Quantcast
Channel: CATATAN SI MERAH SILU
Viewing all 1493 articles
Browse latest View live

Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam - Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu

$
0
0
Salam malam Jumaat. Merujuk kepada artikel Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan yang dipersembahkan pada hari Selasa malam Rabu lalu. Adapun pada siang hari itu saya sepatutnya menghadiri kelas di ISTAC setelah 12 hari bercuti untuk keluar berkelana bersama keluarga di negara orang. Tetapi kelas dibatalkan atas sebab tertentu lalu dialih kepada hari Khamis iaitu pada siang tadi.

Pagi Rabu pula saya bersedia untuk menghadiri kelas petang itu tetapi mendapati pensyarah untuk kelas setiap hari Rabu iaitu Profesor Datuk Dr Awang Sariyan harus membentang dalam satu majlis ilmu di Shah Alam yang berlangsung sepanjang hari. Beliau mengundang pelajar melalui Whatsapp untuk menghadiri majlis lalu mengisytiharkannya sebagai ganti kelas. Dengan itu saya pun mengatur langkah untuk ke lokasi majlis.


Kalau ikutkan penat yang belum hilang setelah hampir 2 minggu mengembara agak lasak selain harus menguruskan anak-anak boleh sahaja saya tidak menghadiri majlis. Lainlah kalau pada waktu petang, boleh tinggalkan mereka barang sejam dua di rumah menunggu isteri kembali dari pejabat jam 4.30. Itulah yang biasa dilakukan atau letak anak di pejabat isteri sementara saya bergegas ke kelas. Apabila mendapati pembentangan Awang dijadualkan berlangsung sekitar 10 pagi saya harus hadir waktu itu kalau mahu mengikuti. Memikirkan saya sudah pun terlepas dekat 2 minggu kelas akibat pengembaraan yang sudah dirancang bersama keluarga sejak awal tahun lalu saya terasa wajib menghadiri.


Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah pengasuh dengan sedikit bayaran. Ini biasa dilakukan kalau saya ada urusan di luar sepanjang hari. Nasib baik ketika sampai ke lokasi majlis iaitu di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam jam 10.26 ia masih dalam fasa pembukaan. Ketika itu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad sedang memberikan ucapan perasmian.


Nama majlis adalah Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam. Menurut buku atur cara saya sudah terlepas ucapan alu-aluan Penyandang Kursi Institut Raja-raja Melayu (bawah UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling diikuti ucapan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato' Dr Hassan Said.


Nak bertolak awal ke majlis memang tak larat akibat kepenatan yang belum kebah selepas tamat pengembaraan. Kalau ikutkan atur cara, ketika saya sampai itu harus sudah bermula sesi pembentangan kerana ia dijadualkan bermula jam 10.20.


Saya terpaksa keluar sebentar untuk satu urusan. Ketika masuk kembali jam 10.56 pembentang pertama sesi pagi dan tengah hari, Prof Madya Dr Azman Yusof yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur sedang berkongsi ilmu.


Beliau membawa tajuk "Thamarat Al Muhimmah". Ia merupakan satu kitab ketatanegaraan yang dikarang oleh pujangga besar Melayu-Bugis-Riau abad ke-19 Masihi, Raja Ali Haji.


Dikongsikan tatacara pemerintahan dan pentadbiran negara yang tertera dalam kitab.


Disebut tentang majlis penasihat raja bernama Ahl Al-Halli Wa Al-'Aqdi yang bertujuan untuk memastikan raja-raja menjalankan amanah sesuai dengan kedudukan berdasarkan syariat syumul Islam.


Digariskan apa yang patut ada pada seorang raja...





Selepas beberapa lama naik pembentang kedua, Profesor Dr Jelani Harun daripada Pusat Kajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia membawa tajuk yang kelihatan.


Persoalan "Pedang atau Kalam?" merujuk kepada kekuasaan berbanding ilmu pengetahuan diangkat sebagai latar belakang dalam menentukan arah tuju pemerintahan.


Walaupun ada menyebut beberapa kitab besar Alam Melayu sebagai buku-buku ketatanegaraan beliau mengambil kitab Bustanus Salatin karangan ulamak besar Aceh pada zaman Sultan Iskandar Thani (memerintah 1636-1641 Masihi) sebagai rujukan utama pembentangan.








Masuk jam 11.55, pensyarah saya di ISTAC iaitu Profesor Datuk Dr Awang Sariyan mengambil tempat. Beliau yang diminta bercakap tentang ilmu ketatanegaraan dalam kitab Tajus Salatin karangan Bukhari al-Jauhari di Aceh (sekitar tahun 1603 atau 1604) melakukannya tanpa bantuan slaid.


Hal menarik dibangkitkan Awang yang nampaknya pembentang-pembentang sebelumnya terlepas untuk mengupas adalah betapa aspek-aspek spiritual/tasawuf sangat ditekankan dalam membentuk peribadi seorang raja. Menurut beliau ini adalah perkara besar dalam Tajus Salatin yang kurang difahami mereka yang mengkritik pengisian dalam kitab.


Pembentang keempat, Datuk Zainal Abidin Borhan yang merupakan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan juga membentang tanpa slaid.


Membawa tajuk "Sulatussalatin - Wasiat Sultan Melaka" beliau mengupas ilmu ketatanegaraan yang tersurat dan tersirat dalam kitab besar tersebut...



Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam - Rujukan daripada Asia Barat dan Timur Tengah

$
0
0


Jam 2.30 sesi pembentangan petang dimulakan dengan Profesor Madya Dr Mahazan Abdul Mutalib, pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USM membawa tajuk "Al-Mawardi : Al Ahkam Al Sultaniyyah". Al-Mawardi adalah nama seorang ulamak besar Islam yang hidup di Timur Tengah 1,000 tahun lalu. Al Ahkam adalah kitab besar ketatanegaraan yang dihasilkan beliau.


Diberikanlah latar belakang dan sejarah kehidupan Al-Mawardi.


Aliran pemikiran beliau yang membawa kepada penulisan Al Ahkam pun dikupas...








Pembentang kedua, Dato' Wira Ismail Haji Ibrahim yang merupakan ahli lembaga pengarah Institut Integriti Malaysia kemudian berdiri membawa tajuk "Al-Ghazali : Al-Tibr Al-Masbuk fi Nasihat Al Mulk" tanpa bantuan slaid.


Menarik apabila dilihat turutan zaman bahawa Al-Ghazali yang hidup di wilayah Parsi (kini Iran) 1058-1111 Masihi muncul selepas Al-Mawardi hidup  972 -1058. Kita biasa mendengar Al-Ghazali terkenal dengan kitab Ihya Ulumiddin tetapi jarang mendengar kitab ketatanegaraa beliau Nasihat al-Mulk dibincangkan...





Seperti bersambung lagi turutan zaman, pembentang ketiga Profesor Emeritus Dr Muhammad Bukhari Lubis daripada Akademi Kebijaksaan Sejagat (Global Wisdom Academy), Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya membawa tajuk yang kelihatan.


Nizamulmulk (atau Nizam al-Muluk) merujuk kepada tokoh bernama Abu Ali Hasan ibn Ali Tusi yang hidup 1018-1092 Masihi.


Siyasat Name adalah kitab besar ketatanegaraan yang beliau tulis dalam bahasa Parsi khas untuk raja empayar Seljuk. Pada zaman itu ia merupakan kuasa ketenteraan utama di sebalik pemerintahan kekhalifahan Abbasiyah


Pembentang keempat dan terakhir bagi seluruh majlis, Dato' Dr Hasan Mad yang merupakan setiausaha agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) pula kelihatan seperti mahu memutar masa jauh ke belakang apabila membawa tajuk yang kelihatan.





Memang Piagam Madinah boleh dikatakan rujukan ketatanegaraan yang sangat lama kerana dibuat tidak lama selepas baginda Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah sekitar tahun 632 Masihi.


Malah ia diiktiraf pengkaji Barat sebagai piagam kenegaraan pertama bertulis diketahui dalam sejarah.


Menarik apabila Hasan membawa Piagam Madinah untuk menjadi relevan pada keadaan semasa di Malaysia sekarang.





Beliau bercakap dalam nada lembut dan terkawal. Tetapi ada ketegasan makna yang menggesa mereka yang peka supaya menjadi lebih kuat dan pandai untuk menangani kekecamukan politik yang sedang melanda negara. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,717 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan

$
0
0
Merujuk kepada artikel Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan yang dipersembahkan Selasa malam Rabu lalu. Maghrib tadi timbul rasa untuk mempersembahkan cerita hari pertama perjalanan tersebut. Beberapa artikel sokongan pun ditulis dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas itu terbit ilham untuk menamakan siri sebagai "Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan". 

Tentang kenapa ia diberi nama begitu akan menjadi jelas apabila siri diikuti dengan teliti. Buat masa ini cukup disebut bahawa empayar Funan pernah meliputi sebahagian besar wilayah Indo-China, Ini termasuk kawasan-kawasan yang kemudian menjadi negara-negara moden Thailand, Cambodia, Laos dan Vietnam. Ia adalah kerajaan terawal diketahui wujud dalam sejarah Asia Tenggara iaitu bermula pada abad pertama Masihi.


Hari Khamis 22 November 2018. Saya, isteri dan anak-anak meninggalkan rumah seawal jam 3 pagi untuk menuju ke lapangan terbang KLIA2.


Kami harus bertolak awal kerana telah menempah penerbangan jam 6.45 pagi ke Siem Reap . Tiket-tiket tambang murah telah dibeli seawal bulan Januari.


Kami telah meminta kebenaran sekolah untuk anak-anak bercuti 2 hari lebih awal daripada yang dijadualkan. Kalau beli tiket selepas masuk cuti akhir tahun sekolah hari Sabtu 24 November harganya adalah berkali ganda.


Selepas lebih kurang 1 jam 40 minit penerbangan masuklah kami ke ruang udara Cambodia. Pesawat dijadualkan mendarat jam 7.50 waktu tempatan. Lihat artikel Flight to Siem Reap.


Sampai sahaja ke lapangan terbang Siem Reap, pemandu tuk tuk yang kami tempah sejak dari Malaysia telah sedia menunggu di luar.


Namanya Salim, boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik kerana pernah bekerja di Malaysia selama beberapa tahun. Beliau adalah seorang warga tempatan daripada bangsa Melayu Cham iaitu Melayu yang berasal dari Champa. Ini merujuk kepada sebuah kerajaan Melayu besar dahulukala yang kini telah hilang daripada peta dunia akibat ditakluki lalu 'ditelan' kaum Dai Viet dari selatan China. Mereka menggantikannya dengan negara Vietnam.


Kami menempah beliau untuk meneroka Siem Reap selama 2 hari.


Permintaan pertama kami bawa ke sebuah tasik besar buatan yang katanya didirikan oleh kerajaan lama Khmer atau Angkor sekitar 1,000 tahun lalu. Lihat West Baray, Siem Reap.


Beliau kemudian membawa kami ke bandar raya Siem Reap lalu menuju ke satu kawasan Melayu untuk mendapatkan makanan halal.


Dekat kedai makan terdapat masjid ini. Kami pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) An Neakmah, Siem Reap.


Selepas makan kami minta dihantar ke tempat penginapan yang juga telah kami tempah di Malaysia.


Anak-anak tak sabar nak masuk kerana ada kolam renang.


Saya sendiri mengambil kesempatan berendam dan berehat santai di sekitar...


Selepas jam 3 petang baru kami menyambung penjelajahan dengan menuju ke selatan.



Dalam perjalanan terlihat beberapa tempat tarikan orang memakan biji teratai.





Sasaran kami mahu melihat tasik besar Tonle Sap. Memanjang sekitar 300 km dan melebar 50 km ia adalah tasik terbesar di Asia Tenggara. Lihat Access to Tonle Sap.


Dekat laluan masuk ke tasik ada sebuah masjid. Lihat Masjid (mosque of) ar-Rafee'ah, Tonle Sap, Siem Reap..


Sempatlah berkenalan dengan imam masjid, namanya Ismail kalau tak salah ingatan. Beliau boleh bertutur sedikit dalam bahasa Melayu.



Sekitar 1-2 km ke utara masjid ada sebuah bukit menarik. Melihat ada tangga naik ke atas saya pun berkejar naik.


Dari atas bukit boleh dilihat tasik Tonle Sap terbentang luas. Rujuk artikel Views of Tonle Sap from Phnom Krom.


Perjalanan diteruskan masuk ke pusat bandar raya Siem Reap.


Dapatlah melihat suasana kemeriahan kota hingga ke waktu malam. Lihat artikel  Siem Reap by tuk tuk diikuti Around the night market of Siem Reap.


Antara perjuangan dan pelbagai macam kehendak dan tuntutan...

$
0
0
Kalau ikutkan bebanan rasa di dada ingin saya mula berkongsi cerita hari kedua perjalanan di Cambodia dan Thailand sejak awal semalam lalu masuklah bab Angkor Wat dan kuil-kuil lama yang terdapat di sekitar kota Siem Reap. Mahu diulas bagaimana seni ukiran batu yang dilihat pada kuil-kuil tersebut kelihatan ada persamaan teknik dengan seni pembuatan batu nesan Aceh. Tetapi saya tak dapat kerana banyaknya kerja perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini. Besar kemungkinan selepas hari Jumaat baru saya boleh bercerita tentang Angkor Wat. 

Sebagai ganti untuk gerak yang belum dapat dilaksanakan itu biar dikongsi apa yang baru diletakkan di Facebook kurang setengah jam tadi. Ia adalah pernyataan rasa lega terhadap keadaan yang sedang melanda diri buat masa ini. Biar diletakkan gambar-gambar berkenaan diikuti posting dari FB...




























PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN WALAU KURANG MENONJOLKAN DIRI

Salam semua. Baru beberapa minit ini saya merasa cukup lega kerana satu tugasan penting yang harus disiapkan untuk dipersembahkan dalam kelas di ISTAC petang ini dapat disiapkan setelah bersengkang mata sejak jam 5.30 pagi tadi. Adapun sekembalinya daripada perjalanan pusing Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu saya berada dalam keadaan bingung. Saya bingung dengan perkembangan politik negara yang asyik tak habis-habis menyalahkan satu sama lain. Saya sedih dengan keadaan begitu partisan - kalau sokong satu pihak itu pihak itu sahaja yang betul, lawannya mesti salah kesemuanya dan begitulah sebaliknya. Jarang ada jalan tengah yang dapat melihat pihak yang disokong ada kesilapannya, pihak yang dilawan juga ada betulnya.

Disebabkan itu saya mendiamkan diri daripada menyatakan pendirian dalam banyak hal sejak hampir setahun ini. Sambil itu saya bingung apabila mendapati, jumpa sahaja rakan sekelas Rabu lepas banyak kerja penting harus disiapkan sebelum hujung minggu ini kerana inilah minggu terakhir kelas. Selain tugasan-tugasan bagi setiap 3 kelas, ada Qoloquium untuk mempersembahkan research proposal. Asalnya ia dijadualkan pagi esok tetapi ditunda ke pagi Jumaat disebabkan selepas kelas petang ini ada pula majlis syarahan perdana yang perlu dihadiri di ISTAC sehingga lewat malam.

Nah. Kepenatan daripada pengembaraan di Cambodia dan Thailand belum lagi kebah. Kepala pula kebingungan dengan perkembangan zaman di samping tuntutan kelas. Namun tidak pernah saya meninggalkan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Sebagai penutup kepada luahan yang terbit akibat rasa lega satu tugasan penting baru dapat diselesaikan biar dikongsikan sedikit gambar yang diambil sendiri pada penghujung perhimpunan anti-ratifikasi ICERD di Kuala Lumpur pada hari Sabtu 8 Disember baru ini. Sempatlah menjengok sebentar walau dah tinggal 'ekor' selepas menghadiri satu majlis keluarga di lokasi lain ibu kota. Dikongsikan sekali dua perenggan terakhir daripada tugasan kelas yang baru siap tadi...

"Untuk makluman antara kami terdapat sejumlah pejuang ekonomi Islam yang berpendidikan tinggi, pernah memiliki kedudukan dalam sistem kewangan, perbankan juga perundangan Tetapi mereka keluar setelah mendapati bagaimana sistem kewangan sedia ada dengan duit kertasnya melanggar prinsip syumul Islam. Sistem yang terpakai di merata dunia kini sebenarnya berlandaskan apa yang dipanggil sebagai fractional reserve banking (Kameel, 2009). Ia adalah sistem riba’ berganda yang turut terpakai pada setiap bank negara di bawah tatacara kewangan moden. Oleh itu ia juga mempengaruhi aliran kewangan bank yang mengakui Islam.

Walaupun HIKMAH tidak lagi mengadakan acara ilmu selepas tamat acara ke-20 di Aceh 19 Mac 2017 legasi-legasi yang kami tinggalkan tetap bergerak untuk memperjuangkan Melayu dan Islam. HIKMAH mungkin tidak terlibat secara langsung dalam perjuangan menentang ratifikasi ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) yang menarik jutaan ummah untuk berkumpul di Kuala Lumpur menzahirkan penentangan pada 8 Disember 2018. Tetapi rakan-rakan dan ramai yang menerima faedah daripada acara-acara kami tetap terus berjuang dalam pelbagai medan demi kemaslahatan ummah "


Nota tambahan : Sebagai lanjutan daripada posting FB ingin saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur perhimpunan anti-ICERD di Dataran Merdeka. Dalam hal ini saya melihat PAS begitu cekap dan lancar dalam mengendalikan penyertaan. Perhimpunan bukan sahaja aman malah jalan-jalan kelihatan begitu bersih, lebih bersih daripada hari-hari biasa..

Saya juga ingin menyatakan sedikit kekesalan dan rasa terkilan akibat tidak dapat menyertai perhimpuan lebih awal di belah pagi yang dihadiri oleh ramai rakan-rakan aktivis persilatan untuk menyerahkan memorandum anti-ICERD kepada Istana Negara. Hati saya berbelah bagi antara hendak bergerak awal ke sana dengan meluangkan masa bersama keluarga juga antara penat yang belum kebah setelah kembali daripada perantauan kemudian harus menghadiri satu majlis keluarga di bahagian lain ibu kota dalam tempoh masa yang sama. Semoga kawan-kawan faham saya tidak pernah membelakangkan perjuangan. Cuma cara menzahirkan itu kadangkala saya berbelah bagi antara menunjukkan diri dengan kelihatan seperti tidak mengambil peduli. Ini kerana sambil mereka yang jujur bergerak untuk memartabatkan Melayu dan Islam masih ramai yang munafik melaungkan slogan serupa tetapi sebenarnya hanya bergerak demi keselesaan dan kesenangan peribadi semata-mata.



Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan

$
0
0
OK. Ini ada satu perkongsian yang fresh ataupun segar kerana saya baru tengah malam tadi kembali daripada lokasi acara.



Adapun sehari selepas kembali daripada perjalanan pusing Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember saya menerima poster yang kelihatan dalam grup Whatsapp pelajar ISTAC. Ia mengenai syarahan perdana yang akan dibuat oleh Sheikhul Kuliyyah kami atau mahaguru fakulti, Profesor Ulung (Distinguished Professor) Datuk Dr Osman Bakar pada hari Rabu 12 Disember 2018 waktu malam. Pelajar diwajibkan hadir dalam majlis yang akan dipengerusikan Menteri Pendidikan kini Dr Maszlee Malik yang juga pemegang jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur.




Syarahan perdana dibuat atas perlantikan beliau sebagai pemegang kedua Kerusi Al-Ghazzali. Pemegang pertama adalah pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas. Kebetulan hari tersebut iaitu pada petang tadi saya ada kelas bersama Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Saya pun bergerak ke ISTAC jam 5 petang.


