Nurhayati Rahman (Universiti Hasannuddin, Indonesia) - Karakteristik Teks dan Naskhah-Naskhah Bugis
Pembentang : Dr. Maridah binti Alias (IPG, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur) - Budaya dan Pemikiran Melingkar Akal Budi, tidak Daif Peribadi
Pembentang : Prof. Dr. Azyurmadi Azra (Syarif Hidayatullah State Islamic University, Indonesia) - Nakhah (Keraton) Islam Dunia Melayu-Nusantara: Sumber Peradaban Islam Asia Tenggara
Sesi soal jawab
1.00 t/hari - 2.00 petang : Makan tengahari / solat
2.30 petang - 3.30 petang : Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019
3.30 petang - 4.30 petang : Sesi III Batu Bersurat Alam Melayu
Pengerusi : Prof. Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd. Zarif (Universiti Sains Islam Malaysia)
Pembentang : Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz (Universiti Putra Malaysia) - Batu Bersurat Terengganu Sebagai Asas Bahasa Melayu Klasik
Pembentang : Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir (Universiti Putra Malaysia) - Bidang Nyaya/Mantik/Logik dalam Batu Bersurat Tamadun Melayu?
Sesi soal Jawab
5.00 petang : Bersurai


Saya bertolak daripada rumah selepas jam 8.30. Masuk ke dewan auditorium PNM tempat acara diadakan pada jam 9.40 iaitu lebih sejam lewat kerana menurut atur cara jam 8.30 bermula ucaptama dan ia harus selesai sebelum jam 9 kerana pada waktu dijadualkan bermula sesi pertama pembentangan ilmu.


Memang saya nampaknya sudah terlepas ucaptama oleh Profesor Dr. Wardiman Djojonegoro, bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia. Tetapi semasa saya sampai itu beliau sedang menambah dengan memberikan pembentangan tentang manuskrip panji Melayu sebagai satu warisan bersama (Malaysia-Indonesia).








Malah selepas jam 10 baru bermula sesi pertama. Pembentang pertama, Profesor Madya Dr. Uli Kozok daripada University Hawaii, Honolulu membawa tajuk "Sejarah perkembangan tradisi tulisan Melayu dari Zaman Buddha ke Zaman Islam".





Beliau secara rata menunjukkan perkembangan penggunaan aksara Melayu daripada tulisan atau skrip Pallava dengan bahasa kuno yang banyak menggunakan kosa kata Sanskrit ke tulisan Jawi dengan bahasa Melayunya lebih menghampiri kini dengan penggunaan banyak kosa kata Arab.


Cuma kesimpulan yang diberikan kurang enak. Walaupun saya bersetuju bahawa Alam Melayu sudah sedia bertamadun tinggi sebelum kedatangan Islam mengatakan tidak banyak perubahan berlaku selepas kemasukan Islam adalah suatu dakwaan yang tidak boleh diterima...





Menurut atur cara pembentang kedua adalah  Encik Hermansyah daripada Universiti Islam Negeri Ar-Raniry di Aceh. Sebaliknya tidak kelihatan kelibat beliau lalu  Profesor Dr. Awang bin Sariyan yang disenaraikan sebagai pembentang ketiga diawalkan pembentangannya. Awang yang merupakan penyandang Kursi Za’ba UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) pernah mengajar saya subjek "Islam dalam Sejarah dan Budaya Melayu" di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Lihat artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC yang ditulis setahun lalu. Untuk majlis ini beliau membawa tajuk "Sumbangan Manuskrip Melayu Lama Kepada  Peradaban Bangsa : Catatan Berdasarkan Beberapa Teks".


Diberikanlah latar belakang tentang manuskrip dan bagaimana pentingnya ia buat tamadun Melayu.










Diberikan beberapa saranan untuk memajukan keadaan. Tak perlulah dihuraikan apa yang boleh dibaca sendiri dengan jelas ya...





Selepas waktu rehat untuk kudapan pagi saya kembali ke auditorium sedikit lewat lalu mendapati pembentang pertama sesi kedua, Profesor Dr. Nurhayati Rahman daripada Universiti Hasanuddin, Indonesia telah memulakan perkongsian. Ketika gambar ini diambil sudah jam 11.47. Sedangkan sesi sepatutnya bermula jam 10.30. 


Beliau membawa tajuk "Karakteristik Teks dan Naskhah-Naskhah Bugis". Satu perkara menarik disebut tentang aksara Bugis yang masih diguna pakai hingga ke hari dalam bentuk tulisan lama tradisional pada daun lontara yang digulung seperti tape atau pita dalam kaset. Setiap huruf atau aksara adalah berasaskan segi empat yang didirikan pada bucu seperti ketupat, bucu-bucu menunjukkan ke arah utara, barat, selatan dan timur. Utara membawa maksud kepintaran atau kecendiakawanan, barat membawa maksud berdagang atau berniaga (saya tulis ikut yang ingat ya. Kalau silap tolong betulkan). Selatan membawa maksud kekuasaan. Timur membawa maksud keberanian/kepahlawanan. Menurut Nurhayati orang Bugis mesti sekurang-kurangnya memiliki salah satu ini. Ia adalah jati diri Bugis yang kemudian tergambar pada bentuk aksara tradisional.