Osman memiliki reputasi besar sebagai seorang cendekiawan Islam bertaraf dunia. Beliau tersenarai antara 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia. Sejak saya sampai sudah ada yang berkumpul untuk mengikuti syarahan beliau.


Namun saya sendiri masuk ke dewan syarahan jam 9 malam. Ketika itu kata-kata aluan dan pengenalan oleh Maszlee sudah selesai dan Osman memulakan syarahan.


Beliau memulakan dengan mengalu-alukan hadirin yang datang terutama para cendekiawan dari luar negara yang sudah lama mengenali. Terdapat duta-duta luar negara dan/atau wakil turut menghadiri. Ada orang seperti Ziauddin Sardar, seorang cendekiawan besar Islam asal Pakistan yang kini berpengkalan di London, ada Dato' Dr Afifi al-Akiti, anak muda Melayu mengajar di University of Oxford, United Kingdom yang juga adalah penasihat agama Sultan Perak. Kelihatan beberapa orang tokoh korporat dan bekas menteri. Oh, majlis dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Lebih mudah bagi saya menceritakan kembali dan mengulas menggunakan bahasa tersebut. Tetapi biar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk kemudahan awam dan atas semangat memartabatkan bahasa kebangsaan.


Osman kemudian berkongsi latar belakang pengajian beliau, bagaimana daripada seorang graduan sarjana muda (1967-1970) dan sarjana (1970-1971) matematik di University of London beliau beralih kepada bidang perbandingan agama (comparative religion) lalu membuat sarjana (1981-1983) dan PhD (pengkhususan dalam falsafah sains dan teologi iaitu bidang keagamaan 1983-1987) di Temple University, Amerika Syarikat.  Dikongsikan perhubungan dan keakraban beliau dengan Syed Naquib yang tidak ramai orang tahu. Untuk pengetahuan sejak Naquib 'putus hubungan' dengan ISTAC tahun 2002 akibat hal tertentu ia sering dikecam oleh mereka yang mengaku anak-anak murid sejati al-Attas serta para pelajar 'ISTAC asal' sebagai sudah lari dari landasan. Kelihatan Osman mahu memberitahu bahawa beliau tidak asing dengan dunia pemikiran dan gagasan al-Attas. Malah beliau mahu memajukan lagi gagasan dunia pemikiran Islam yang dibawa pengasas ISTAC itu sambil membawa formula sendiri untuk mengangkat kembali reputasi institusi yang masih dianggap tinggi dalam dunia Islam untuk sekurang-kurangnya menjadi sepertimana ia pernah dikenali ketika masih di bawah kelolaan Naquib..

Menariknya latar belakang yang diceritakan ada persamaan dengan perjalanan saya sendiri kerana turut belajar dalam bidang matematik di London walau setakat sarjana muda 1991-1995. Adapun pada tahun beliau mula menyambung sarjana saya baru lahir iaitu pada tahun 1970. Perjalanan hidup Osman lebih teratur apabila membuat sarjana dan PhD dalam bidang berlainan sementara saya menghadapi krisis besar pegangan hidup berupa pertentangan kepercayaan terhadap sains lawan keyakinan baru bersifat sufistik (tasawuf) yang timbul akibat beberapa pengalaman bersifat kebatinan di London. Akibat itu saya menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times 1996-2001 sebelum krisis baru membawa saya sering keluar berkelana seorang diri sehingga selalu tidur di masjid-masjid dan makam.

Hmm... masih ada kebetulan persamaan sebetulnya dengan Osman apabila bercakap tentang tempoh waktu tersebut. Jika beliau menjadi akrab dengan Syed Naquib sehingga menyebutnya sebagai sparring partner dalam dunia pemikiran saya pula menjadi akrab dengan penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas. Ada faktor sama al-Attas. Memang mereka bersaudara pun...



Osman menegaskan pelantikan beliau sebagai pemegang kedua Kerusi Al-Ghazali bukan sekadar sebagai successor atau pengganti Syed Naquib (Osman menyertai ISTAC bermula September lalu iaitu tempoh masa saya sendiri memulakan pengajian di sana). Beliau mahu membawa gagasan baru dalam memajukan ISTAC. Beliau pun menerangkan tentang kepentingan adanya Kerusi Al-Ghazali, kenapa perlu ada syarahan perdana atau inaugurul speech sebagai tanda menerima kerusi. Diceritakan tentang sejarah berkenaan yang berlaku dalam dunia Islam seperti perlantikan Imam Al-Ghazali (hidup 1058- 1111 Masihi) sebagai pemegang Kerusi As-Shafie (Imam Shafie) di Universiti Nizamiyah, Baghdad.

Oh. Osman yang lahir di Maran, Pahang tahun 1946 ada menyatakan mahu pencen daripada memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa bidang setelah selesai kontrak mengajar di universiti terakhir beliau sebelum ini iaitu di Brunei kurang setahun lalu. Kata beliau sudah penat jadi nomad mengajar berpindah randah ke banyak tempat. Namun beliau akur itulah hakikat sebenar seorang sarjana sejati lalu menyebut al-Farabi (872- 950M) sebagai contoh seorang sarjana Islam yang asyik bertukar tempat menimba ilmu sebelum mengajar pula di beberapa tempat. Tetapi beliau dipujuk untuk menyertai ISTAC. Pada awalnya Osman cuba menolak menggunakan alasan kesihatan dan umur yang meningkat. Tetapi alasan ini tidak lagi boleh dipakai apabila Tun Mahathir yang sudah berumur 93 tahun pun boleh menggalas kembali tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Kerusi Al-Ghazali pertama kali dilancarkan pada 14 Disember 1993. Ketika itulah pemegang pertama Syed Naquib mula memegangnya walaupun ISTAC sendiri sudah diasaskan beliau enam tahun lebih awal iaitu pada 29 September 1987. Beliau memegang selama sembilan tahun iaitu sehingga 2002. Terjadilah kekosongan selama lebih 15 tahun sehingga Osman dilantik sebagai pemegang kedua...



Selepas itu baru beliau mengupas beberapa perkara tentang ilmu. Maka masuklah pada tajuk sebenar syarahan seperti diwar-warkan pada poster iaitu "Advancing Comparative Epistemology and Civilisational and Future Studies - The Global Role of the New ISTAC-IIUM". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Memajukan Perbandingan Epistemologi, Ketamadunan dan Pengajian Masa Hadapan - Peranan Global ISTAC-IIUM baru". IIUM adalah singkatan bagi International Islamic University of Malaysia, dalam bahasa Melayu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM. Untuk pengetahuan ISTAC yang dahulu merupakan singkatan bagi International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan) adalah di bawah kelolaan UIAM. Ia kini membawa makna International Institute of Islamic Civilisation and Malay World iaitu Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu.

Sekali baca tajuk boleh terkeliru juga apakah yang ingin dibawa Osman. Bila diberikan penerangan  panjang lebar dalam syarahan barulah jelas. Sebenarnya beliau mahu mengenengahkan tiga gagasan utama dalam menentukan hala tuju ISTAC. Ia adalah dalam kajian epistemologi iaitu teori asal usul ilmu, kajian ketamadunan merujuk kepada bermacam-macam tamadun misalnya tamadun Hindi dan tamadun Cina kemudian pengajian masa hadapan (future studies) iaitu hala tuju akan datang dalam suatu bidang misalnya perkembangan ketamadunan itu sendiri.


Untuk epistemologi beliau memberikan penakrifan yang dikira lebih jelas dan mudah berdasarkan asal-usul perkataan tersebut daripada bahasa asalnya Greek. Osman menakrifkannya sebagai vision of knowledge iaitu apa pandangan kita terhadap suatu ilmu. Misalnya orang yang tidak percayakan Tuhan akan melihat suatu ilmu daripada sudut berbeza berbanding mereka yang percayakan Tuhan. Secara rata beliau menggagaskan agar selalu dibuat perbandingan dalam bidang epistemologi misalnya membandingkan bagaimana orang Barat melihat ilmu berbanding cara orang Islam melihat ilmu. Dibuat juga perbandingan dalam bidang ketamadunan juga kajian masa hadapan. Majukan setiap perbandingan ini maka jadilah seperti tajuk - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan. Barulah suatu kajian boleh menjadi betul-betul berguna lalu dapat dimanfaatkan untuk memajukan ummah.

Osman memberi contoh apabila masuk ke ISTAC didapati ada tiga orang pelajar mahu mengkaji tentang keris. Tidak salah untuk mengkaji keris tetapi biarlah untuk perkara yang lebih besar. Bukan dikaji kenapa yang itu pendek yang itu panjang, apa beza keris Pahang dengan keris Johor. Sebaliknya luaskan skop. Misalnya kaji perbezaan keris dan fungsinya dalam masyarakat Melayu dan bandingkan dengan pedang katana dan fungsinya dalam masyarakat Jepun. Barulah ia menjadi kajian besar yang dapat merangkumkan pelbagai jenis ketamadunan.


Syarahan beliau tamat hampir tepat pada masa yang dijadualkan iaitu jam 10.30 malam. Selepas itu hadirin terutama para VVIP dan VIP dibawa melihat pameran di ruang legar kemudian makan.


Pameran menunjukkan buku-buku yang pernah ditulis oleh Osman juga buku-buku tulisan orang lain yang disunting beliau. Turut ditunjukkan bab-bab tertentu tulisan beliau dalam sejumlah buku lain dan jurnal. Untuk pengetahuan Osman telah menulis 23 buah buku, menyunting 13 buah buku dan menghasilkan bab-bab terpilih untuk 48 buah buku. Jurnal beliau berjumlah 39 buah. Ada pula penulisan yang masuk dalam 10 tajuk ensaiklopedia. Secara rata beliau menulis dalam bahasa Inggeris namun penulisan-penulisannya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa. Semoga Osman berbesar hati untuk menjadi penyelia bagi penulisan tesis saya di ISTAC.


Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar

$
0
0
Salam hari Jumaat. Pagi tadi telah berlangsung satu majlis Colloquium di ISTAC di mana empat orang pelajar pasca-siswazah membuat pembentangan untuk mempersembahkan thesis proposal atau cadang tesis masing-masing. Alhamdulillah cadangan saya untuk mengangkat kira-kira masa seperti sudah disajikan dalam buku ke-11 dan ke-12 saya (rujuk artikel Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC) supaya menepati dan mengikut format rasmi dan piawaian akademik diterima. Malah disebabkan keluasan ilmu yang mahu disepadukan dalam kajian saya digalakkan agar mengubahnya daripada tesis Masters menjadi tesis PhD.

Lega dan gembira dengan perkembangan itu saya pun memulakan perkongsian cerita hari kedua perjalanan bersama isteri dan anak-anak di Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu. Kebetulan hari tersebut adalah hari Jumaat 3 minggu lalu. Saya pun berazam untuk mempersembahkan ceritanya hari ini Jumaat juga iaitu sebelum masuk hari baru waktu Maghrib menurut kalendar Islam.

Untuk menyokong penceritaan 10 buah artikel harus dipersembahkan dahulu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), 3 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Proses yang dimulakan sekitar jam 12.45 iaitu sebelum solat Jumaat tadi berjaya diselesaikan sejurus sebelum masuk waktu Asar.Maka bolehlah disambung cerita daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan...



Jumaat 23 November 2018. Kami sekeluarga mula keluar seawal jam 5.10 pagi waktu tempatan.


Kami mahu menunaikan satu perkara atau hajat yang menjadi asbab utama membuat perjalanan ke Cambodia dan Thailand ini. Kena singgah dahulu membeli tiket untuk perkara tersebut.


Tiket bukan murah wooo. US$37 yang pada ketika itu bersamaan RM155.40 untuk satu kepala.


Nasib baik tak perlu bayar untuk dua orang anak kerana berumur bawah 12 tahun. Untuk saya dan isteri kena le jadi jumlah USD74 bersamaan RM310.80.


Banyak tu untuk bayaran masuk ke suatu tempat dalam tempoh satu hari.



Tapi itu le pengorbanan wang ringgit selain masa dan penat lelah demi memenuhi kecintaan kami menjejak ketamadunan lama sambil mengkaji sejarah terutama yang berkenaan Alam Melayu.


Ketika ini harus sudah jelas tempat apakah yang ingin dilawati sehingga sanggup mengeluarkan lebih RM300 belanja semata-mata untuk tiket  masuk. Ya. Kami pergi ke Angkor Wat, dikatakan bangunan keagamaan terbesar yang diketahui masih wujud atau pernah wujud di muka bumi. Kami bergerak awal untuk melihat pemandangan matahari terbit. Ternyata ramai pelancong luar sedang menunggu peluang yang sama. Lihat Catching sunset at Angkor Wat.


Dengan sampainya kami anak beranak ke kuil purba berusia sekitar 900 tahun ini terlangsailah satu hajat yang tertunda sejak setahun lalu.



Ini merujuk kepada perjalanan kami dengan menaiki kereta sendiri sehingga ke Ayuthayya di utara Bangkok, Thailand hujung tahun lepas. Ia mahu dipanjangkan ke Angkor Wat di Siem Reap 400 km lebih ke timur tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan 3 faktor :-


1) Kesuntukan masa sebab timing asyik lari - Selalu sampai lewat malam ke perhentian rehat seterusnya

2) Bajet lari. - Kami kurang bersedia untuk membayar harga tiket USD37 satu kepala untuk tiket masuk 

3) Susah nak bawa kereta sendiri masuk ke negara Cambodia - Tidak seperti Thailand di mana sesiapa boleh masuk asal ada geran dan belanja untuk beli insurans kereta sementara, nak masuk Cambodia kena dapatkan kebenaran kedutaan mereka terlebih dahulu. Ini katanya memakan masa tidak kurang 3 hari.



Ketiga-tiga perkara tersebut cuma disedari setelah jauh memandu ke dalam Thailand. Kalau sedar lebih awal mungkin kami lebih bersedia.. Rujuk Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation.


Oh. Ini gambar anak-anak kami di satu bahagian bawah Angkor Wat. Kami terpaksa meninggalkan mereka kerana tidak dibenarkan naik ke bahagian utama kuil di atas.


Kami suami isteri sanggup masuk ke dalam kuil purba lalu meneliti bermacam benda di dalamnya kerana pada kami ada bukti-bukti kehebatan ketamadunan lama Alam Melayu. Selain itu kami percaya ada kesan-kesan agama tauhid merangkap Islam syariat nabi-nabi terdahulu. Pada kami jejak ke tapak dan penelitian lapangan boleh membuka pengetahuan baru di samping memberikan tautan kebatinan yang boleh membuka cerita-cerita berkenaan yang sudah lama terpendam. Yang faham faham le maksudnya...


Angkor Wat dilihat dari halaman selatan sambil kami keluar untuk meninggalkannya. Untuk lebih banyak gambar lihat artikel Angkor Wat  diikuti Bahagian utama (Main section of) Angkor Wat.


Sedar tak sedar ada 2 jam juga masa telah dihabiskan di sana. Sebetulnya itu kira sedikit sahaja. Kalau nak betul-betul teliti segala ceruk bentuk ukiran dan perlambangan yang ada dalam bangunan utama pun rasanya boleh memakan masa 2-3 hari. 

Nampaknya sebab itu ada tiket masuk 3 hari berharga USD62. Tak semestinya 3 hari berturut - boleh pilih nak masuk pada hari-hari tertentu dalam suatu tempoh masa, seminggu atau dua minggu kalau tak salah...


Menggunakan paparan satelit dan kemudahan 'pembaris' program Google Earth didapati di Angkor Wat dan halaman berdekatannya sahaja anak-anak telah berjalan kaki lebih 3 km. Saya dan isteri tambah lagi 240 meter kerana menaiki bahagian tengah atas lalu membuat sekali pusing kawasan itu. Selepas itu kami menyambung naik tuk tuk untuk ke lokasi-lokasi lain.





Ada beberapa lagi kuil lama lain dalam satu kawasan besar sekitar Angkor Wat yang juga didirikan sekitar 900 tahun yang lampau. Tiket Angkor Wat memberikan kebenaran untuk masuk ke semua kuil purba di sekitar bandar raya Siem Reap.


Kami masuk persekitaran kota purba Angkor Thom yang pintu masuk selatannya terletak sekitar 1.2 km ke utara Angkor Wat.



Di pusat kota kira-kira 1.3 km dari pintu masuk terdapat kuil utama yang dipanggil Bayon. Lihat Kuil (Temple of) Bayon.


Tetapi isteri dan anak-anak tidak ikut masuk melihat ke dalam. Ini disebabkan anak-anak mahu buang air lalu isteri harus menemani mencari tandas di kawasan lain. 


Dalam kawasan Bayon saya berjalan kaki sekitar 510 meter. Selepas itu pemandu tuk tuk membawa kami melihat apa yang dikenali sebagai Elephant Terrace.


Tetapi kami tidak turun singgah, setakat melihat daripada jauh. Sebaliknya saya lebih tertarik dengan satu siri menara puba yang kelihatan selepas itu lalu turun untuk meneliti. 




Seterusnya kami tertarik untuk turun melihat lebih dekat satu tinggalan atau runtuhan jambatan purba. Lihat Tinggalan jambatan lama di luar Angkor Thom (Remains of ancient bridge outside Angkor Thom).



Anak kecil saya Johan yang berumur 6 tahun begitu seronok berjalan-jalan atas runtuhan. Ada kalanya dia duduk termenung menghadap sungai berdekatan. Seolah-olah terlihat suatu memori lama yang sudah beratus tahun hilang seiring dengan keruntuhan jambatan.


Di satu kuil bernama Ta Keo pula anak kecil ini menemani saya naik hingga ke tingkat paling atas. Malah beliau lebih cepat naik tangga-tangganya yang amat curam, saya pula sering memerhati penuh kerisauan. Harus mengawal perasaan antara membenarkannya terus naik tanpa takut dengan keinginan untuk memegangnya rapat pada kala saya sendiri merasa teruji naik tangga itu.


Pemandu kami tidak menggalakkan sesiapa naik ke atas kuil ini lalu cuba melarang. Katanya sudah berlaku beberapa orang pelancong luar mati akibat jatuh tergelincir ketika memanjat. Namun saya juga teringat anak inilah yang paling mirip saya ikut perangai lasak. Melarang dia ibarat melarang diri sendiri mencuba pelbagai perkara berbahaya demi menguji keberanian dan sifat lasak ketika lebih 40 tahun lalu. Lihat Kuil (Temple of) Ta Keo.


Lihat sudut sebegini bahaya pun anak cuba rapat. Bila dah begini memang terpaksa halang. Apapun kami dua beranak berjalan kaki sekitar 330 meter di kuil ini.


Di kuil seterusnya iaitu Ta Phrom baru isteri dan seorang lagi anak ikut melihat hingga ke dalam.



Ini disebabkan teruja mahu melihat di bahagian manakah kuil ini filem Tomb Raider lakonan aktress terkenal Angelina Jolie dibuat penggambaran. Lihat Kuil (Temple of) Ta Phrom. Cari sendiri babak berkenaan di Youtube. Ia seperti mahu memberikan petunjuk tentang makna 'roh' kerajaan lama yang pernah dikenali sebagai Kemboja oleh bangsa Melayu. Untuk pengetahuan nama negara Cambodia yang terpakai sekarang juga nama sebelum itu iaitu Kampuchea muncul daripada perkataan Kemboja yang biasa dikaitkan dengan sejenis bunga Melayu.


Di kuil "Tomb Raider" kami anak beranak berjalan kaki 1.5 km disebabkan jauhnya pintu gerbang masuk dari bangunan utama kuil. Disebabkan kepenatan isteri dan anak-anak tidak ikut saya meneroka kuil seterusnya juga bendungan air  purba berdekatan. Untuk meliputi tempat-tempat tersebut saya telah berjalan kaki lagi 1. 3 km. Lihat Kuil (Temple of) Banteay Kdei diikuti Bendungan air purba (Ancient reservoir of) Sras Srang.



Masuk waktu Zohor kami bergegas ke perkampungan Melayu terbesar di Siem Reap untuk menunaikan solat Jumaat.


Masjid berkenaan telah disinggahi pada hari sebelumnya. Rujuk balik artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan.





Selesai solat kami berehat di rumah peranginan. Jam 4 petang baru keluar lagi lalu menuju ke bukit bernama Phnom Khrom. 



Bukit ini ada dinaiki saya seorang diri pada hari sebelumnya. Kali ini saya mengajak isteri dan anak-anak naik sekali hingga ke puncak. Lihat Going up Phnom Krom.



Hari sebelumnya saya cuma dapat naik tak sampai separuh bukit kerana dihalang oleh petugas. Ini disebabkan ada kuil lama atas sana yang usianya 200 tahun lebih awal daripada Angkor Wat. Kali ini boleh naik kerana ada tiket atau pas Angkor Wat. Lihat Kuil (Temple of) Phnom Krom. Di atas bukit itu juga boleh ditemui satu lokasi untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik. Lihat Sunset from Phnom Krom.



Untuk ke kuil Phnom Krom kemudian melihat pemandangan kemudian kembali ke kaki bukit isteri dan anak-anak telah berjalan kaki sejauh 2.2 km. Saya pula membuat tambahan 800 meter kerana telah bersendirian membuat tinjauan mencari tempat terbaik untuk menikmati pemandangan sebelum mengajak isteri dan anak-anak. Kemudian saya naik ke satu puncak lain bukit ketika matahari sudah terbenam sementara isteri dan anak-anak turun. Secara keseluruhan mereka telah berjalan kaki sejauh 7 km hari itu untuk melihat apa yang terdapat di Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitarnya. Saya pula berjalan kaki lebih 3 km lagi untuk mencapai jumlah 10 km.


Sebelum menutup artikel biar dikongsikan satu pemerhatian. Saya dapati bahawa kebanyakan kuil di sekitar Siem Reap ini dibina menggunakan batu pasir atau bahasa Inggerisnya sandstone. Ada sedikit bahagian dibina dengan batu laterit iaitu batu merah besi seperti terdapat pada pintu gerbang A Famosa di Melaka, yang lain semuanya batu pasir. Ini adalah bahan serupa seperti batu nesan Aceh, baik yang berwarna kelabu lalu dikatakan oleh pengkaji dari Aceh sebagai buatan zaman Samudera-Pasai (abad ke-13 hingga 16 Masihi) mahupun berwarna sedikit kekuningan lalu dikatakan buatan Aceh Darussalam (kawasan sekitar Banda Aceh sekarang abad ke-16 hingga penghujung 19). Melihat kepada ketelitian ukiran saya percaya bahawa ada kemungkinan besar kepakaran mengukir batu Aceh dibawa dari Kemboja kalau tidak pun Champa (kini dalam Vietnam) yang terletak bersebelahan.


Antara dunia keintelektualan dan akal logik dengan dunia kesufian dan pengalaman mistik

$
0
0
Hari ini tarikhnya cantik, 18/12/18. Terasa harus dipersembahkan satu artikel baru di blogspot ini, kalau boleh cerita sambungan iaitu hari ketiga perjalanan di Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu. Tapi tak sempat kerana ia memerlukan sejumlah artikel sokongan dibuat terlebih dahulu sedangkan hari ini saya sibuk dengan pelbagai urusan. Oleh itu biar dikongsikan satu gerak penulisan kecil yang tercetus selepas tengah malam lalu dipaparkan di Facebook…




AL-GHAZALI VS AL-JILANI - MANAKAH PILIHAN KALIAN?

Dunia pemikiran dan keintelektualan Islam sering mengangkat Imam Al-Ghazali sebagai tokoh tersohor dalam dunia itu. Dunia sufi dan tasawuf pula mengangkat Sheikh Abdul Qadir al-Jilani sebagai tokoh paling tinggi dan utama. Walaupun sudah mengenali nama Al-Ghazali juga sedikit penulisan beliau terutama daripada kitab Ihya Ulumiddin sejak berumur awal 20an lagi baru kini saya terpanggil untuk meneliti pemikiran beliau. Nama Al-Jilani dan penulisan-penulisan atas namanya (beliau sebenarnya tidak menulis tetapi syarahan-syarahan beliau dicatatkan orang) pula saya cuma kenal selepas berumur lebih 25 tahun. Selepas masuk umur 30 tahun baru menekuni tulisan-tulisan beliau.

Ketika mahu meneliti pemikiran Al-Ghazali baru tersedar bahawa beliau hidup sezaman dengan Al-Jilani. Al-Ghazali hidup 1058-1111 Masihi, Al-Jilani dikatakan hidup. 1077–1166. Al-Ghazali lahir dan wafat di Tous, Iran sekitar 1,700 km ke timur Baghdad tetapi pernah menjadi ‘profesor’ besar di Universiti Nizamiyah di kota besar tersebut 1091-1095. Al-Jilani pula lahir di Jilan, juga dalam wilayah Iran ataupun Parsi sebelum berpindah ke Baghdad pada umur 18 tahun. Cuma saya tak pasti di manakah Jilan yang dimaksudkan. Wikipedia menyebutnya sebagai sebuah kampong lama 40 km di selatan Baghdad. Google Map menunjukkan Jilan sebagai satu tempat lebih 1,300 km ke timur kota itu menghala ke Tous.

Al-Ghazali naik sebagai seorang intelektual besar dalam ilmu fiqah seawal umur 27 tahun lagi sebelum diberikan kedudukan formal intelektual tertinggi di Baghdad pada tahun 1091 iaitu pada usia 33 tahun. Pada tahun 1095 beliau mengalami krisis spiritual lalu meninggalkan segala kedudukan dan kemewahan untuk menjadi seorang faqir sambil mendalami ilmu kesufian. Pada tahun yang sama Al-Jilani yang juga sudah mendalami pelbagai jenis ilmu termasuk fiqah berhijrah ke Baghdad untuk mendalami lagi pengetahuan pada umur 18 tahun. Tetapi menurut ceritanya beliau ditahan daripada masuk ke dalam kota lalu berlegar-legar di luar sebagai seorang majnun selama 7 tahun. Apabila masuk ke Baghdad terus menerima ijazah tinggi kesufian. Ini harus berlaku pada tahun 1102.

Al-Ghazali dikatakan menghabiskan masa di Damsyik dan Baitulmaqdis, ada menziarahi Mekah dan Madinah tahun1096 sebelum kembali ke Tous lalu beruzlah atau menyendiri selama beberapa tahun. Selepas berjaya dipujuk baru beliau kembali ke Baghdad untuk mengajar tahun 1106 tetapi kembali sebelum ke Tous tahun 1110 lalu wafat di sana 1111. Al-Jilani pula menjadi pengembara selama 25 tahun. Tahun 1127 baru beliau dikatakan hidup setempat lalu mula mengajar di Baghdad di mana beliau kemudian dikenali sebagai Sultanul Awliya iaitu raja para wali sehingga wafat dan dimakamkan di sana 1166.

Melihat pada tahun-tahun dan apa yang berlaku dalam kehidupan kedua-dua tokoh besar ini kelihatan mereka tidak pernah atau tidak sempat bertemu antara satu sama lain. Tetapi melihat pada kehidupan kesufian kedua-dua tokoh ada kemungkin pernah berlaku pertemuan sekurang-kurangnya dalam bentuk batin. Al-Ghazali menulis kitab besar beliau Ihya Ulumuddin selepas mendapat kesedaran Tasawuf tinggi. Ini dikatakan berlaku pada penghujung abad ke-12 Masihi (tiada tahun tepat diberikan). Cuma berdasarkan cerita perjalanan hidup beliau besar kemungkinan kitab tersebut dikarang antara tahun 1096 dengan 1106. Al-Jilani pula memang sudah menjadi seorang sufi besar seawal umur 25 tahun lagi iaitu pada tahun 1102. Tetapi bermula tahun 1127 baru ini dipertontonkan kepada umum sehingga dikatakan kakinya memijak tengkuk semua wali yang ada di dunia ini.

Penulisan-penulisan Al-Ghazali selepas menjadi seorang sufi menyentuh perkara kebatinan tetapi cuba diselarikan dengan pemikiran logik ilmu kalam dan mantik. Sebab itu beliau diangkat sebagai tokoh tinggi pemikiran Islam. Penulisan-penulisan Al-Jilani pula lebih berunsur karamah dan kewalian tanpa ada keperluan untuk memuaskan keperluan logik akal. Antara dua pendekatan ini yang manakah pilihan kalian?



Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham

$
0
0
Salam. Malam ini saya ada sedikit kekuatan dan kelapangan untuk menyambung penceritaan perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu, Masuklah kepada hari ketiga perjalanan. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dankerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.



Awal pagi Sabtu 24 November 2018. Kami menunggu di hadapan rumah peranginan yang menjadi tempat kami menginap di Siem Reap selama 2 malam.


Kami mahu bergerak ke kuil purba Preah Vihear yang terletak di sempadan utara Cambodia dengan Thailand. Kami telah membeli tiket bas untuk ke bandar terdekat di sana.


Kami dibawa dengan tuk tuk ke stesyen bas yang terletak di luar timur bandar raya Siem Reap.





Ini stesyen basnya. Di Cambodia ini konsepnya syarikat-syarikat bas utama memiliki stesyen sendiri di bandar-bandar.





Selepas jam 8 bas pun sampai lalu kami pun menaikinya.


Walaupun disebut sebagai bas ekspress ia ada mengambil penumpang di beberapa perhentian di sepanjang perjalanan. Bila tempat duduk penuh diberikan pula kerusi-kerusi kecil untuk duduk di bahagian tengah iaitu laluan orang berjalan.


Adapun destinasi kami adalah bandar kecil Sra'aem yang terletak lebih kurang 200 km ke timur laut Siem Reap. 


Dari Sra'aem boleh dapatkan teksi atau sebagainya hingga ke kaki gunung di sempadan Cambodia-Thailand. Di kaki gunung kena beli tiket masuk ke kuil berharga US$10 untuk satu kepala. Kemudian naik bonceng motosikal atau kenderaan 4WD pada kadar US$5 sekepala untuk sampai ke puncak di mana terdapat kuil purba Preah Vihear.


Beginilah rupa bahagian hadapan kuil.


Kedudukan di atas puncak gunung yang bersambung dengan dataran tinggi dalam negara Thailand memberikan pemandangan menakjubkan ke atas dataran rendah yang membentuk sebahagian besar Cambodia...


Namun didapati bas menuju ke arah Kampong Cham di tenggara di Siem Reap. Ini adalah jauh mencapah dari laluan ke Sra'aem dan kuil Preah Vihear.


Nasib baik ada seorang pembantu bas boleh bercakap bahasa Melayu. Beliau memberikan jaminan bahawa tiket-tiket yang kami beli daripada ejen ketika hari pertama di Siem Reap memang boleh membawa ke Sra'aem. Cuma kena tukar naik lagi satu bas.


Tempat pertukaran itu terletak di Kampong Thom. Kami harus bertukar naik bas dari Phnom Penh ke Sra'aem. Kebetulan tidak lama selepas sampai ke tempat tersebut bas dari Phnom Penh pun sampai. Kami pun mengalihkan beg-beg ke dalam bas.


Tempat pertukaran itu adalah kawasan rehat bagi syarikat bas yang kami gunakan. Menjadi kebiasaan di Cambodia bas untuk perjalanan lebih 100 km akan berhenti di sekurang-kurangnya satu tempat rehat.


Tetapi kami akhirnya membuat keputusan untuk naik kembali bas ke Kampong Cham. Setelah beberapa lama bas mengalami kerosakan.


Kenapa batalkan niat ke Sra'aem dan kuil Preah Vihear? Kerana dah lari bajet masa. Daripada satu segi kami sudah tersilap membeli tiket. Sepatutnya ada cara dan laluan lain boleh sampai ke Sra'aem dalam tempoh 3-4 jam dari Siem Reap. Sebaliknya kami sampai ke tempat pertukaran pun sudah jam 10.40 iaitu setelah lebih dua setengah jam perjalanan.



Menurut Google Map laluan jauh yang dibuat supaya boleh bertukar menaiki bas dari Phnom Penh boleh dicapai dalam masa kurang 6 jam. Hakikatnya tidak. Kami diberitahu dari tempat pertukaran memerlukan masa 7 jam untuk sampai ke Sra'aem. Kalau begitu dekat jam 4 petang baru sampai. Kat sana kena dapatkan kenderaan lain untuk bergerak lagi 30 km ke pintu masuk ke laluan naik kuil di kaki gunung sedangkan kuil pula tutup jam 5. Memang tak dan. Ertinya kena bermalam di Sra'aem, esoknya baru boleh naik ke kuil Preah Vihear untuk menikmati kesan-kesan purba berserta pemandangan indah. Selepas itu harus tidur lagi di Sra'aem kerana keesokan paginya baru boleh mendapatkan bas menuju ke arah Phnom Penh.


Ah. Memang lari bajet masa kalau begitu sedangkan terdapat banyak lagi tempat mahu disinggahi di Cambodia kemudian masuk ke Thailand sebelum kembali ke Malaysia melalui jalan darat selewatnya 3 Disember 2018. Dah lah perlu menginap 2 malam di Sra'aem nanti nak Kampong Cham seperti dirancang selepas itu pun agak susah dari sana. Maka itu dibuat keputusan naik kembali bas ke Kampong Cham. Nasib baik kerosakan yang rupanya menjadi kebiasaan bagi bas-bas di sana dapat diperbaiki walaupun memakan masa lalu kami pun sampai jam 1.18 petang.


Nampaknya hajat kami mahu melawat kuil Preah Vihear harus ditunda ke suatu waktu yang lain. Sekurang-kurangnya kami lega dah sampai ke Kampong Cham yang memang termasuk dalam destinasi yang dirancang, cuma asalnya ia mahu dijejaki selepas kuil Preah Vihear. Penat wooo 5 jam dalam bas. Kami pun mendapatkan tuk tuk ke hotel. Dalam perjalanan itu dapatlah melihat keadaan Kampong Cham. Lihat artikel Early look at Kampong Cham di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas check in di hotel lalu berehat sebentar kami naik tuk tuk yang sama lalu dibawa ke kawasan pasar.


Di situ ada satu tempat makanan halal. Alhamdulillah, kami pun layan makan tengah hari.


Selepas itu kami meminta agar dibawa ke satu kuil lama bersejarah.


Ia didirikan lebih 800 tahun lalu. Lihat artikel Kuil (Temple of) Nokor Bachey, Kampong Cham di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
.

Seterusnya kami meminta dibawa melihat masjid-masjid lama berdekatan. Pemandu tuk tuk kami yang beragama Buddha pun membawa menaiki jambatan menyeberangi Sungai Mekong.


Di Kampong Cham inilah kami pertama kali kami melihat sungai sepanjang 4,350 km ini, sungai ke-12 terpanjang di dunia. Walaupun kedudukan belah sini adalah lebih 400 km jauh dari kuala di selatan Vietnam lebarnya mencapai 1 hingga 1.5 km. Lihat Mekong river from the bridge at Kampong Cham.


Kampung-kampung Melayu Islam banyak terdapat di seberang.


Di sini kami sempat menziarahi dua buah masjid termasuk satu yang katanya didirikan di atas tapak masjid lama yang sudah wujud lebih 400 tahun lalu. Lihat Masjid (Mosque of) al-Ikhsan, Kampong Cham diikuti Masjid (Mosque of) ar-Rahmah, Kampong Cham.


Saya sempat melihat pemandangan sungai juga bandar daripada tebing di seberang dan dari atas sebuah menara berdekatan. Selepas itu kami kembali menghala ke bandar. Lihat Mekong river from a part across Kampong Cham town diikuti Views from the French tower at Kampong Cham.


Kami dibawa ke masjid utama yang terletak di selatan bandar Kampong Cham. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Kampong Cham


Selepas itu kami berehat minum air kelapa dan tebu sambil melihat pemandangan daripada tepian Sungai Mekong. Lihat Mekong river from southern side of Kampong Cham town. Sekarang biar dikongsikan satu cerita tentang asal usul orang Melayu atau lebih tepat, orang Melayu Cham yang menjadi penduduk utama Islam dalam kerajaan atau negara Cambodia/Kemboja yang dikuasai orang bangsa Khmer yang majoritinya beragama Buddha.


Adapun orang Melayu di Cambodia rata-rata adalah orang Melayu Cham yang berasal daripada kerajaan Champa satu kerajaan lama Melayu yang kini telah 'ditelan' menjadi separuh daripada negara Vietnam. Pemandu tuk tuk memberitahu Kampong Cham adalah tempat pertama orang Melayu Cham mendarat menggunakan laluan Sungai Mekong setelah kerajaan Cham pertama kali mengalami kekalahan besar oleh puak Dai Viet yang berasal daripada selatan China iaitu di sekitar Hanoi sekarang. Dia memberitahu ini berlaku lebih 500 tahun lalu. Memang sejarah ada menyebut kerajaan Champa mula jatuh ke tangan Dai Viet pada tahun 1471 Masihi. Ketika itu kerajaan utama Champa di bahagian tengah Vietnam hancur digasak tentera Dait Viet. Yang tinggal kerajaan-kerajaan bawahannya di selatan yang kemudian ditakluki sedikit-sedikit demi sedikit sehingga hilang langsung nama Champa dalam peta-peta rasmi selepas pertengahan abad ke-19.

Menariknya menurut pemandu tuk tuk kejatuhan Champa berlaku akibat perempuan. Pihak Dai Viet sudah lama mengidam mahu menakluki Champa tetapi tidak berjaya disebabkan pertahanannya yang kuat. Secara simboliknya pertahanan ini terkait dengan pokok-pokok bunga chempaka yang ditanam mengelilingi istana raja. Dai Viet pun memulakan muslihat dengan menghantar seorang perempuan cantik menghampiri istana Champa.

Kehadiran ini pada mulanya disedari oleh panglima-panglima besar Champa. Lalu mereka mula bergaduh disebabkan berebut seorang perempuan. Mendengarkan kekecohan tersebut raja memerintahkan agar perempuan itu dibawa masuk ke dalam istana. Baginda ingin melihat wanita bagaimanakah ini sehingga dapat membuat panglima-panglimanya berbalah.

Ternyata perempuan itu memang sangat cantik sehingga raja pun jatuh hati. Raja pun mengajaknya untuk berkahwin lalu diberikan syarat - Raja mesti membenarkan ahli keluarga dan saudara mara perempuan itu masuk menetap menjadi sebahagian daripada warga istana. Raja pun bersetuju lalu ahli keluarga dan saudara mara dibawa masuk dalam jumlah 50 orang gitu dari kalangan puak Dai Viet. Tidak lama kemudian mereka mendapat kedudukan-kedudukan istimewa dalam istana.

Setelah melahirkan beberapa orang anak baru muslihat seterusnya dilaksanakan. Perempuan cantik yang sudah menjadi permaisuri Champa itu pura-pura sakit. Ada pula tabib bersekongkol menyatakan bahawa beliau sakit kerana terhidup bau bunga chempaka yang mengelilingi pagar istana. Raja dinasihatkan agar memotong semua pokok jika mahu permaisuri pulih. Pada mulanya baginda enggan. Namun lama-lama termakan 'nasihat' tabib dan pujuk rayu isteri lalu habis diratakan semua pokok.