Seterusnya muncul Hermansyah dari Aceh membawa tajuk yang kelihatan. Sudah disebut tadi  beliau sepatutnya adalah pembentang kedua sesi pertama. Sekarang sudah dijadikan pembentang kedua sesi kedua pula...


Beliau menyenaraikan manuskrip sebagai antara khazanah warisan Aceh...








Disebutlah tentang perkembangan penulisan di Aceh kemudian diberikan beberapa cadangan bagi memajukan perkara.


Pembentang ketiga sesi, Dr. Maridah binti Alias dari IPG (Institut Pendidikan Guru), Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur membawa tajuk "Budaya dan Pemikiran Melingkar Akal Budi, tidak Daif Peribadi" dengan menonjolkan tulisan Jawi.


Kepentingan tulisan Jawi dan seni khat diangkat sebagai satu aspek amat penting ketamadunan Melayu.


Oh. Setiap pembentang telah dihadkan masa menjadi 15 minit untuk berkongsi ilmu berbanding 20-30 minit menurut jadual asal. Dengan cara itu dicampur fakta bahawa seorang pembentang iaitu Prof. Dr. Azyurmadi Azra  daripada Syarif Hidayatullah State Islamic University, Indonesia tidak dapat muncul pada sesi ini, jadual dapat dikembalikan kepada landasannya apabila sesi ditamatkan pada jam 12.40 iaitu 20 minit sebelum rehat makan tengah hari dijadualkan bermula jam 1.


Majlis disambung jam 2.30 dengan kedatangan tetamu kehormat, YB Datuk Mohamaddin bin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia lalu hadirin diminta bangun untuk nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu Malaysia Bersih (?).


Diadakan persembahan kebudayaan kemudian ucapan oleh Ketua Pengarah PNM, Puan Maizan binti Ismail diikuti satu lagi persembahan kebudayaan sebelum Mohammaddin memberikan ucapan lalu merasmikan keseluruhan majlis.


Jam 3.50 sesi pembentangan ketiga di mulakan dengan Profesor. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa tajuk "Batu Bersurat Terengganu Sebagai Asas Bahasa Melayu Klasik". Sementara itu Mohamaddin dan dif-dif kehormat telah turun ke aras bawah bangunan utama PNM untuk perasmian pameran yang terkait dengan majlis.



Adi memberikan pengenalan tentang Batu Bersurat Terengganu diikuti Batu Bersurat Pagar Ruyung dan Batu Bersurat Minye Tujuh (di Aceh) lalu membuat perbandingan antara ketiga-tiga batu.


'



Didapati apabila disenaraikan 10 ciri-ciri yang membolehkan suatu batu bersurat itu dikatakan ditulis dalam bahasa Melayu klasik (yang sudah ada pengaruh Arab dan Jawi) Batu Bersurat Terengganu memenuhi 7 ciri, Batu Bersurat Pagar Ruyung tiada langsung dan Batu Bersurat Minye Tujuh 2 ciri...





Pembentang kedua sesi merangkap pembentang terakhir bagi hari Selasa, Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir juga daripada UPM kemudian membawa tajuk "Bidang Nyaya/Mantik/Logik dalam Batu Bersurat Tamadun Melayu?".


Secara rata beliau cuba mencari bukti apa-apa penggunaan ilmu logik/mantik dalam batu-batu bersurat di Asia Tenggara supaya boleh dibandingkan dengan perkembangan ilmu serupa di belahan dunia lain, misalnya ilmu logik Aristotle (ahli falsafah Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi) yang kaedah pemikirannya digunapakai ulamak-ulamak silam Islam bermula pada abad ke-8 Masihi sehingga terciptalah disiplin seperti ilmu kalam.


Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,855 di blogspot ini.


Artikel mula ditulis ketika perasmian majlis kemudian disambung di ruang membaca aras bawah PNM jam 5.50 hingga 6.50. Penulisan disambung kembali di sebuah restoran dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman selepas solat Maghrib dan makan malam lalu selesai selepas masuk waktu Isyak. 


Selepas ini saya harus menyelesaikan satu urusan di satu tempat di Cheras 21 km ke selatan PNM. Kemudian carilah tempat tidur di mana-mana masjid ataupun surau asalkan mudah untuk ke majlis bagi sesi pagi esok Rabu 16 Oktober.


Viewing all 1493 articles
Browse latest View live