Hal ini rupa-rupanya menimbulkan kemarahan para pembesar baginda termasuk yang beragama Islam. Akibatnya raja dibunuh mereka (ini kata pemandu tuk tuk le) lalu permaisuri naik memangku takhta. Selepas itulah permaisuri bertindak untuk fasa muslihat seterusnya. Pembesar-pembesar raja pula dibunuhnya sementara saudara mara permaisuri daripada kaum Dai Viet mencengkam kuasa. Dalam keadaan itu tentera Dai Viet dari luar masuk lalu dapat mengalahkan Champa dengan mudah, Mereka membunuh segala orang Melayu yang sudah ramai Islam. Sebahagian dapat lari lalu mudik Sungai Mekong dengan beberapa kapal besar.

Penempatan pertama mereka di bumi Kemboja didirikan di Kampong Cham. Daripada situlah mereka masuk ke bahagian-bahagian lain negara. Rasanya cukuplah berkongsi cerita ya. Nak lebih lanjut sila tanya kepada orang lain.



Majlis tahlil ad hoc keluarga Laksamana Raja Mahkota di masjid lama Batak Rabit.

$
0
0
Sedar tak sedar kurang 3 hari lagi kita akan memasuki tahun 2019. Perkongsian cerita perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018 baru masuk 3 edisi sahaja sedangkan banyak lagi perkara telah berlaku sejak itu. Sekadar memecahkan dahulu kebuntuan sejak cerita hari ke-3 perjalanan tersebut dipersembahkan 10 hari lalu biar dikongsikan satu cerita. Ia sebenarnya daripada seminggu lalu. Jadilah dalam keadaan saya sibuk dengan perkara-perkara lain selain agak malas menukilkan cerita-cerita baru.



Petang Sabtu 22 Disember 2018, sejurus sebelum masuk waktu Zuhur saya bergegas ke masjid lama Batak Rabit di Teluk Intan, Perak.


Masjid yang sudah berumur lebih 150 tahun ini didirikan di atas tanah wakaf keluarga. Di sebelahnya terletak satu kawasan pemakaman atau tanah perkuburan yang dikhaskan untuk ahli keluarga sahaja.


Ahli keluarga yang dimaksudkan adalah daripada nasab keturunan Laksamana Raja Mahkota, satu jawatan pembesar istana yang dipegang secara turun temurun dalam keluarga kami.


Berdasarkan tradisi lama seluruh hilir Perak bermula dari selatan Kampung Gajah dekat Sungai Terus sana membawa ke perairan Kuala Sungai Perak meliputi Bagan Dato' hingga ke Manjong adalah pegangan Laksamana. Batak Rabit adalah pegangan khas bagi satu cabang keluarga...


Batak Rabit pernah menjadi pusat pentadbiran Sultan Perak yang ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II (bertakhta 1874-1875). Secara rasminya baginda masih pemegang takhta sehingga tahun 1887 tetapi ketika itu berada dalam buangan di Pulau Seychelles akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.


Turut dibuang sama adalah seorang moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Anakanda beliau, datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Besar Muhammad Arshad berkahwin dengan moyang perempuan saya yang dikenali sebagai Hajah Halijah.


Dikatakan Hajah Halijah ini sangat cantik sehingga anak-anak raja sanggup berperang untuk merebutnya. Ayahnya dikenali sebagai Haji Musa, orang kaya yang memiliki tanah ladang luas saujana mata memandang di sekitar Batak Rabit ini.
\

Identiti mereka diceritakan sebegitu sahaja dalam keluarga kami. Namun Hajah Halijah dikatakan memiliki dayang-dayang dan rumah besar keluarga kami (satu lama diruntuhkan) ada singgahsana raja di dalamnya.


Tanah wakaf yang mengandungi masjid lama ini sebenarnya diwakafkan oleh Hajah Halijah lalu diamanahkan kepada anak cucunya. Oh, gambar-gambar ini menunjukkan satu majlis tahlil yang diadakan secara ad hoc pada petang Sabtu itu untuk seluruh keluarga besar Laksamana Raja Mahkota.


Adapun tarikh 22 Disember ini telah dicadangkan sejak bulan Syawal lalu. Tetapi kemudian muncul pelbagai hal menyebabkan ia harus ditunda kepada suatu tarikh yang belum diputuskan lagi.


Beberapa orang saudara mara membuat keputusan untuk meneruskan secara ad hoc. Siapa dapat datang datang le...


Selepas majlis tahlil diikuti ta'aruf iaitu kenal mengenal antara keluarga kami pun menziarahi kawasan pemakaman keluarga.


Di sini turut terletak makam pemegang pertama jawatan Laksamana Raja Mahkota. Dikatakan daripada kerabat diraja Bugis, dipercayai ada kena mengena juga dengan kerabat diraja Aceh, beliau yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor sebenarnya mangkat dan dimakamkan di Kuala Bidor lebih 5 km dari sini tetapi sudah dialih jasad ke Batak Rabit pada tahun 1950an.





Turut diziarahi makam saudara mara lain. Datuk saya, ayah kepada ayah saya turut dimakamkan di sini.





Kami juga menziarahi makam Sultan ke-22 Perak , Sultan Abdullah Muhammad Shah I (bertakhta 1851-1857) sambil bertandang ke rumah saudara betul-betul di sebelah makam. Untuk makluman makam ini dan kawasan sekitarnya terletak dalam tanah yang asalnya milik saudara mara kami belaka.


Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam

$
0
0
Salam 31 Disember. Tinggal beberapa jam lagi tahun 2018 akan tamat lalu tahun baru 2019 pun menjelang. Sebelum itu berlaku biarlah kita masuk ke hari ke-4 perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November-3 Disember lalu. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham.


Pagi Ahad 25 November 2018. Kami keluar daripada perkarangan hotel tempat kami menginap untuk melihat lagi bandar Kampong Cham dengan lebih dekat.


Menariknya hotel itu menghadap Sungai Mekong. Kami pun menikmati pemandangan tepian sungai. Lihat artikel Mekong river from our hotel at Kampong Cham blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Kebetulan pemandu tuk tuk yang membawa kami pusing Kampong Cham hari sebelumnya ada di hadapan. Tanpa dipinta beliau menawarkan untuk membawa kami ke warung halal terdekat secara percuma.


Nak jalan kaki pun bukan jauh sangat, setakat 300-400 meter iaitu di warung dalam kawasan pasar tempat kami makan tengah hari Sabtu. Tapi bila dah orang tawar nak bawa secara percuma kami naik ajelah ke situ.


Lagipun dia sebenarnya sudah mendapat bayaran yang boleh tahan lumayan apabila membawa kami berjalan-jalan waktu itu. Dengan membawa kami ke tempat makan secara percuma dia juga boleh mendapat upah untuk mengambil kami apabila keluar dari hotel tengah hari Ahad. 


Sementara itu kam berjalan kaki pusing Kampong Cham. Di tengah perjalanan sejauh 2.5 km itu hingga ke pinggir selatan bandar sebelum kembali ke hotel sempat membeli serbuk kopi tempatan. Lihat Walking around Kampong Cham town.


Di sebelah hotel kami terdapat sebuah hotel lain yang saya lihat adalah bangunan tertinggi di Kampong Cham.


Saya pun mengambil peluang untuk melihat pemandangan sekeliling daripada atas sana. Lihat Views from the tallest building at Kampong Cham. Terasa pemandangan dan keadaan seperti ada persamaan dengan tempat kelahiran saya di Muar. Lihat artikel Views from on top of Muar town... yang ditulis hampir 11 tahun lalu.


Kami check out hotel sekitar jam 11.40 lalu pemandu tuk tuk menghantar ke perhentian bas.


Destinasi kam seterusnya adalah ibu negara Cambodia iaitu Phnom Penh. Kami mahu ke sana dengan bas jam 12.


Sekitar jam 12.18 gitu baru bas sampai.


Masuk jam 12.22 baru ia bergerak.


Lebih 2 jam setengah kemudian bas pun memasuki kawasan pinggiran luar bandar raya Phnom Penh.


Ternyata ia sebuah bandar raya yang besar. Dekat 20 minit kemudian baru hendak memasuki kawasan pusat bandar raya iaitu apabila mengambil jambatan utama menyeberangi Sungai Tonle Sap...







Saya lihat bandar raya Phnom Penh ini boleh tahan hebat. Lihat First impression of Phnom Penh.
.

Namun ia bukanlah destinasi utama kami untuk hari itu. Kami mahu ke tempat lain lebih jauh ke arah selatan dan tenggara menghampiri sempadan selatan Vietnam dengan menaiki kereta api dari Phnom Penh...














Kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan nasihat kepada raja-raja serta para pembesar dan menteri

$
0
0
Salam malam Jumaat. Sudah 3 hari kita masuk tahun baru 2019. Rasanya tak salah baru kini hendak mengucapkan selamat tahun baru. Biar dipersembahkan artikel pertama untuk tahun baru...


Merujuk kepada artikel Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu dan Rujukan daripada Asia Barat dan Timur Tengah hampir sebulan lalu. Adapun pada majlis yang diceritakan dalam artikel iaitu Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam di UiTM 5 Disember 2018 saya telah membeli senaskah buku atau kitab bertajuk At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Adapun kitab ini asalnya ditulis tangan oleh Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad. Beliau adalah setiausaha sulit kepada Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan ke-26 Kedah (memerintah 1882-1943).



Buku ditulis atas titah istana untuk menjadi panduan tentang sejarah Kesultanan Kedah sejak zaman bahari hingga ke zaman penulis awal abad ke-20. Naskah asal atau manuskrip tulisan Jawi dibuat setelah menerima titah istana tahun 1927. Ia kemudian dicetak dan diterbitkan dalam jumlah yang banyak oleh Jelutung Press di Pulau Pinang tahun 1928. Setelah beberapa lama naskah asal diserahkan oleh waris penulis untuk simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1968 DBP menerbitkan transliterasi tulisan rumi. Lalu pihak Jelutung Press menyusul dengan membuat ulang cetak naskah jawi, dimasukkan beberapa fakta baru berserta halaman tambahan sesuai dengan zaman.


Empat versi kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini - manuskrip asal jawi, buku bercetak jawi, buku transliterasi rumi dan ulang cetak jawi dengan tambahan - telah digunakan untuk menerbitkan versi baru tahun 2018. Itulah yang kelihatan dalam gambar paling atas. Penyelenggaranya merangkap penyunting yang membuat tranliterasi baru sambil membandingkan semua naskah awal lalu membuat saringan juga nota-nota kaki berkenaan memakai nama Dr Ibrahim Bakar Langkawi. Penerbitnya adalah Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).


Kombinasi tenaga kerja dan intelektual antara penyelenggara dengan penerbit menghasilkan versi baru yang pada saya amat menarik dan banyak maklumat serta nilai tambah. Jangkauan kekuasaan Kedah dikatakan  pernah memanjang jauh ke utara sehingga masuk ke sempadan Burma/Myanmar sekarang. Negeri-negeri/wilayah/jajahan berkenaan yang kini banyak termasuk di dalam sempadan moden negara Thailand ditunjukkan dalam peta.


Hasil penemuan-penemuan terbaru yang dibuat persatuan juga penyelenggara dimasukkan sekali ke dalam buku. Lokasi kota-kota atau tapak pusat pemerintahan kerajaan Kedah dicari selagi boleh dapat lalu ditunjukkan. Adapun kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini sudah lama saya dengar ceritanya kerana dikatakan di dalamnya terhimpun sejarah panjang Kedah yang paling menepati kehendak akademik, tidak seperti satu lagi rujukan popular ramai iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang mengandungi begitu banyak unsur mitos, lagenda dan dongeng yang tidak masuk akal.


Jika hikayat membuka dengan kisah burung gergasi garuda mengisytiharkan kepada Nabi Sulaiman  AS mahu menghalang anak raja Rom daripada berkahwin dengan puteri maharaja Cina tanpa menyatakan apa-apa tarikh sepanjang hikayat itu, kitab At-Tarikh lebih memiliki nilai sejarah atau historicity apabila setiap peristiwa penting diberikan tarikh Hijriah. Permulaan asal mula Kedah sebagai wilayah bernama Kalaha meliputi muara empat sungai besar daripada persekitaran Sungai Petani/Seberang Prai sekarang membawa ke Setul dalam selatan Thailand diberikan tarikh 390 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu pada abad ke-2 Masihi.


Namun Kedah baru menerima seorang raja atau maharaja beberapa waktu selepas baginda Rasullah SAW lahir pada tahun bersamaan 571 Masihi, sebelum itu ia cuma ada pembesar sahaja. Diceritakan asal usul raja dari Iran dan bagaimana pemerintahan baginda membawa kepada anak cucunya. Masuk keturunan dan raja ke-9 baru memeluk Islam iaitu pada tahun yang bersamaan 1136 lalu jadilah ia negeri bernama Kedah Darul Aman.



Kembali kepada hal pembacaan At-Tarikh. Walaupun sudah lama mendengar tentang kitab saya tidak pernah menemui apalagi membaca apa-apa naskah. Yang ada cuma sedutan-sedutan terpilih dalam penulisan-penulisan lain. Maka itu memang terasa senang hati apabila dapat menemui lalu membeli versi baru tahun 2018 itu. Namun selepas hampir sebulan memilikinya baru pagi semalam jam 10 tergerak untuk mula membaca. Itulah yang membuat saya mengambil gambar yang kelihatan. Dalam artikel ini ia telah diletakkan paling atas. 

Sebetulnya gambar ini mengiringi satu status update saya di Facebook. Bunyinya begini :-


DAH BIASA MULTITASKING...

Salam. Di celah proses suntingan akhir buku tentang pengembaraan solo hitchhike pusing Eropah tahun 1995 dan beberapa hal lain termasuk persediaan untuk tesis pasca-siswazah timbul gerak untuk mula menelaah buku ini pulak...


Status ditulis sebegitu rupa kerana sememangnya saya sedang kesibukan mengendalikan beberapa perkara termasuk projek buku baru. Namun bila sudah dimulakan membaca saya berusaha untuk menghadam sebanyak mungkin isi dalam masa sesuntuk mungkin.  Selepas Maghrib malam semalam masuklah ke muka surat 137 (buku ada 360 muka surat kesemuanya) . Saya begitu tertarik dengan apa yang tertera pada muka surat tersebut lalu mengambil gambar untuk dikongsikan di FB. Begini teksnya :-


RAJA-RAJA DILARANG BERNIAGA

Hmm. Menarik nasihat Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani (ayahanda kepada Sheikh Abdussomad al-Falimbani) kepada anak muridnya, Sultan Muhammad Jiwa yang memerintah Kedah tahun 1710-1778. Sesungguhnya raja-raja dan kaum kerabat yang dekat dengan takhta malah para pembesar utama itu tidak patut dan dilarang berniaga. Mereka sudah ada sumber pendapatan yang cukup lumayan menurut struktur tradisional pemerintahan dan istana. Kalau masuk berniaga juga akan tunggang terbaliklah pendapatan kerajaan kerana mengganggu peluang perniagaan rakyat lainnya. Beginilah pegangan saya sejak dahulu lagi.



Maklum balas memberangsangkan menyebabkan saya menyatakan akan berkongsi 13 lagi nasihat untuk raja dan para pembesar/menteri. Saya merasakan ia sangat relevan untuk menangani keadaan sosio-politik Malaysia kini yang kelihatan begitu mengancam kepentingan-kepentingan Melayu dan Islam. Seorang pembaca menzahirkan kerisauan takut status saya itu digunakan oleh golongan anti-monarki atau republikan untuk menjatuhkan raja-raja. Saya jawab bahawa saya amat menyayangi institusi beraja kerana melihat ia sebagai jambatan untuk menerbitkan sistem khilafah berdasarkan manhaj kenabian akhir zaman. Namun yang dirisaukan adalah individu-individu terutama dalam istana yang membawa rosak kepada nama raja-raja itu sendiri. Ini harus ditangani kalau betul-betul mahu Melayu dan Islam cemerlang.


Untuk menyatakan keprihatinan tersebut saya pun menambah perenggan berikut pada status :-


Nota tambahan : Harus ditegaskan ini semua adalah nasihat buat raja, bukan mahu menentang apa lagi menjatuhkan atau menghapuskan raja-raja Kalau tidak mahu dengar harus ada proses untuk memakzulkan seorang raja lalu digantikan dengan kerabat yang lebih afdhal lagi alim dan bertanggungjawab demi kemaslahatan ummah.


Harapan saya agar perkara ini diambil serius. Kalau tidak ditakuti institusi beraja akan jatuh dan negara semakin tonggang langgang.


Adapun saya memberitahu akan berkongsikan 13 perkara nasihat yang dibuat oleh Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani terhadap Sultan Muhammad Jiwa. Lihatlah pada tiga gambar atas. Buka pada saiz asal. Diceritakan kenapa boleh timbul nasihat akibat sultan bercadang untuk berniaga. Lalu Sheikh Abdul Jalil memberikan sebab musabab kenapa ia tidak patut dilakukan oleh raja-raja juga para pembesar/menteri. Ditambahlah 13 perkara yang pada saya memang harus diaplikasikan terhadap Malaysia kini...



Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar

$
0
0
Assalamualaikum wahai para pembaca sekalian. Hari ini 5 Januari 2019 sesuailah dikongsikan cerita hari ke-5 perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November-3 Disember 2018.  Ada sebab lebih kuat yang melibatkan hari lahir dan ini akan diceritkan kemudian. Bersambung daripada Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam.



Pagi Isnin 26 November 2018. Kelihatan satu pemandangan daripada tempat kami menginap.


Ia adalah sebuah rumah penginapan merangkap hotel kecil.


Letaknya di bahagian lama pekan kecil Takeo,  Dari sini ada jalanraya menuju 50 km ke sempadan Vietnam di selatan.



Namun ada bahagian sempadan yang terletak lebih dekat tetapi tidak boleh dicapai melalui jalan darat.


Dari Takeo ini lebih mudah mengambil jalan air. Terdapat beberapa terusan purba yang menyambung tempat-tempat terutama di lembangan Sungai Mekong membawa ke delta dan muara yang kini terletak dalam sempadan moden negara Vietnam.


Terusan-terusan ini dibina semasa empayar atau kerajaan lama Funan berdiri abad pertama sehingga ke-7 Masihi.


Selepas meninjau-ninjau persekitaran lalu terjumpa sebuah warung makanan halal baru saya mengajak anak-anak dan isteri keluar bersarapan.


Adapun seluruh negara Cambodia juga sebahagian daripada Vietnam pernah terletak di dalam empayar Funan. Dari Takeo kami mahu pergi ke tapak ibu kota atau pusat kerajaan.


Kami dapat tahu lebih mudah ke sana dengan menaiki bot dari Takeo.


Bergeraklah kami ke tapak pusat tersebut lebih 20 km perjalanan bot.


Melihat pada terusan begitu panjang dengan kelebaran 60 meter saya merasa kagum. Bagaimana mereka dapat membina sistem tersebut hampir 2,000 tahun yang lampau? Lihat artikel Boat ride from Takeo to Phnom Da di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Setelah beberapa lama masuk kami ke satu terusan kecil lalu sampai ke satu perhentian.


Kami mahu ke satu bukit yang dipanggil Phnom Da, satu tapak penting tinggalan empayar Funan.


Kami anak beranak pun mendaki bukit. Lihat Going up the hill of Phnom Da.


Di puncak bukit ada kuil lama yang dibina pada abad ke-12 Masihi. Ia sebenarnya berdiri atas kuil lama yang sudah wujud lebih 600 tahun awal. Malah di tapak sama pernah wujud kuil zaman awal Funan. Lihat artikel Kuil (Temple of) Phnom Da di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya merasa amat seronok kerana sudah sampai ke persekitaran tapak pusat empayar Funan.


Lebih seronok lagi kerana ini berlaku pada tarikh 26 November yang merupakan hari kelahiran saya, buat yang ke-48. Saya pun mengambil peluang menikmati pemandangan dari puncak bukit bersejarah ini. Lihat Views from on top of Phnom Da.


Dari Phnom Da tinggal 10 km sahaja melalui sistem terusan lama untuk masuk ke Vietnam. 


Tetapi kami bukan mahu ke negara tersebut. Sebaliknya kami bergerak 3.5 km ke arah bertentangan iaitu ke utara untuk sampai ke pekan Angkor Borei.


Pekan ini terletak di dalam kawasan kota lama yang dipercayai adalah ibu kota terawal atau paling tidak pun antara paling awal bagi empayar Funan.


Kami singgah ke muzium yang menempatkan artifak-artifak berkenaan. Lihat Muzium (Museum of) Angkor Borei..


Di dalamnya terdapat satu peta menunjukkan jangkauan ibu kota purba yang dahulu pernah bertembok meliputi seluruh Angkor Borei. Daripada kajian-kajian sebegini yang dipelopori ahli-ahli arkeologi dari Peranchis (Cambodia pernah menjadi jajahan takluk Peranchis abad 19-20 Masihi) dapat ditelusuri sejarah dan keberadaan Funan zaman berzaman.


Ada yang percaya kerabat-kerabat diraja Funanlah yang kemudian mendirikan empayar Srivijaya. Mereka juga yang membentuk wangsa Sailendra yang memerintah Pulau Jawa lalu mendirikan Candi Borobudur yang terkenal itu abad ke-9 Masihi. Rujuk artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja...


Ini berlaku selepas Funan jatuh abad ke-7 akibat serangan daripada satu wilayah bawahan bernama Chenla. Serangan sebenarnya dipelopori oleh seorang kerabat diraja Funan (dipercayai berdarah Melayu tulen) yang berkahwin dengan orang Khmer, satu bangsa yang asalnya mendiami bukit-bukit di IndoChina. Lalu berdirilah kerajaan Chenla yang dikenali sebagai kerajaan bangsa Khmer. Chenla kemudian berpecah dua, satu daripadanya muncul menjadi kerajaan Angkor yang mendirikan Angkor Wat abad ke-12 Masihi. Lihat Jejak empayar Funan dankerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.


Setelah beberapa lama bahagian timur Angkor jatuh kepada kerajaan Ayuthia yang berpusat di negara Thailand sekarang. Campur tangan Peranchis membawa kepada pembentukan negara moden Kampuchea, kemudian dikenali sebagai Cambodia abad ke-20. Di sini saya tidak ingin bercerita panjang lebar tentang kerajaan-kerajaan tersebut. Google sahaja nama-nama berkenaan anda boleh jumpa banyak cerita panjang lebar daripada pelbagai pihak walaupun ramai antara mereka tidak pernah pun menjejakkan kaki ke mana-mana tapak sejarah yang diceritakan.


Saya tiada masalah dengan orang yang bercerita panjang lebar tetapi tidak pernah sampai. Yang tidak suka adalah mengarang cerita ala-ala kreatif untuk memberikan bayangan seolah-olah pernah sampai merata walhal tidak. Lalu ramai tertipu dengan karangan kreatif sebegitu. Walhal cerita-ceritanya semua dicedok daripada kajian orang lain...


Apapun, selesai urusan di persekitaran pusat empayar Funan kami kembali ke Takeo lalu menuju ke stesyen kereta api. Lihat Takeo train station.


Kami sempat sampai ke stesyen sebelum kereta api ke Phnom Penh dijadualkan bergerak jam 12 tengah hari. Tengok-tengok jam 2 baru ia muncul. Kemudian kereta api bergerak begitu perlahan.  Dekat jam 5.30 petang baru sampai walhal jarak Takeo ke Phnom Penh  cuma sekitar 70-80 km iaitu seperti Seremban ke Kuala Lumpur.


Selesai hal di pusat empayar Funan baru ada masa untuk menikmati ibu kota negara Cambodia ini. Sudah disebut dalam artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam bahawa hari sebelumnya kami sudah sampai dari arah Kampong Cham. Tetapi tiada masa untuk menikmatinya kerana mahu berkejar lebih jauh ke arah selatan Vietnam.








Dah malam baru sampai ke penginapan kami di satu kawasan yang biasa dihurungi pelancong Barat.


Alhamdulillah bilik cukup besar, siap ada 3 katil queen terlebih cukup untuk kami anak beranak dua orang dewasa dua kanak-kanak.


Menariknya adalah gambar penari perempuan pada dinding bilik..Motif-motif serupa boleh dilihat dengan banyak di kuil-kuil lama termasuk di Angkor Wat. Di Phnom Penh baru saya faham kena ia terpapar di banyak tempat. Tapi itu cerita daripada siang keesokannya hari Selasa...


Oh. Biar diberitahu. Jika cerita dalam artikel ini berlaku ketika saya menyambut hari lahir yang ke-48 tarikh artikel ini ditulis iaitu 5 Januari pula adalah tarikh lahir isteri. Ia adalah ulangtahun beliau yang ke-44. Semoga kami dapat terus bersama mengembara merata meneroka pelbagai perkara sehingga ke akhir hayat.. Untuk rekod saya ini adalah artikel ke-1,727 di blogspot ini. :]



Islam dan komunitinya di Kampuchea zaman ini - Keadaan sekarang dan cabaran masa hadapan

$
0
0
Keluar lagi daripada cerita pengembaraan di Cambodia (dan Thailand). Tetapi masih sangat berkait dengan Cambodia ataupun Kampuchea ataupun Kemboja...


Semenjak seminggu dua lepas satu majlis ilmu dengan tajuk yang kelihatan telah diwar-warkan mahu diadakan di ISTAC pada pagi Selasa 8 Januari 2019.


Pagi tadi sampailah masanya untuk ia berlangsung. Disebabkan itu saya pun ke ISTAC, kali pertama untuk tahun 2019 yang baru sahaja masuk 8 hari.


Adapun majlis ini asalnya dirancang mahu diadakan pada pagi Khamis 6 Disember 2018 iaitu 3 hari selepas saya dan keluarga kembali daripada perjalanan di Cambodia dan Thailand. Tetapi atas sebab-sebab tertentu ia ditunda kepada satu tarikh yang tidak diberitahu. Baru seminggu dua lepas diwar-warkan tarikh baru.


Majlis bermula dengan Sheikhul Kulliyah ISTAC, Profesor Ulung  Datuk Dr. Osman Bakar memberi sepatah dua kata juga pengenalan terhadap pembentang, Profesor Madya Dr. Mohamad Zain Musa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah warga keturunan Melayu-Champa dari Cambodia yang sudah lama bermastautin di Malaysia.


Sekitar jam 10.15 pagi Mohamad Zain pun memulakan pembentangan. Ia juga keseluruhan majlis dibuat dalam bahasa Inggeris.


Tajuk pembentangan "Islam and It Community in Contemporaray Kampuchea - Present Conditions and Future Challenges' boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan Komunitinya di Kampuchea Zaman Ini - Keadaan Sekarang dan Cabaran Masa Hadapan". Ia dibuka dengan sejarah kedatangan orang Melayu Cham ke Cambodia.


Umum tahu bahawa orang Melayu adalah penduduk asal satu kerajaan lama bernama Champa yang meliputi pesisir timur pantai Indo-China menghadap ke Laut Cina Selatan. Namun ia hilang daripada peta dunia akibat ditelan oleh puak Dai Viet yang berasal dari selatan Cina. Serangan berlaku dalam beberapa peringkat dengan tahun 1471 Masihi tercatat sebagai permulaan jatuhnya Champa ke tangan Dai Viet lalu orang Melayu Champa dipaksa bergerak lebih ke selatan. Masuk pertengahan abad ke-19 ia ditelan sepenuhnya untuk membentuk negara moden Vietnam. Orang Melayu Cham terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air mereka, ada yang ke Malaysia ada yang ke Cambodia yang terletak lebih berdekatan lalu turut dikenali sebagai orang Khmer Islam.


Penghijrahan ke Cambodia telah bermula sejak kejatuhan pertama Champa tahun 1471. Mereka diterima baik oleh kerajaan Khmer (sebelum bernama Kampuchea mahupun Kemboja). Masuk tahun 1975 berlakulah peristiwa kekejaman oleh Pol Pot yang menyaksikan berjuta penduduk Cambodia termasuk orang Islam dibunuh atau mati akibat kebuluran dan penyakit yang muncul berleluasa zaman itu. Hal ini juga mengubah keadaan sosio-politik masyarakat.


Muhammad Zain memberikan statistik yang diperolehi daripada pihak-pihak tertentu termasuk jabatan mufti. Menarik melihat nombor-nombor yang tertera. Kata beliau 3 juta orang mati disebabkan kekejaman Pol Pot dan ini harus menyebabkan penduduk selepas zaman itu (1975-1979) tinggal kurang 4 juta. Namun ia boleh melonjak naik menjadi 12.1 juta pula pada tahun 2000...


Secara rata masyarakat Cambodia terdiri daripada orang bangsa Khmer yang beragama Buddha. Kalau ada yang beragama Islam itu adalah yang bertukar agama kemudian, bukan daripada keturunan sejak zaman berzaman. Yang memang sudah Islam sejak sekian lama iaitu sejak paling lewat pun abad ke-15 hingga ke-16 adalah orang Melayu dari Champa. Maka itu boleh dikatakan rata-rata orang Islam di Cambodia adalah Melayu Cham. Sedikit sahaja terdapat bangsa lain Islam misalnya orang Pakistan yang datang berniaga.


Komuniti Islam duduk di kampung-kampung yang ketuai seorang Imam. Daerah-daerah yang setiap satunya mengandungi beberapa buah kampung dipimpin oleh Kadi sementara seluruhnya berada di bawah penjagaan seorang Mufti yang dilantik oleh raja...





Seterusnya Muhammad Zain bercakap tentang perkembangan pendidikan dan sekolah untuk orang Islam di Cambodia.





Walaupun sudah berlaku banyak perkembangan sejak lebih 20 tahun kebelakangan hasil bantuan umat Islam dari seluruh dunia terutama dari Malaysia masih banyak perlu dilakukan untuk memajukan orang Melayu Cham atau Khmer Islam di Cambodia.





Mereka sedar pendidikan sangat penting untuk memajukan diri. Tetapi kemiskinan menjadi halangan untuk bergerak ke hadapan.


Banyak perkara sedang dirancang untuk memajukan komuniti Islam di Cambodia.








Walaupun kepimpinan Cambodia di bawah Perdana Menteri Hun Sen kelihatan sangat menyokong umat Islam namun ada cabaran-cabaran lain menghalang kemajuan. Hal ini dibincangkan panjang lebar dalam sesi soal jawab di mana sejumlah hadirin memang biasa ke sana untuk membuat sumbangan mendirikan masjid juga sekolah. Kelihatan cabaran utama adalah daripada para pemimpin tempatan Islam sendiri seperti yang seperti takut status quo mereka terganggu oleh orang luar.

Terbetik dalam fikiran. Agaknya mereka lebih suka orang Melayu Cham tidak berpendidikan lalu tidak dapat maju ke hadapan. Mereka lebih suka komuniti Islam terus menerima zakat juga sumbangan lembu korban daripada luar, tidak mahu orang sendiri menjadi mampu membayar zakat juga membeli lembu untuk korban. Terasa ada segelintir yang memiliki kepentingan di belakang tabir. Biar orang Islam seperti dari Malaysia terus menghantar wang untuk membeli lembu-lembu yang diternak oleh segelintir itu. Kemudian agih-agihkanlahh daging korban Raya Haji. Biar terus menerus begitu. Nampaknya le...


Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kehebatan kota Phnom Penh

$
0
0
Setelah lebih sebulan perjalanan saya dan keluarga  ke Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018 hari ini penceritaan baru nak masuk separuh jalan. Dipersembahkan cerita keseluruhan hari ke-6 perjalanan. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar.


Pagi Selasa 27 November 2018. Dengan selesainya urusan di pusat empayar Funan pada hari sebelumnya barulah kami betul-betul boleh meneroka bandar raya Phnom Penh.


Dari tempat kami menginap di satu kawasan ramai pelancong Barat kami berjalan kaki ke arah timur.


Kami mahu mencari kedai makan halal. Alhamdulillah jumpa dengan bantuan Google Map dapat ditemui sebuah yang berdekatan...


 Tangki kena isi dahulu sebelum boleh meneroka lebih jauh lagi.



Adapun kedai makan halal milik orang Indonesia dengan pekerja berbangsa Khmer itu terletak tidak jauh dari tepian sungai.


Kami pun duduk bersantai anak beranak. 


Secara rata bandar raya Phnom Penh terletak di tepian Sungai Tonle Sap. Ada semenanjung kelihatan pada tengah gambar atas di mana airnya mengalir ke dalam Sungai Mekong yang lebih panjang dan lebih luas. Lihat artikel  First look at the waterfront in Phnom Penh - The Tonle Sap-Mekong meeting place blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Ada kuil kecil berdekatan tetapi sangat bermakna bagi penduduk seperti menandakan kedudukan pertemuan sungai dari tebing belah sini. Lihat artikel Kuil kecil (Small shrine of) Preah Ang Dorngkeu blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

.


Kami menyambung berjalan kaki ke arah selatan menyusuri sungai.


Bahagian seterusnya ini sudah masuk Sungai Mekong.


Selepas beberapa lama kami memotong ke arah barat. Saya mahu melihat satu monumen yang diabadikan kepada seorang raja Cambodia zaman moden yang pernah turun takhta untuk masuk ke dalam sistem demokrasi menjadi seorang perdana menteri, Lihat Patung raja (Statue of king) Norodom Sihanouk.


Selepas berjalan kaki dekat 3.5 km dari rumah penginapan baru kami mengambil tuk tuk.


Ini kerana isteri mahu melihat sebuah pasar yang agak terkenal di Phnom Penh.


Dari tempat kami mengambil tuk tuk tadi jaraknya hampir 4 km ke arah selatan kemudian ke barat.


Isteri mahu membeli kain-kain tempatan yang katanya agak murah di sini. Saya pula lebih tertarik dengan barangan lain. Lihat Art pieces at the 'Russian' market.


Di pasar yang dikenali sebagai Russian Market inilah baru terjawab satu persoalan yang sudah beberapa hari bermain dalam fikiran. Ia berkenaan ukiran-ukiran motif perempuan dengan bentuk badan dan gaya tubuh menggoda yang dilihat banyak terdapat pada kuil-kuil lama di Cambodia termasuk Angkor Wat. Setelah ditanya baru tahu inilah makhluk perempuan cantik yang dikenali sebagai Apsara. Ia seperti bidadari tetapi daripada alam kayangan atau alam seperti bunian. Dalam mitologi Hindu dan Buddha mereka boleh jadi isteri atau gundik kepada para dewa dan raja-raja. Mereka juga seringkali dihantar untuk menggoda para pendita, laki-laki yang sedang berusaha untuk membina kekuatan dalaman melalui meditasi dan pertapaan.


Watak Apsara dikekalkan sehingga zaman moden dalam bentuk tarian tradisional yang ada iras-iras Makyong tetapi lebih seksi daripada segi pemakaian dan lentik badan. Watak inilah yang dilihat pada gambar dalam bilik hotel atau rumah penginapan seperti ditunjukkan pada akhir artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar. Puas meninjau apa yang ada di pasar kami menuju kembali ke arah rumah penginapan. Kali ini terus naik tuk tuk kerana jaraknya menghampiri 7 km.


Kami minta diturunkan di muzium utama negara.


Di sini terdapat banyak artifak daripada sejarah Cambodia yang bermula dengan pengasasan kerajaan Funan hampir 2,000 tahun lalu. Pun begitu penumpuan diutamakan pada zaman empayar Khmer atau kerajaan Angkor yang berpusat di sekitar Angkor Wat abad ke-9 hingga ke-13 Masihi. Boleh rujuk artikel Jejak empayar Funan dankerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.


Pameran secara rata cuba meliputi seluruh sejarah Cambodia, Ia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian :-


1. Zaman sebelum Angkor

2. Zaman Angkor

3. Zaman selepas Angkor


Zaman sebelum Angkor termasuk tempoh masa ketika empayar lama Funan masih berdiri megah abad 1-6 Masihi kemudian dikuasai kerajaan Chenla 6-8 Masihi (dahulu sebahagian daripada jajahan takluk Funan). Zaman selepas Angkor bermula abad ke-14 Masihi apabila kerajaan Ayuthia dari belah barat (Thailand sekarang) mengalahkan Angkor lalu mengambil wilayah-wilayahnya. Saki baki keturunan istana Angkor bergerak ke arah timur menghampiri Phnom Penh  lalu mendirikan kerajaan yang bakal membentuk Cambodia sekarang. Lihat Muzium Kebangsaan (National Museum of) Cambodia.



Terpapar pada peta dalam muzium negeri-negeri Kedah dan Perak di Semenanjung Tanah Melayu ditanda begitu terserlah bersama kerajaan-kerajaan lama di Indo-China...



Terdapat juga peta jangkauan kekuasaan empayar Khmer/kerajaan Angkor pada abad ke-12 hingga ke-13 Masihi. Ketika ini empayar Srivijaya yang berpusat di pulau Sumatera telah beralih pemerintahan dan dinasti menjadi kerajaan Dharmasraya. Melihat peta ini baru saya faham kenapa Prasasti Grahi yang ditemui di Chaiya dekat Segenting Kra dengan tarikh bersamaan 1183 Masihi menunjukkan penguasaan Dharmasraya di sekitar itu namun ditulis dalam bahasa dan tulisan Khmer.


Seterusnya kami bersantai di hadapan kawasan istana. Lihat Istana diraja di (Royal palace at) Phnom Penh.


Melihat bangunan istana dan sekeliling terasa ia sama hebat dengan istana agung atau Grand Palace di Bangkok. Rujuk Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - 'Menghidu aroma' sejarah lama Bangkok sebelum kembali ke arah selatan yang dibuat berdasarkan perjalanan hujung tahun 2017. Terus terasa inilah yang kurang pada Malaysia terutama di Kuala Lumpur. Kita tidak ada bangunan besar DI TENGAH BANDAR yang dapat menonjolkan KETUANAN MELAYU seperti mana halnya ketuanan bangsa Thai jelas terpapar pada istana agung di Bangkok. 

Cambodia yang dianggap sebagai sebuah negara miskin pun memiliki istana yang terasa begitu hebat  dan megah di tengah bandar raya Phnom Penh melambangkan jatidiri bangsa utamanya iaitu bangsa Khmer. Selain itu bandar raya itu sendiri kelihatan hebat dengan jalinan bangunan-bangunan pencakar langit moden yang wujud secara harmoni dengan bangunan-bangunan lama sejak zaman penjajahan Peranchis abad ke-19 hingga ke-20 Masihi.


Sungguh saya terasa kagum dengan bandar raya Phnom Penh sehingga terasa ia lebih terserlah dan terasa kehebatan berbanding KL mahupun Bangkok, Jakarta dan Singapura.


Keadaan ini  dapat dilihat sepanjang kami meneroka yang mana ada 7 km juga kami berjalan kaki sehingga lewat malam, lebih 10 km dengan menaiki tuk tuk.


Saya lihat kehebatan Phnom Penh terserlah akibat kedudukannya di tepi sungai besar. Bandar raya ini telah melebar begitu luas sehingga ia meliputi kedua-dua tebing sungai Tonle Sap membawa ke muara yang masuk ke Sungai Mekong yang lebih besar. Lihat Phnom Penh from a riverside vantage point. Jalan-jalannya pun banyak yang besar lebar berserta tepian pejalan kaki yang juga lebar-lebar, kalau di negara Barat biasa dipanggil boulevard. Di KL saya lihat jalan sebegitu cuma ada di Dataran Merdeka, kalau di Putrajaya yang terserlah lagi panjang adalah jalan dari bulatan hadapan Masjid Putra dan bangunan Jabatan Perdana Menteri membawa ke Presint 4. Di Eropah jalan sebegini adalah kebiasaan di ibu-ibu kota kerana terkait dengan kebesaran kerajaan. Di Phnom Penh saya dapat lihat di beberapa tempat. 


Berjalan kaki menyusuri sungai melihat aktiviti sehingga lewat malam pula terasa bandar raya begitu hidup dan menyenangkan. Saya menilai bukan pada aktiviti kelab malam minum-minum di pab dan bar yang menjadi kesukaan pelancong dari Barat tetapi pada keadaan aman, pemandangan juga aktiviti santai orang ramai termasuk bermain bola dan bersenam di dataran tepian sungai. Sehingga terasa Phnom Penh boleh berdiri sama tinggi dengan kota-kota besar di Eropah seperti London, Edinburgh, Amsterdam, Frankfurt, Prague, Vienna, Zurich, Monte Carlo, Brussels, Paris. Saya bercakap bukan berdasarkan bacaan, melihat gambar atau mendengar cerita orang. Saya sudah sampai ke tempat-tempat tersebut dan banyak lagi bandar raya besar. Lihat Night time around the esplanade at Phnom Penh.


Kami sempat menaiki bot untuk melihat persekitaran Sungai Tonle Sap membawa sedikit ke tengah Sungai Mekong. Lihat Taking the Mekong river cruise at night
.

Apabila isteri dan anak-anak sudah penat berjalan kaki saya suruh mereka menunggu sebentar  di suatu tempat yang dirasakan selamat sementara saya melawat sebuah kuil lama sedikit lagi jarak ke utara. Kuil yang dibina atas bukit buatan pada tahun 1372 dan orang yang bertanggungjawab membinanya menjadi asal usul nama Phnom Penh. Untuk pengetahuan inilah pusatnya yang asal. Lihat artikel Wat Phnom diikuti Patung (Statue of) Yeay Penh
 .

Kenapa Merah Silu?

$
0
0
Artikel kali ini bermula sebagai satu status update yang mahu dikongsikan di Facebook. Masuk dua perenggan saya merasakan ia harus diluahkan panjang lebar kerana sudah lama terbuku dalam hati. Lalu lebih elok dipanjangkan sebagai artikel dalam blogspot. Kemudian boleh pautkan ke FB...


Mukasurat 2 dan 3 dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti". Perhatikan apa yang tertera, penggunaan nama Merah Silu juga sabda atau lebih tepat, wasiat yang dinyatakan Nabi Muhammad SAW seperti tertera dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai...


Mula-mula biar dicopy paste dua perenggan (belum siap perenggan kedua sebenarnya) dengan tajuk yang mahu diletakkan di FB tadi. Kemudian boleh disambung penulisan atau luahan berkenaan sehingga kalam mahu berhenti dengan sendirinya...


SEBAB SAYA MENGGUNAKAN NAMA MERAH SILU

Salam. Baru-baru ini ada orang menyatakan kenapa nama FB saya (sejak setahun dua lalu) Mohd Fahrulradzi sering muncul di wallnya? Dia pun meneliti profile saya. Setelah berapa lama baru tersedar bahawa saya lebih dikenali sebagai Merah Silu. Kata beliau baru terjawab pertanyaan kenapa posting-posting Merah Silu sudah lama tidak kelihatan di FB sedangkan dahulu beliau selalu membacanya. Rupa-rupanya saya dah tukar nama...

Jawab saya terpaksa tukar nama kerana ada gangguan. Saya disuruh oleh FB untuk menukar nama seperti dalam IC iaitu Mohd Fahrulradzi. Selepas itu saya dilarang daripada membuat apa-apa pertukaran baru atas alasan...


-----------------------


Berhenti sejenak. Sebetulnya ada rasa sebak saya menulis ini. Oleh kerana ada ruang di blogspot memungkinkan cara penulisan berselang-seli dengan gambar yang tidak boleh dibuat di FB, biar alasan yang mahu dikongsikan dalam perenggan kedua tidak siap itu dibuat dengan meletakkan snip gambar berkenaan...





OK. Inilah alasan yang diberikan FB - you can't update your name because you've previously confirmed your current name. Anda tidak boleh memperbaharui nama anda kerana pernah memuktamadkan nama anda sekarang. Bermakna saya tidak boleh lagi menukar kepada apa-apa nama selain nama sekarang (Mohd Fahrulradzi), baik Merah Silu atau apa-apa nama. Sedangkan saya sebenarnya dipaksa membuang nama Merah Silu lalu menggunakan nama seperti dalam IC atau kad pengenalan hampir penghujung tahun 2016 oleh FB atas alasan ada polisi baru - seseorang mesti menggunakan nama seperti tertera dalam dokumen rasmi jika mahu terus menggunakan FB.

Adapun hal orang baru menyedari Mohd Fahrulradzi adalah Merah Silu yang dahulu statusnya selalu kelihatan di FB timbul setelah berkongsi status  berkenaan situasi pemilihan Yang di-Pertuan Agong baru (dijangka sebelum masuk bulan Februari). Setelah menerangkan dipaksa menukar nama saya tambah ada gangguan daripada pihak tertentu yang bertujuan mahu menjatuhkan reputasi saya, supaya sebaran-sebaran pemikiran dan perkongsian daripada saya yang mudah dicapai atas nama Merah Silu tidak lagi mendapat perhatian meluas seperti dahulu. Diberitahu juga terdapat beberapa orang lain memakai nama Merah Silu di FB tanpa menghadapi masalah. Sedangkan apa yang diperkatakan mereka tidak sama dengan kebiasaan saya. Itu sahaja sudah cukup untuk  merosakkan reputasi...

Saya yakin tidak keterlaluan untuk menyatakan memang ada pihak berusaha untuk menenggelamkan nama Merah Silu dan merosakkan reputasinya. Seingat saya sudah 3 kali berlaku saya dipaksa tukar nama. Tetapi yang kali pertama dan kedua boleh tukar kembali kepada Merah Silu setelah lebih sebulan begitu memakai nama yang lebih mendekati dalam IC sambil disekat daripada membuat posting baru dalam tempoh tersebut. Kali ketiga langsung tak boleh tukar.

Ah. Tiba-tiba muncul gerak baru agar mula menamatkan kalam . Tidak perlulah saya bercerita keadaan-keadaan 'kebetulan' yang berlaku di mana tiba-tiba saya disuruh tukar nama di FB sambil dilarang membuat posting baru setelah cuba mendedahkan suatu bentuk penipuan kepada umum. Kalau tadi saya ingin bercerita panjang lebar kenapa menggunakan nama Merah Silu, bagaimana ia bermula sebagai nama syarikat untuk menerbitkan buku-buku sendiri dengan syarikat didaftarkan pada penghujung tahun 2004 ke masuk 2005 (dah lupa sebenarnya) kini saya 'disuruh' untuk melupakannya. Cukuplah ditambah, hampir penghujung tahun 2006 saya menggunakan nama Merah Silu sebagai avatar (nama/identiti samaran berserta gambar) dalam sebuah forum untuk berinteraksi (semua orang pun pakai avatar) kemudian terus melekat menjadi panggilan terhadap diri saya.

Ketika itu saya cuma mahu orang ramai tahu siapakah raja lama Melayu pengasas kerajaan berkembar Samudera dan Pasai hampir 800 tahun lalu pemilik nama tersebut dan apa kena mengenanya dengan peristiwa akhir zaman seperti disabdakan akan berlaku oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Tak ramai pun yang tahu kecuali mereka yang pernah mengikuti pengajian sastera Tingkat Enam pada tahun 70-80an atau mereka yang betul-betul peka sastera Melayu. Adalah lebih baik ketika itu menggunakan nama pena Radzi Sapiee kerana telah menempa sedikit nama di persada kebangsaan melalui penulisan dan kerjaya sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times 1996-2001 kalau mahu menaikkan nama sendiri. Sebaliknya saya gunakan nama Merah Silu supaya orang ramai kenal siapaka tokoh besar Melayu itu, bukan diri saya.

Kini, setelah lebih 12 tahun,, setelah 12 buku diterbitkan atas nama Radzi Sapiee (separuh diterbitkan sendiri, separuh dengan syarikat-syarikat lain) dan hampir 6,000 artikel ditulis di empat buah blogspot berdasarkan pengalaman pengembaraan sebenar mencari jejak sejarah di merata ceruk rantau, ramai orang kenal siapakah raja Merah Silu. Berpuluh ribu gambar mungkin sudah melepas seratus ribu yang diambil sendiri telah dikongsikan untuk tatapan dan kegunaan ramai. Daripada itu lebih 1,700 artikel ditulis dalam blog berbahasa Melayu CATATAN SI MERAH SILU

Orang yang tidak tahu latar belakang panjang penggunaan nama Merah Silu oleh saya mungkin mudah menuduh saya menggunakan nama besar seorang raja Melayu dahulukala yang hebat untuk menaikkan diri sendiri. Walhal asalnya nama digunakan untuk menaikkan kisah raja tersebut pada ketika ramai orang tak tahu.  Tiga buku terawal saya yang terbit melalui siri trilogi BERPETUALANG KE ACEH 2006-2007 bertujuan untuk mengangkat kisah itu dan segala yang berkait dengannya terutama dalam sejarah Aceh. Orang tak tahu itu sepertimana ramai tak tahu betapa banyak tulisan, kajian dan cerita-cerita pengembaraan saya telah dimanfaatkan dalam pelbagai bidang oleh ramai orang tapi mereka tak mengaku pun mendapat maklumat daripada hasil usaha saya. Cukuplah luahan. Tamat kalam




Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Ditipu USD100 di Battambang

$
0
0

Salam Jumaat. Pagi ini biar dikongsikan cerita hari ke-7 perjalanan Cambodia-Thailand yang dibuat hujung tahun lalu, Ada cabaran yang menganggu sedikit rentak perjalanan kami anak beranak. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kehebatan kota Phnom Penh.


Pagi Rabu 28 November 2018. Kami berjalan kaki untuk bersarapan di kedai makan halal sambil melihat-lihat Phnom Penh buat  kali terakhir (dalam perjalanan ini le, lain kali insyaallah datang lagi).


Kami telah membeli tiket bas jam 10 pagi untuk ke kota Battambang, 300 km ke arah barat-laut. Jam 9.38 kami sudah check-out lalu siap menunggu di ruang legar hotel. Sebelum itu ada berlaku adegan kurang enak apabila saya terpaksa bertekak dengan seorang lelaki tua pelancong dari Jepun. Adapun anak-anak saya diberikan kamera sorang satu untuk mengambil gambar dalam perjalanan. Lelaki Jepun tersebut menyangkakan anak kecil saya telah mengambil gambar beliau lalu cuba merampas kamera untuk menggeladah isinya.

Saya sebagai bapa tentulah menghalang. Hampir bergaduh kami kerana dia terus mendesak. Dengan bangganya dia menyebut dirinya orang Jepun, mungkin pakar karate agaknya sedangkan saya yang sedang bertanjak ketika itu juga harus mempertahankan maruah keMelayuan dan keluarga. Nasib baik saya sedar diri tidak mahu masalah berpanjangan selain tidak mahu berlaku terlalu biadab terhadap orang tua yang kelihatan berumur lebih 60 tahun itu kecuali sekadar perlu untuk menjaga keluarga daripada digertak. 




Nasib baik perkara selesai lalu dia meminta maaf dan kami berpelukan. Ya le... buruk sangat orang tua marah disebabkan anak kecil yang belum pun masuk Darjah 1 ketika itu (tahun ni 2019 baru masuk) disangka telah mengambil gambarnya. Jam 10 baru tuk tuk muncul untuk mengambil kami lalu membawa ke perhentian bas. Satu perkara menarik tentang Cambodia adalah apabila pelancong luar membeli tiket bas untuk perjalanan jauh dari ejen akan disertakan sekali perkhidmatan tuk tuk untuk mengambil dari hotel atau tempat penginapan tanpa bayaran tambahan. 


Perkara ini kami pertama kali alami ketika mahu meninggalkan Siem Reap 24 November 2018 (lihat kembali Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham), Bila tuk tuk mengambil lewat maka ada jaminan bas yang mahu dinaiki lagi lewat. Kami sampai di perhentian bas jam 10.07. Tak ingat jika ada memberitahu sebelum ini - di Cambodia syarikat-syarikat bas di bandar-bandar besar masing-masing memiliki perhentian sendiri di beberapa lokasi merangkap pejabat jual tiket.


Menariknya ia menghadap padang di mana saya meninggalkan isteri dan anak-anak buat sementara  waktu pada malam sebelumnya. 


Saya berbuat begitu kerana mereka sudah penat - kami telah berjalan kaki 7 km hari itu selain naik kenderaan lebih 10 km - sedangkan saya mahu bergerak lagi 200 meter ke suatu tempat yang menjadi punca munculnya nama juga penempatan asal di Phnom Penh. Rujuk balik artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kehebatan kota Phnom Penh.


Bas sampai jam 10.15.


Tidak lama kemudian kami pun bergerak meninggalkan Phnom Penh.





Dipendekkan cerita setelah lebih 7 jam perjalanan baru sampai ke destinasi. Sepatutnya boleh sampai dalam tempoh 6 jam. Nasib baik isteri dan anak-anak tahan. Lihat artikel Bus to Battambang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami sampai itu sekitar jam 5.30 petang. Tak lama lagi nak masuk waktu senja atau Maghrib. Nasib baik sudah ada pemandu tuk tuk menunggu di stesyen. Menariknya kali ini hotel yang sudah ditempah melalui Internet dua hari sebelumnya menghantar tuk tuk tanpa apa-apa bayaran tambahan.


Hotel terletak di satu bahagian timur kota Battambang sedangkan bas berhenti di pinggir barat kota. Dalam perjalanan ke hotel kami meminta pemandu membawa masuk ke pusat kota untuk mencari makanan halal.


Dapatlah melihat suasana kota Battambang yang dikatakan turut menarik ramai pelancong Barat menjelang malam. Antara tarikannya adalah bangunan-bangunan lama daripada zaman penjajahan Peranchis abad ke-19 hingga ke-20. Lihat Around Battambang by tuk tuk.





Battambang juga memiliki beberapa tarikan lain termasuk kuil-kuil lama juga satu tarikan unik berupa "kereta api buluh" (bamboo train). Ia adalah gerabak kecil kereta api dibuat dari buluh yang boleh dipandu sendiri pelancong menggunakan landasan binaan Peranchis yang sudah lama tidak digunakan.


Tetapi kami tiada masa kerana esok pagi harus berkejar jauh ke tempat lain.


Selepas mandi dan membersihkan diri kami makan bekalan daripada perjalanan bas.


Apapun kami terasa begitu senang hari itu. Dapat sebuah hotel dengan bilik cukup luas dan selesa ada kolam renang tetapi sewanya (tawaran) cuma USD10 satu malam! Siap diambil dari stesyen bas lagi dengan tuk tuk tanpa bayaran tambahan.


Tak sangka lewat malam itu muncul masalah apabila saya mahu menukarkan duit USD100 kami yang terakhir di meja hadapan hotel menjadi duit kecil. Pekerja tak terima mengatakan duit saya itu palsu, siap ada perkataan copy lagi di satu sisi lalu terus bertanya kami tukar wang di mana?

Aduh! Rasa pecah kepala ketika itu. Bagaimana boleh tak nampak ada satu duit palsu? Seingat saya ada menyemak semua duit US (semuanya dalam nota USD100, pengurup tak mahu bagi duit kecil) yang ditukar di Rawang, Selangor sehari dua sebelum memulakan perjalanan. Dalam kepenatan setelah lebih 7 jam naik bas dari Phnom Penh ke Battambang ditambah sudah rabun dekat memang tak terfikir apakah sebenarnya yang telah berlaku.

Fikir saya ketika itu memang sudah ditipu pengurup wang di Rawang. Siap dah berkira-kira hendak membuat laporan polis apabila kembali ke Malaysia. Nasib baik duit sewa hotel juga tempahan pengangkutan untuk perjalanan keesokan harinya sudah dibayar dengan duit lain. 


Turut sempat dibayar adalah sewa skuter hotel untuk membawa isteri dan anak-anak keluar berjalan sendiri malam. Paling penting saya mahu melawat satu monumen yang menjadi asal usul kemunculan nama Battambang. Lihat artikel Patung (Statue of) Ta Dumbong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ketika keluar lalu dapat menemui sebuah kedai makan halal baru terfikir ada kemungkinan kami ditipu pekerja hotel. Ini timbul apabila meneliti kembali keadaan. Kalaulah betul pengurup wang yang menipu dengan duit palsu apakah mereka akan mengaku kalau bersemuka? Kalau buat laporan polis sekalipun pengurup wang boleh sahaja sebut saya dah jalan merata. Entah-entah orang lain yang tipu.


Saya cuma mendapat kepastian beberapa lama selepas masuk tengah malam. Tetapi sudah terlambat untuk berbuat apa-apa kerana tidak dapat menunjukkan bukti kecuali menceritakan turutan peristiwa dan bagaimana penipuan boleh berlaku iaitu duit asli saya telah ditukar dengan duit palsu selepas menyerahkan kepada pekerja untuk ditukar. Dia ada berpura-pura hendak mengambil tukaran dalam laci bawah yang terlindung di sebalik meja tinggi resepsi. Selepas itu baru menyerahkan duit palsu lalu menyatakan saya yang beri.

Selain daripada itu saya cuma boleh bertegas memaksa dia untuk mengaku. Takkanlah nak tunjuk gangster ugut pekerja hotel di negara orang? Ini orang jenis selamba tak makan saman, kalau mahu bertegas juga silap-silap terpaksa memukulnya. Kena ingat saya ni berjalan membawa anak isteri jauh di perantauan. Tidur pula di hotel ini, bukan boleh terus berlalu pergi. Pagi nanti pula perlu berkejar ke tempat lain.

Kalau dapat mencari bukti sekalipun apakah polis sini akan bekerjasama atau dia akan memenangkan orang sebangsa dan satu negara? Akhirnya apa yang boleh saya buat adalah menulis teks seperti berikut berserta gambar atas di Facebook petang Khamis 29 November. Ketika itu, setelah jauh meninggalkan Battambang baru tersedar bagaiman penipuan boleh berlaku... 


DAH TERKENA DAH - SCAM USD DI CAMBODIA

Nampaknya confirm saya memang dah kena tipu/scam duit USD100 di hotel Blue Diamond di Battambang semalam. Ceritanya saya nak pecah duit terakhir USD100 kami di hotel jadi beberapa keping duit USD20 dan USD10 agar mudah untuk digunakan dalam perjalanan kami anak beranak meninggalkan Cambodia untuk ke Ayuthayya di Thailand hari ini. Tengok- tengok- dia kata duit kita fake, siap tunjuk ada perkataan copy. 

Kami yang dalam kepenatan selepas 7 setengah jam perjalanan dari Phnom Penh cuma boleh tepuk kepala masa tu. Fikir kami kenapa tak sedar boleh kena tipu dengan moneychanger di Rawang tempat kami tukar wang sebelum bertolak dengan pesawat ke Cambodia. Siap berkira-kira lagi nak buat polis repot apabila kembali ke Malaysia nanti. Setelah beberapa lama baru terfikir entah-entah lelaki kat desk hotel tukar tapi saya tak perasan. Ada perempuan berumur Cina di hotel bantu scam apabila diminta mengesahkan wang.

Lewat malam semalam saya bersemuka dengan lelaki tersebut. Tapi dia tak mengaku malah menyalahkan saya kerana katanya mengeluarkan wang palsu daripada dompet saya lalu cuba menukar kepada wang sah di tempatnya. Katanya situ ada CCTV. Saya pun minta supaya ditunjukkan rakaman CCTV. Dia kata boleh pagi nanti. Nanti ajak polis tonton sekali.

Tapi dia memberitahu saya boleh dipenjarakan kerana cuba menukar duit palsu dengan wang sah. Mengingatkan diri di negara orang dan pagi nanti harus bergegas ke Thailand bersama isteri dan dua anak kecil saya pun mengalah lalu meminta diri.

Selepas tengah malam saya tergerak untuk Google perkataan "Fake USD100 Battambang". Jumpalah satu artikel memberitahu perkara ini memang biasa berlaku di Cambodia. Tadi dalam minivan ke Bangkok (saya masih dalam perjalanan ni) tergerak untuk meneliti artikel tersebut. Terjumpa satu gambar contoh yang kelihatan sebijik macam kes saya. 

Rupa-rupanya adalah menjadi kebiasaan sesetengah orang di Cambodia print wang USD tapi ada perkataan copy untuk dibakar dalam upacara tertentu. Wang sebegini biasa digunakan untuk menipu mereka yang tidak menyedari. Lihat artikel bawah ini, tuju pada bab spirit money. Gambar yang diletakkan adalah duit tipu USD100 yang kami terima itu...



Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama

$
0
0
Merujuk kepada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Ditipu USD100 di Battambang yang dipersembahkan pagi Jumaat 11 Januari 2019 iaitu 4 hari lalu. Adapun cerita perjalanan Cambodia-Thailand yang bakal menyusul selepas ini akan masuk peralihan dari negara Cambodia ke Thailand. Sebelum ia dipersembahkan ingin saya melepaskan cerita-cerita daripada satu pengembaraan kecil yang berlaku hujung minggu baru ini. Pengembaraan mungkin sekadar meliputi tempat-tempat di daerah kelahiran saya iaitu Muar tetapi makna tersurat dan tersirat yang terkandung di dalamnya melangkaui jauh daripada itu.


Petang Jumaat 11 Januari iaitu selepas menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid berdekatan rumah kemudian menghantar anak-anak ke sekolah agama saya pun bergerak menuju ke ke Muar melalui jalan Rawang ke Kuala Lumpur.


Sampai ke persimpangan masuk ke lebuh raya MRRII di Batu Caves saya pun masuk mengambil lebuh raya pekeliling itu. Daripada situ saya mahu mengambil jalan ke Cheras kemudian Kajang. Sambil itu saya mengimbas perkara-perkara yang membawa kepada perjalanan terbaru ke Muar ini.


Adapun dalam tempoh sebulan kebelakangan saya dan keluarga sudah dua kali berulang-alik ke Muar. Pertama adalah pada petang Sabtu 15 Disember 2018 iaitu tepat sebulan lalu. Kami mahu bercuti ke Muar sambil mengajak lalu mengambil ibu bapa bertandang buat beberapa hari di rumah kami di Sungai Buaya, Rawang.


Dalam tempoh masa bertandang itu kami membawa mereka ke Teluk Intan, Perak untuk satu majlis keluarga sebelah bapa yang diadakan secara spontan petang Sabtu 22 Disember. Lihat Majlis tahlil ad hoc keluarga Laksamana Raja Mahkota di masjid lama Batak Rabit. Isnin 24 Disember kami kembali ke Muar untuk menghantar ibu bapa balik . Esoknya 25 Disember, hari Krismas kembalilah kami ke rumah sendiri di Sungai Buaya.


Ahad 30 Disember waktu malam iaitu 5 hari kemudian terlihat satu update status di Facebook milik seorang pengkaji menunjukkan penemuan makam berbatu nesan Aceh di sebuah bukit kecil dipanggil Bukit Rhu berdekatan Jorak di Muar. Kedudukannya dekat sebuah kampung dipanggil Kampung Pengkalan Bukit sedangkan 3 km dari situ menghala ke Pagoh ada sebuah bukit sederhana tinggi dikenali sebagai Bukit Pengkalan. Hal ini mengingatkan kepada satu mimpi berkenaan yang dialami penghujung tahun 2007. Terus timbul rasa mesti balik Muar lagi dalam masa terdekat untuk menyiasat lalu saya membuat status update berikut di FB tengah malam Isnin 31 Disember :-


JELAJAH SEJARAH MUAR SEKITAR PAGOH JORAK? MEH SAPA NAK JOIN...

Salam. Nampaknya ada panggilan menyuruh mencari satu jejak sejarah di sekitar Pagoh dan Jorak yang ada kena mengena dengan satu mimpi yang dialami lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya masuk ke 'alam sebelah' melalui satu 'pintu' atas bukit kemudian kelihatan ada kampung dan madrasah ramai orang berjubah. Dalam tempoh setahun dua setelah mimpi berlaku menggagau juga saya beberapa kali cuba mencari lokasi bukit dalam mimpi tapi tak dapat rasa yang tepat untuk mengesahi. Baru tadi terlihat posting seorang pengkaji lain yang seperti memberikan harapan baru di manakah lokasi.

Adapun dalam tempoh seminggu dua kebelakangan ini saya, isteri dan anak-anak telah dua kali kembali ke Muar, pertama untuk mengambil ibu bapa agar dapat dibawa ke satu majlis keluarga di Perak 22 Disember kemudian menghantar mereka kembali. Baru Krismas lalu, dalam perjalanan kembali ke Lembah Klang kami ada menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja Pagoh kemudian makan mee bandung udang galah di Panchor sebelum pergi ke kaki Gunung Ledang melalui satu simpang dekat Bukit Gambir. Namun panggilan yang baru muncul tadi ini menyeru agar saya ke Muar lagi dalam masa terdekat, mungkin paling lewat pun dua minggu daripada sekarang insyaallah.

Dengan ini saya bercadang hendak mengajak kawan-kawan/kenalan pengkaji sejarah terutama di sekitar Muar supaya turut serta. Saya fikir mungkin boleh mendaki sekali Bukit Pengkalan setinggi lebih 600 kaki di seberang ladang herba Mak Siti. Nyatakan siapa yang berminat untuk bersama. Berikan satu tarikh cadangan...


 
Pada penghujung status dilampirkan sekali artikel lama yang menceritakan tentang mimpi tersebut tetapi dalam bahasa Inggeris. Lihat artikel The hill I saw in a recent dream? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Artikel ditulis pada 29 Disember 2007 sedangkan mimpi berlaku lebih kurang 2 minggu sebelum itu.

Oh. Di atas adalah masjid yang disinggahi dalam perjalanan terbaru kembali ke Muar. Seperti biasa dari Cheras menghala ke Kajang saya suka masuk ke lebuh raya LEKAS hingga ke Seremban kemudian mengambil jalan lama. Selepas pekan Rembau menuju ke Kota kelihatan masjid tersebut di tepi jalan. Tetapi baru kali ini tergerak untuk singgah setelah beberapa puluh kali, mungkin dah lebih 100 kali mengambil laluan ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Batu, Rembau di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sekitar jam 7.05 masuklah saya ke bandar Muar melalui jambatan lama, juga dikenali sebagai jambatan pertama Muar. Sebetulnya adalah lebih dekat dan mudah mengambil jambatan kedua Muar untuk kembali ke rumah ibu bapa yang terletak di kampung asal ibu iaitu Temiang (ayah berasal dari Batak Rabit di Teluk Intan, Perak tetapi menjadi orang Muar selepas bernikah dengan ibu 50 tahun lalu)...


Saya singgah dahulu ke bandar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani ini kerana mahu berbuka puasa (saya sedang puasa sunat ketika itu) di medan makan Bentayan. Letaknya dalam kawasan tapak kubu Bentayan yang pernah menjadi pusat pertahanan orang Melayu Melaka melawan Portugis selepas kota Melaka jatuh ke tangan musuh tahun 1511. Rujuk artikel lama Tapak kota Portugis di Muar?


Di sini biar dikongsikan pautan beberapa lagi artikel lama berkenaan bukit dalam mimpi penghujung tahun 2007 dan usaha-usaha pencarian yang dibuat selepas itu. Saya pernah menyangkakan dapat menemui bukit tersebut namun masih lagi ada rasa tak puas hati. Selepas kali terakhir mencari sehari dua sebelum bernikah dengan isteri kini (pernikahan kedua saya) pada tarikh 11/12/2008 bersamaan 13/12 (Zulhijjah)/1429 Hijriah (lihat Nombor 131 dan makna satu pernikahan...) saya melupakan pencarian begitu lama. Kali ini terasa sudah mendapat petunjuk baru yang perlu disusuli untuk memuktamadkan perkara. Berikut adalah artikel-artikel lama berkenaan pencarian berserta tarikh ia dipersembahkan itu :-


Selasa 19 Februari 2008
Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan...

Selasa 14 Oktober 2008 jam  3:15 petang

Selasa 14 Oktober 2008 jam 3:45 petang
The hill I saw in a recent dream... Or is it Bukit (hill of) Setaki...

Selasa 14 Oktober 2008 jam 4:39 petang
Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka, entah le nak cari apa!

Selasa 16 Disember 2008
Jalan-jalan di Muar sekitar Aidil Adha sehingga mencari bukit tertentu dalam mimpi...


Allah! Melihat kepada senarai pautan ternyata artikel-artikel ini semuanya ditulis pada hari Selasa. Maka amat sesuailah artikel pembuka pencarian terbaru pun ditulis pada petang Selasa. Tunggu sambungannya insyaallah esok nanti.


Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan

$
0
0
Salam semua. Masuklah ke bahagian pengembaraan sebenar dalam penceritaan siri kecil berdasarkan usaha terbaru menjejak sejarah di Muar. Bersambung daripada Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama.


Pagi Sabtu 12 Januari 2019. Setelah bermalam di rumah ibu bapa di Kampung Temiang, 5 km ke timur-laut bandar Muar saya keluar seorang diri menghala ke Bukit Mor dekat Parit Jawa, 20 km ke selatan,


Adapun jejak sejarah ini asalnya dicadangkan mahu meliputi tempat-tempat di sekitar Jorak dan Pagoh, iaitu sekitar 14 hingga 26 km ke timur bandar Muar. Tetapi beberapa hari kemudian timbul rasa untuk terlebih dahulu memanjat Bukit Mor.


Dalam perjalanan singgah di Parit Pinang Seribu.


Sebelum mendaki bukit yang tingginya boleh tahan, katanya mencapai 233 meter atau 764 kaki dari paras laut biar dibereskan dahulu segala 'hajat' di masjid. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sulaimansyah, Parit Pinang Seribu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Tentang ketinggian 233 meter bersamaan 764 kaki itu saya dapati daripada seorang guru sekolah yang rajin memanjat dan meneroka pelbagai ceruk Bukit Mor. Menurut beliau itu menurut ukuran yang dibuat oleh sekumpulan pendaki tempatan. Namun beliau ada peta lama zaman British meletakkan ketinggian bukit pada 787 kaki.


Menggunakan Google Earth saya pula mendapati puncak tertinggi Bukit Mor terletak pada ketinggian 716 kaki dari paras laut, Satu peta promosi acara hiking beramai-ramai yang dibuat tahun 2012 meletakkanya pada 714 kaki. Semakan dengan program satelit tersebut menunjukkan ia adalah tanah tertinggi dalam lingkungan jejari 30 km dari bandar Muar. Dari garisan pantai bandar Melaka hingga ke bandar Batu Pahat sepanjang 80 km darab lebar 15 km ke pendalaman pula ia memang bukit paling tinggi dalam kawasan lalu mudah kelihatan daripada laut. Dari Pulau Besar di Melaka saya biasa melihat Bukit Mor dengan jelas sebagai penanda kedudukan bandar Muar sehingga ke Parit Jawa.


Maka tidak hairanlah jika Bukit Mor dijadikan pusat pentadbiran  bagi satu keluarga bangsawan yang dikenali sebagai keluarga Raja Bugis Chempa. Dikenali juga sebagai keluarga Raja Bugis Kembayat keturunan ini dikatakan lari ke Melaka setelah ibu kota kerajaan Champa iaitu Vijaya (sekarang di tengah Vietnam) jatuh ke tangan  puak Dai Viet daripada selatan China tahun 1471 Masihi. Cerita kedatangan keluarga Raja Champa ini ada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.  Begini ceritanya, saya salin daripada Sulalatus Salatin edisi pelajar yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad untuk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1979 :-

Maka ada dua orang anak raja Cempa, Syah Indera Berma seorang namanya; seorang lagi Syah Pau Ling, lalu ke Aceh; ialah asal raja Aceh. Insya-Allah Taala lagi akan dikisahkan perkataannya kemudian. Adapun Syah Indera Berma lalu ke Melaka; maka terlalu kesukaan  Sultan Mansur Syah melihat segala mereka itu. Maka Syah Indera Berma dan isterinya, Kenia Mesra, sangat dipermulia baginda. Maka sekaliannya disuruh masuk agama Islam; akan Syah Indera Berma dengan isterinya, serta temannya sekalian pun masuk Islamlah. Maka oleh Sultan Mansur Syah, akan Syah Indera Berma, dijadikan baginda menteri, terlalu sangat dikasihi baginda. Dan mereka itulah asal segala Cempa di Melaka, asal berasal daripada anak cucu Syah Indera Berma.


Bagaimanapun Sulalatus Salatin tidak menyebut tentang Bukit Mor. Sebaliknya itu didapati daripada cerita turun temurun keluarga yang keturunannya sampai ke orang-orang besar Muar seperti Orang Kaya Junid yang menimbulkan nama Jalan Junid . Keturunan ini masih wujud dengan ramainya. Untuk pengetahuan ibu mantan Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Razak iaitu Tun Rahah juga ibu mantan Menteri Pertahanan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein iaitu Tun Suhailah (mereka adik beradik, anak Tan Sri Noah) adalah daripada keturunan tersebut. Rujuk artikel Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama.. yang ditulis hampir 11 tahun lalu.


Apapun kali ini saya betul-betul ingin mendaki Bukit Mor hingga ke puncak. Rancangan ini diwar-warkan dalam Facebook lalu muncul dua orang anak muda dari Kulai, Johor ikut sekali. Kedua-dua mereka tiada masalah untuk mendaki kerana baru berumur 26 tahun dan sudah memanjat banyak gunung. Tetapi mendaki Bukit Mor dan dalam rangka kerja menjejak sejarah? Itu kali pertama kali buat mereka.


Kami dapat sampai ke puncak dalam tempoh kurang setengah jam. Lihat artikel To the summit of Bukit Mor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Namun kami menghadapi masalah untuk mencari satu kawasan terbuka dengan pemandangan cantik yang dilihat dalam  Internet. Gambar ini menunjukkan saya menyemak kedudukan menggunakan Google Earth setelah kami tersilap jalan.


Dipendekkan cerita setelah lebih satu setengah jam meninggalkan puncak baru terjumpa tempat yang dicari. Alhamdulillah dapat ditemui sekali batu belah yang katanya ada legenda tersendiri. Lihat Looking for a clear view of the lake up Bukit Mor.


Dari tempat terbuka itu mudah sahaja naik ke satu puncak (bukan tertinggi) yang memberikan pemandangan terbaik ke arah timur dan sekeliling... 


Pemandangan yang terbuka menjangkau jauh ke arah Pagoh juga Yong Peng. Lihat Views from Puncak Bendera - The flag summit..


Kemudian kami naik kembali ke puncak tertinggi Bukit Mor.


Kami mahu mencari satu batu yang katanya ditanda arah mata angin oleh komunis pada zaman darurat (tak pasti pada tahun 1945 selepas kekalahan Jepun atau pada tahun 1960an selepas British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia).


Kami dapat tahu kedudukannya dekat puncak tertinggi setelah diberitahu seorang cikgu yang rajin mendaki Bukit Mor.



Adapun cikgu tersebut ditemui sedang meneroka seorang diri ketika kami pertama kali turun dari puncak tertinggi untuk mencari kawasan terbuka dengan pemandangan meluas. Ketika itu kami tidak tahu pun sudah sampai ke puncak tertinggi. Setelah diberitahu cikgu tandanya adalah batu yang diapit dua batang pokok kecil baru sedar dah sampai. Kami juga dapat tahu terdapat banyak jalan atau denai untuk menerokai Bukit Mor. Tetapi kami sengaja naik kembali ke puncak tertinggi kerana dua perkara :-

1) Mencari batu tanda arah angin komunis tadi

2) Mencari kawasan lapang menghadap ke barat dan laut (Selat Melaka).


Beginilah kawasan lapang menghadap ke barat.


Dari situ dapat dilihat pekan Parit Jawa. Ada laluan untuk turun ke kaki bukit tetapi melalui kuari yang telah membotakkan hampir seluruh muka barat bukit.


Kami turun melalui jalan sama ketika mendaki supaya dapat sampai terus ke kereta.


Terus ke satu kuil Cina di pekan Bukit Mor di mana kami bertemu seorang pengkaji yang berasal dari Batu Pahat tetapi datang daripada tempat kerjanya di Alor Gajah, Melaka.


Pengkaji tersebutlah yang mewar-warkan penemuan batu Aceh di satu bukit kecil dekat Jorak sehingga saya terasa wajib untuk melihatnya lalu kembali ke Muar. Rujuk balik artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama. Beliau yang datang bersama seorang pengkaji muda anak jati Muar kemudian menunjukkan satu makam berdekatan yang disebut sebagai keramat. Lihat Makam (Tomb of) Tok Sijau.


Selesai urusan di Bukit Mor baru ke Jorak 25 km ke arah utara kemudian timur.


Singgah bersolat di surau Kampung Jorak, tengok-tengok ada peti lama yang layak dijadikan pameran bersejarah muzium. Lihat Surau (Praying hall of) Kampung Jorak.


Selesai solat baru bergerak 2.4 km ke timur lagi untuk sampai ke makam berbatu nesan yang Aceh yang menjadi asbab jejak sejarah ini dibuat.


Di situ saya dapat merasakan sesuatu.


Walaupun bukit kecil dan makam tidak termasuk dalam mimpi yang berlaku penghujung tahun 2007 (rujuk balik artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama) ia membantu memberikan petunjuk yang cukup jelas ke mana harus dituju untuk merealisasikan isi dan makna mimpi. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh stones at) Bukit Rhu, Jorak.





Selepas itu pengkaji bernama Azlan Sharif itu membawa kami menjejak beberapa lagi batu nesan Aceh juga tempat-tempat bersejarah di sekitar bandar Muar. Lihat artikel-artikel berikut :-








Perjalanan kami bersama menjejak sejarah (lima orang kesemuanya termasuk saya) ditutup di Parit Raja Laut (Parit Raja menghala ke laut - ada bahagian dipanggil Parit Raja Darat atau Parit Raja menghala ke darat). Dikatakan di sekitar parit tersebutlah berlaku peristiwa "Lembing Awang Pulang Ke Dayang". Ada satu makam berbatu nesan Aceh ingin ditunjukkan Azlan sebelum kami berpisah. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh stones at) Parit Raja Laut.


Beginilah lakaran mudah jejak sejarah kami meliputi jarak lebih 57 km


Kemudian saya bersendirian ke Tanjung Ketapang dekat kuala Sungai Muar untuk menjejak lokasi asal satu makam lama yang ada direkodkan dalam peta British. Peta dikongsikan oleh Azlan lalu saya cuba mencari sehingga masuk Maghrib. Lihat My first proper look at Muar's Tanjung Ketapang in ages. Campur jarak bergerak dari rumah ibu bapa ke Bukit Mor, jarak dari Parit Raja ke Tanjung Ketapang juga kembali ke rumah ibu bapa saya sebenarnya telah berjalan lebih 100 km hari itu. Kalau sekali campur jarak berjalan kaki turun naik meneroka Bukit Mor juga jalan kaki keliling Tanjung Ketapang harus sekitar 106 km.


Adapun dalam perjalanan jejak sejarah itu saya ada 3 kali tergerak untuk mengeluarkan keris lalu mengucupnya. Pertama atas batu di puncak tertinggi Bukit Mor, kedua di hadapan makam berbatu nesan Aceh di Bukit Rhu, Jorak, ketiga di jeti sebelah makam berbatu nesan Aceh di Parit Raja Laut. Kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Selangor hari Ahad malam Isnin tergerak untuk menanda ketiga-tiga tempat lalu menyambungkannya dengan garisan-garisan lurus. Terbentuklah segi tiga yang kelihatan menajam ke Bukit Rhu seperti mahu menunjukkan sesuatu ke arah itu.


Saya pun membuat garisan baru seperti di atas. Dengan menggunakan sambungan jeti Parit Raja ke Bukit Mor sebagai tapak lalu jaraknya dibahagi dua garisan dibuat memanjang melalui batu Aceh Bukit Rhu. Sesungguhnya batu Aceh itu menjadi asbab utama saya membuat jejak sejarah di Muar kali ini. Segi tiga yang menyambungkannya dengan jeti Parit Raja dan Bukit Mor itu sendiri membentuk apex atau puncak segi tiga di Bukit Rhu. Maka memang patutlah kalau ia menjadi arah tuju garisan baru...


Garisan dipanjangkan jauh sehingga ke Indochina. Ternyata ia melalui Cambodia yang memiliki kaitan tertentu dengan kerajaan Melayu Champa yang sudah lenyap dari peta moden. Seperti ada petunjuk mengaitkan jejak sejarah di Muar dengan perjalanan saya dan keluarga di Cambodia  membawa ke Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018. Bukankah jejak Muar itu sendiri dibuat pada ketika penceritaan berkenaan hendak memasuki fasa peralihan dari Cambodia ke Thailand? Begini bunyi perenggan pertama artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama. yang merupakan pengenalan buat jejak sejarah Muar :-


Merujuk kepada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Ditipu USD100 di Battambang yang dipersembahkan pagi Jumaat 11 Januari 2019 iaitu 4 hari lalu. Adapun cerita perjalanan Cambodia-Thailand yang bakal menyusul selepas ini akan masuk peralihan dari negara Cambodia ke Thailand. Sebelum ia dipersembahkan ingin saya melepaskan cerita-cerita daripada satu pengembaraan kecil yang berlaku hujung minggu baru ini. Pengembaraan mungkin sekadar meliputi tempat-tempat di daerah kelahiran saya iaitu Muar tetapi makna tersurat dan tersirat yang terkandung di dalamnya melangkaui jauh daripada itu.


Dengan ini terasa elok dipautkan semua artikel yang telah dibuat tentang perjalanan Cambodia-Thailand setakat ini. Semoga muncul suatu corak yang dapat memberikan petunjuk yang lebih bermakna...












Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Tanjung Olak, Jong Merak dan Bukit Astakona

$
0
0
Salam Jumaat. Sampai masanya untuk menutup cerita perjalanan kecil menjejak sejarah di Muar 11-13 Januari baru ini. Bersambung daripada Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan.


Pagi Ahad 13 Januari 2019. Setelah mengucup tangan ibu bapa lalu meminta diri saya keluar meninggalkan rumah mereka di Kampung Temiang, Muar.


Jika asalnya saya merancang cuma akan meninggalkan mereka selepas jam 3 petang untuk kembali ke rumah sendiri di Selangor saya keluar awal agar dapat menyambung penjejakan sejarah di sekitar Jorak dan Pagoh sebelum mengambil lebuh raya PLUS melalui tol Pagoh. Terus ke warung di simpang Jorak lalu jadilah seperti apa yang diwar-warkan di Facebook dua minggu terdahulu - diumumkan satu sesi jejak sejarah mahu diadakan di sekitar ini. Siapa yang mahu turut serta boleh jumpa di warung jam 9 pagi lalu bersarapan.


Cuma bezanya jam 10 baru saya berada di sana. Ini kerana mahu menghabiskan masa bersama ibu bapa sebelum meninggalkan mereka. Dua orang kenalan daripada Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Muar muncul untuk mengikuti. Selepas puas bersarapan seraya bertukar bermacam cerita saya membawa mereka ke makam berbatu nesan di Bukit Rhu 2.4 km dari warung tadi.


Tentang makam ini dan bagaimana saya mendapat tahu tentangnya sudah diberitahu dalam artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan.


Saya bawa dua orang ini kerana pertama mereka pun belum pernah sampai ke makam ini. Kedua saya mahu menunjukkan lokasi penting yang mahu dijejaki kemudian nanti - sebuah bukit yang boleh kelihatan jelas dari makam atas bukit kecil ini.


Selepas makam singgah dahulu di Tanjung Olak tidak jauh dari situ...



Sudah diberitahu pada artikel pengenalan Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama bahawa jejak sejarah di Muar ini dibuat untuk mencari bukit dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut saya ada terlihat papan tanda tertera nama Tanjung Olak. Lihat artikel Muar river at Tanjung Olak di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya kami melihat persekitaran Sungai Muar di pekan kecil Jorak. Saja je suka-suka kot-kot boleh membantu mendalami makna dan petunjuk dalam mimpi. Lihat Muar river from the small town of Jorak.


Ini adalah gambar dalam surau di sebelah warung simpang Jorak. Kami singgah untuk menunaikan solat Zohor (saya qasar dan jamakkan bersama Asar sekali). Sebelum itu kami makan tengah hari di warung. Sambil itu berbual-bual dengan beberapa orang tempatan lalu terkeluar cerita-cerita yang boleh membantu jejak.


Adapun warung itu terletak cuma 100 meter ke sekolah dalam gambar. Di belakang sekolah ada sebuah bukit kecil yang menurut cerita tempatan berasal daripada sebuah jong yang disumpah menjadi bukit. Apabila saya bertanya tentang jong dan bukit seorang yang saya anggar berumur 50an memberitahu itulah asal usul nama Jorak. Jong yang menjadi bukit itu dikenali sebagai Jong Merak disebabkan memiliki kepala berbentuk merak atau lambang merak di hadapannya. Pada mulanya tempat ini disebut sebagai Jong Merak. Lama-lama disingkatkan akibat percakapan mudah menjadi Jorak.


Ketika itu saya terlupa hendak bertanya lebih lanjut tentang kisah Jong Merak. Kemudian baru dapat tahu ia lebih kurang seperti Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya lalu disumpah menjadi batu sehingga jong kenaikannya menjadi bukit. Yang tercetus dalam fikiran ketika itu cuma mahu tahu apakah makna lambang merak. Kebetulan saya ada membawa pending tembaga besar yang dihadiahkan oleh seseorang yang katanya waris keturunan Hang Tuah. Pada pending itu ada lambang merak. Menurut beliau itulah lambang asal laksamana...


Satu lagi cerita yang terkeluar dalam perbualan dengan orang tempatan adalah dahulu terdapat beberapa makam keramat di Jorak. Tetapi banyak yang sudah hilang masuk ke dalam sungai, tinggal satu sahaja masih wujud hingga sekarang. Itulah yang kami naik di Bukit Rhu. Cerita ini timbul kerana ketika kami singgah pagi itu rupa-rupanya baru selesai gotong royong membersihkan tanah perkuburan di mana terdapat makam. Menurut abang berumur 50an tadi itulah satu-satunya makam yang wujud di situ ketika kampung berdekatan dibuka. Kubur-kubur lain dibuat kemudian.


Seorang lagi abang yang saya anggar sudah berumur lebih 60an menambah dahulu banyak makam keramat tetapi kini tinggal satu. Saya pun bertanya apakah mereka ini dianggap keramat kerana orang alim? Jawab abang itu mungkin. Terus terpacul dalam fikiran agaknya inilah kena-mengenanya dengan mimpi yang dialami penghujung tahun 2007. Dalam mimpi itu saya naik sebuah bukit. Di puncaknya saya masuk semacam pintu ke alam lain lalu dapat melihat ramai orang muda berjubah seperti hendak bergegas ke surau ataupun madrasah...


Oh. Gambar-gambar selepas gambar sekolah di atas menunjukkan perjalanan kami masuk ke kawasan pendalaman di mana dipercayai terletaknya bukit dalam mimpi. Kali ini, setelah meneliti kedudukan daripada beberapa sudut terutama melihat dari makam atas bukit kecil saya sudah pasti ke mana hendak dituju...


Kembali kepada cerita abang tadi tentang keramat lalu teringat bahawa dalam mimpi saya masuk pintu ke alam lain lalu melihat ramai orang muda berjubah. Selama ini saya menyangkakan masuk ke alam bunian, jin atau sebagainya. Tetapi selepas mendengar cerita tentang banyak makam keramat kerana mungkin mereka semua orang alim besar baru terbit satu lagi kemungkinan - pintu itu sebenarnya membawa saya masuk ke zaman silam. Apa yang dilihat adalah suasana kuat keagamaan pada suatu zaman yang lampau. Kemungkinan besar zaman itu terdapat surau, tempat pengajian, madrasah, rumah suluk dan sebagainya lalu diduduki ramai orang yang kuat beragama.


Oh. Ini ketika mendaki ke puncak bukit yang cuba dipadankan dengan mimpi. Terlihat satu batu seperti dipahat dengan ukiran, mungkin ada tulisan jawi.



Saya meneliti bukit dan pemandangan sekitar daripada beberapa sudut dan lokasi. Lihat The hill known as Bukit Astakona


Walaupun tidaklah sama 100 peratus seperti dalam mimpi (sebenarnya saya pun dah tak ingat butiran), saya yakin memang ini tempatnya.


Dengan itu saya kembali ke Selangor melalui lebuh raya PLUS dengan rasa puas. Saya yakin bukit yang dilihat dalam mimpi lebih 11 tahun lalu telah berjaya dijejaki. Saya dapat merasakan ia terkait dengan satu sejarah yang hilang di mana kawasan sekitar Jorak dan Pagoh itu pernah menjadi satu pusat keagamaan, mungkin juga pusat dakwah Islam yang penting di Tanah Melayu. 

Melihat pada petunjuk yang diperolehi pada hari sebelumnya (rujuk balik Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan) saya percaya ia ada kena mengena dengan kerajaan lama Champa juga Kesultanan Aceh. Semoga akan muncul petunjuk-petunjuk dan ilham yang lebih jelas tidak lama lagi...




Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Battambang-Poipet-Bangkok-Ayutthaya dengan pelbagai jenis pengangkutan

$
0
0
Hari ini 19/1/19 terasa patut mengeluarkan satu artikel baru. Kebetulan sudah lebih seminggu cerita perjalanan Cambodia-Thailand diketepikan buat sementara waktu untuk memberikan laluan kepada cerita-cerita jejak sejarah di Muar yang berlaku hujung minggu lalu. Maka biar disambung penceritaan daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Ditipu USD100 di Battambang


Pagi Khamis 29 November 2018 iaitu pada hari ke-8 perjalanan. Kami sudah bersiap sedia di ruang legar hotel seawal jam 7.30.


Walaupun hal ditipu USD100 masih terngiang-ngiang dalam kepala kami harus membuat seperti tidak berlaku apa-apa. Yang penting kami selamat. Dan untuk hari itu kami akan membuat perjalanan jauh. Jam 7.30 kami sudah siap menunggu di ruang legar untuk pengangkutan yang katanya akan sampai jam 8.


Kami mahu meninggalkan negara Cambodia masuk ke Thailand. Untuk itu pengangkutan sudah ditempah melalui meja hotel pada malam sebelumnya sejurus sebelum berlaku saya ditipu USD100 itu. Pengangkutan ada dua bahagian, satu dari Battambang ke sempadan di Poipet. Satu lagi di Thailand menuju ke Bangkok. Pengangkutan awal berupa teksi land cruiser sampai jam 8.30 pagi


Kami pun bergerak dengan penuh selesa. Teksi ini memperuntukkan 3 tempat duduk di belakang, 1 di sebelah pemandu di hadapan. Kami beli 3 tempat duduk untuk saya, isteri dan dua anal kecil sama-sama duduk di belakang.


Jarak dari Battambang ke Poipet bukanlah jauh sangat. Cuma sekitar 115 km.


Tapi keadaan jalan dan trafik menyebabkan dekat jam 11.30 pagi baru masuk bandar raya tersebut. Lihat artikel Battambang to Poipet di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami diturunkan di satu bulatan jalan berdekatan sempadan jam 11.36


Pusat immigresyen untuk meninggalkan Cambodia terletak di tepi bulatan. Kami pun masuk untuk urusan paspot...


Sekitar setengah jam kemudian selesailah urusan. Seterusnya kami harus berjalan kaki melepasi zon bebas menyeberangi sempadan masuk ke Thailand.


Tengok-tengok urusan paspot di belah situ pula memakan masa. Lihat Crossing to Thailand.


Dipendekkan cerita jam 2.30 baru kami bergerak dari sempadan dengan pengangkutan bahagian kedua berupa minivan Thailand ke Bangkok.


Dari sempadan ke Bangkok ada jarak lagi 260 km. Dalam perjalanan inilah baru tersedar bagaimana  caranya saya boleh ditipu USD100 di hotel di Battambang iaitu selepas membuat semakan berkenaan di Internet. Biar dicopy paste lagi cerita berkenaan yang telah dikongsikan di Facebook ketika dalam van...


DAH TERKENA DAH - SCAM USD DI CAMBODIA

Nampaknya confirm saya memang dah kena tipu/scam duit USD100 di hotel Blue Diamond di Battambang semalam. Ceritanya saya nak pecah duit terakhir USD100 kami di hotel jadi beberapa keping duit USD20 dan USD10 agar mudah untuk digunakan dalam perjalanan kami anak beranak meninggalkan Cambodia untuk ke Ayuthayya di Thailand hari ini. Tengok- tengok- dia kata duit kita fake, siap tunjuk ada perkataan copy. 

Kami yang dalam kepenatan selepas 7 setengah jam perjalanan dari Phnom Penh cuma boleh tepuk kepala masa tu. Fikir kami kenapa tak sedar boleh kena tipu dengan moneychanger di Rawang tempat kami tukar wang sebelum bertolak dengan pesawat ke Cambodia. Siap berkira-kira lagi nak buat polis repot apabila kembali ke Malaysia nanti. Setelah beberapa lama baru terfikir entah-entah lelaki kat desk hotel tukar tapi saya tak perasan. Ada perempuan berumur Cina di hotel bantu scam apabila diminta mengesahkan wang.

Lewat malam semalam saya bersemuka dengan lelaki tersebut. Tapi dia tak mengaku malah menyalahkan saya kerana katanya mengeluarkan wang palsu daripada dompet saya lalu cuba menukar kepada wang sah di tempatnya. Katanya situ ada CCTV. Saya pun minta supaya ditunjukkan rakaman CCTV. Dia kata boleh pagi nanti. Nanti ajak polis tonton sekali.

Tapi dia memberitahu saya boleh dipenjarakan kerana cuba menukar duit palsu dengan wang sah. Mengingatkan diri di negara orang dan pagi nanti harus bergegas ke Thailand bersama isteri dan dua anak kecil saya pun mengalah lalu meminta diri.

Selepas tengah malam saya tergerak untuk Google perkataan "Fake USD100 Battambang". Jumpalah satu artikel memberitahu perkara ini memang biasa berlaku di Cambodia. Tadi dalam minivan ke Bangkok (saya masih dalam perjalanan ni) tergerak untuk meneliti artikel tersebut. Terjumpa satu gambar contoh yang kelihatan sebijik macam kes saya. 

Rupa-rupanya adalah menjadi kebiasaan sesetengah orang di Cambodia print wang USD tapi ada perkataan copy untuk dibakar dalam upacara tertentu. Wang sebegini biasa digunakan untuk menipu mereka yang tidak menyedari. Lihat artikel bawah ini, tuju pada bab spirit money. Gambar yang diletakkan adalah duit tipu USD100 yang kami terima itu...





Kami sampai ke Bangkok sudah malam.


Disebabkan kesesakan lalu lintas kami diturunkan di suatu bahagian pinggir luar pusat bandar raya lalu harus mengambil tuk tuk untuk ke perhentian seterusnya.


Kami mahu ke stesyen kereta api Hua Lamphong di timur pusat bandar raya.


Seperti halnya ketika singgah di Phnom Penh dari Kampong Cham (rujuk Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam) kami mahu meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta api.


Destinasi utama kami hari ittu adalah kota bersejarah Ayutthaya 80 km ke utara Bangkok.


Alhamdulillah sampai jam 10.14 malam.


Jam 10.48 kami sampai ke rumah penginapan dengan menaiki tuk tuk. Ini berlaku selepas lebih 14 jam memulakan perjalanan dari Battambang. Adapun malam itu adalah malam Jumaat. Selepas beberapa lama saya membuat update berikut di FB berserta gambar atas...


KEAMANAN DI RUMAH PENGINAPAN KAYU, KUIL LAMA MENGHADAP KIBLAT DAN PERMAISURI SURIYOTHAI

Salam malam Jumaat. Pada ketika ini kami anak beranak sedang berehat dengan aman di sebuah rumah penginapan klasik kayu betul-betul di tepian Sungai Chao Phraya, di suatu bahagian bandar lama Ayuthayya. Tadi setelah bertolak keluar dari hotel di Battambang, Cambodia sekitar jam 8.30 pagi, dekat jam 11.40 baru sampai ke sempadan Thailand di Poipet. Urusan imigresyen untuk keluar dari negara Cambodia memakan masa 20 minit. Tapi campur masa untuk berjalan kaki 500 meter untuk menyeberangi sempadan lalu berurusan dengan imigresyen Thailand menjadi 2 jam. 

Lepas jam 2 petang baru dapat kenderaan menuju ke Bangkok lalu sampai ke pusat bandar raya sekitar 7.15 malam. Ambil tuk tuk ke stesyen Hua Lhampong lalu mendapatkan kereta api jam 8.10 malam ke Ayuthayya, 2 jam kemudian baru sampai. Nasib baik dapat tuk tuk 11 km ke rumah penginapan. Ternyata ia amat cantik dan selesa dengan konsep rumah kayu tradisional. 

Selepas selesai beberapa perkara lain baru mandi dan menukar pakaian. Dekat jam 1 pagi baru betul-betul aman. Menariknya semua bangunan di sekitar kawasan ini termasuk sebuah kuil lama Buddha dibina menghadap kiblat. Ada sesuatu yang terasa patut dirungkaikan. Mungkin ada kena mengena dengan satu watak lama permaisuri Ayuthayya dahulukala bernama Suriyothai...



Viewing all 1493 articles
Browse latest View live